Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan mengenai seorang isteri yang menghidapi Skizofrenia dan sering mendengar bisikan, sampai ke tahap dia bangun di tengah malam lalu mengambil pisau dan meletakkan pisau di kepala sendiri. Dia merasa tertekan bila berada dalam rumah suami disebabkan suaminya memberi tekanan emosi padanya.

Apakah hukum sekiranya isteri keluar dari rumah suaminya tanpa keizinan dengan tujuan memelihara akalnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami mulakan terlebih dahulu dengan definisi dan penerangan berkenaan Skizofrenia. Ia merupakan penyakit mental kronik yang memerlukan rawatan seumur hidup oleh kerana ia mengakibatkan gangguan pemikiran yang serius. Kebiasaannya, pesakit akan mengalami kecelaruan pemikiran dan seakan terpisah daripada dunia reality. Mereka juga akan cenderung bertingkah laku pelik kerana sering mendengar bisikan suara dan berdelusi tentang perkara yang tidak benar, mudah paranoid dan berasa marah.[1]

Seterusnya, kami tekankan terlebih dahulu bahawa seorang isteri tidak boleh keluar daripada rumah tanpa keizinan suaminya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu.”

(Surah al-Ahzab: 33)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Yakni lazimi (kekal) di rumah dan tidak keluar melainkan jika adanya keperluan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/363)

Adapun mentaati suami itu adalah wajib berdasarkan firman Allah SWT:

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ ۚ

Maksudnya: “Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.”

(Surah al-Nisa’:  34)

Kewajipan mendapatkan izin suami sebelum keluar rumah ini juga diistinbat berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُمْ بِاللَّيْلِ إِلَى الْمَسْجِدِ فَأْذَنُوا لَهُنَّ

Maksudnya: “Jika isteri-isteri kalian meminta izin pada waktu malam untuk ke masjid (bagi menunaikan solat Isyak), maka berilah keizinan pada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (865) dan Muslim (442)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan kalam Imam al-Nawawi, katanya bahawa hadith di atas digunakan untuk berhujjah bahawa para isteri tidak boleh keluar daripada rumah melainkan dengan izin suami. (Lihat Fath al-Bari, 2/348)

Keluar Rumah Tanpa Izin Suami Kerana Darurat

Di dalam Mazhab al-Syafi‘i juga ada dibincangkan permasalahan isteri yang keluar daripada rumah.

Apabila terdapat keperluan yang mendesak, seperti berlakunya mudharat pada diri isteri tersebut jika dia mentaati suaminya, maka hukum wajib itu gugur dan dibolehkan melakukan sesuatu tanpa izin suami. Bahkan hak isteri tersebut ke atas suaminya tidak hilang kerana dia tidak dihukumkan sebagai nusyuz.

Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa jikalau si isteri dalam keadaan sakit atau luka yang boleh memudaratkannya dengan jimak, maka dia diberi keuzuran untuk menahan diri dari berjimak. Dia juga berhak mendapatkan nafkah dari suaminya. (Lihat Raudah al-Talibin, 9/59)

Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa boleh untuk isteri keluar rumah tanpa izin suami jika dia bimbang terhadap keselamatan diri atau hartanya daripada orang fasiq atau pencuri. (Lihat Fath al-Mu‘in, hlm. 545)

Selain itu, syari‘at islam juga datang dengan lima maqasid (objektif) utama, iaitu memelihara agama, memelihara diri, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta. Masalah psikologi yang mungkin boleh mendatangkan mudharat pada diri dan juga akal perlu dipandang serius bagi memastikan kesihatan seseoang itu terpelihara.

Tindakan isteri untuk keluar daripada rumah bagi memelihara akalnya daripada tekanan emosi dan juga memelihara dirinya daripada disakiti adalah dibolehkan, bahkan jika ia merupakan alternatif terakhir untuk menjaga kesihatannya, maka ia sangatlah dituntut.

Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah:

مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Suatu kewajipan yang tidak sempurna malainkan dengannya maka ia juga wajib”

Seorang isteri yang sedang sakit dan diabaikan oleh suaminya sehingga mendatangkan mudharat, maka isteri tersebut boleh keluar mendapatkan rawatan walaupun tidak diizinkan oleh suami. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:

الضَّرَرُ يَزَالُ

Maksudnya: “Kemudaratan itu disingkirkan.”

Kami menasihatkan agar para suami di Malaysia ini cakna tentang keadaan kesihatan ahli rumah, terutamanya isteri dan anak-anak kerana kesemua mereka ini di bawah tanggungjawab suami. Dan tanggungjawab ini akan ditanyakan oleh Allah SWT kelak, ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتٍ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ، وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya.”

Hadith riwayat Muslim (3408)

Kami cadangkan dalam kes seperti ini, hendaklah mendapat nasihat dan rawatan secara khusus daripada doktor pakar serta kad rawatan tersebut sebagai salah satu bukti yang menunjukkan beliau memang mengidap penyakit Skizofrenia dan bukan hanya sangkaan atau dakwaan semata-mata.

Seterusnya, bawalah isu ini kepada keluarga untuk perbincangan dengan lebih harmoni. Ini kerana, biarlah isu ini dapat dirungkai bersama dengan cara yang terbaik di samping pengetahuan keluarga untuk mendokong serta dapat memberi rawatan yang terbaik kepada isteri tersebut.

Boleh jadi suami kurang pengetahuan berkenaan dengan penyakit Skizofrenia ini. Justeru, dengan maklumat yang benar dan pengetahuan yang mendalam akan mengubah sikap si suami untuk menghargai isteri selaras dengan perintah Allah SWT agar bermu’asyarah dengan isterinya secara yang makruf.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Wallahu a‘lam

 

[1] Lihat https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/kesihatan-mental-lain/skizofrenia/. Diakses pada 23 Jun 2023.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply