Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami adakah Rasulullah SAW itu sebagai rahmah berdasarkan kepada ayat 58 surah Yunus.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal).”

(Surah Yunus: 58)

Imam al-Suyuti menuqilkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya bahawa Fadhlullah (فَضْلُ اللهِ) atau kurniaan-Nya bermaksud ilmu, dan rahmat (الرَحْمَةُ) bermaksud Muhammad SAW. Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

(Surah al-Anbiya’: 107)

Ibnu Kathir berkata, “Dengan ini telah datang kepada mereka daripada Allah SWT dari petunjuk hidayah-Nya dan agama yang sebenar. Maka, hendaklah mereka bergembira, kerana inilah yang sepatutnya mereka gembira berbanding dengan dapatan harta dunia yang bersifat binasa dan hilang.” (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 4/275)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Kalimah Fadhlullah atau kurniaan-Nya merupakan Al-Quran, yang merupakan nikmat dan anugerah terbesar, dan dengan keutamaan Allah yang diberikan-Nya kepada hamba-hamba-Nya, dan dengan kalimah “ وَبِرَحْمَتِهِ” iaitu rahmat-Nya bermaksud agama dan iman, serta ibadah kepada Allah, cinta-Nya, dan pengetahuan tentang-Nya.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 336)

Imam al-Suyuti berkata, mengikut pandangan Ibnu Abbas ‘rahmat’ dengan maksud Nabi Muhammad SAW. Hujah ini tidaklah asing kerana firman Allah kepada Rasul-Nya SAW.

Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan umat Nabi Muhammad SAW yang cintakan kepada nabi-Nya dan mengikut sunnahnya.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply