Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan kefaqihan Imam al-Bukhari dari sudut fiqh?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Imam al-Bukhari atau nama penuh beliau ialah Muhammad bin Isma‘il bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah[1] al-Ju‘fi al-Bukhari, atau lebih dikenali dengan nama Imam al-Bukhari. Beliau turut diberi nama panggilan Abu ‘Abdillah. Beliau juga memperoleh banyak gelaran yang diberikan oleh sekalian ahli ilmu, antaranya Amirul Mukminin dalam bidang hadith, al-Imam al-‘Alam al-Fard, Taj al-Fuqaha’, ‘Umdah al-Muhaddithin, Sayyid al-Huffaz dan lain-lain lagi.
Beliau dilahirkan pada hari Jumaat, 13 Syawal tahun 194 Hijrah, selepas solat Jumaat di sebuah kota masyhur bernama Bukhara yang terletak di Republik Uzbekistan. Jarak kota ini dari bandar Samarkand adalah sekitar 300 kilometer.
Imam al-Bukhari membesar di bawah jagaan dan didikan ibunya dengan didikan dan persekitaran ilmu yang baik. Kecintaan beliau terhadap ilmu dan juga hadith sudah mula tertanam dalam dirinya semenjak kecil, mewarisi tingkah dan sikap bapanya.
Apabila Imam al-Bukhari telah mencapai usia mumaiyiz, hatinya cenderung untuk menghafaz hadith dan mempelajari ilmu-ilmu Islam. Muhammad bin Abu Hatim al-Warraq berkata: Aku telah mendengar al-Bukhari berkata: “Aku telah diilhamkan untuk menghafaz hadith ketika aku sedang belajar menulis.” Lalu al-Warraq bertanya: “Berapakah umurmu ketika itu?” Beliau menjawab: “10 tahun atau kurang.” Imam al-Zahabi berkata: “Imam al-Bukhari diberi kecintaan kepada ilmu sedari kecil, dibantu pula dengan kepintaran yang teramat tinggi.” (Lihat Tarikh al-Islam, 19/166)
Kefaqihan Imam al-Bukhari dalam Menyusun Sahih al-Bukhari
Imam al-Bukhari telah memberi nama yang cukup istimewa bagi karya sahihnya iaitu “الجامع الصحيح المسند المختصر من أمور رسول الله صلى الله عليه وسلم وسننه وأيامه” (al-Jami‘ al-Sahih al-Musnad al-Mukhtasar min Umur Rasulillah SAW wa Sunanihi wa Ayyamihi). Walau bagaimanapun, karya ini lebih terkenal dengan nama Sahih al-Bukhari.
Terdapat dua sebab Imam al-Bukhari menulis sahihnya sebagaimana yang dinyatakan:
- Pertama: Guru beliau iaitu Ishaq bin Rahawaih telah men-yampaikan hasratnya atau mencadangkan kepada muridnya agar menghimpunkan hadith-hadith yang sahih, Maka, kata-kata itu sangat memberi kesan di dalam hati Imam al-Bukhari.
- Kedua: Beliau (Imam al-Bukhari) telah bermimpi bahawa beliau berdiri di sisi Rasulullah SAW serta dalam masa yang sama, beliau mengipas Rasulullah SAW. Setelah itu, beliau bertanya kepada penafsir mimpi berkenaan mimpi beliau. Penafsir mimpi mengatakan bahawa beliau akan menghalang pendustaan terhadap Rasulullah SAW. Disebabkan itulah beliau berusaha untuk menghasilkan karya ini.
Imam al-Bukhari menyusun hadith-hadith di dalam sahihnya mengikut kitab (tajuk utama) dan setiap kitab itu mempunyai bab-bab tertentu. Kitab yang pertama ialah permulaan wahyu dan diakhiri dengan kitab al-Tauhid. Antara kitab atau tajuk utama lain yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari adalah kitab al-Iman, kitab ilmu, kitab wudhu’, kitab mandi, kitab haidh, kitab tayammum, kitab solat dan beberapa kitab yang lain. Pada penyusunan kitab dan bab inilah terserlah akan fiqh Imam al-Bukhari, Disebabkan itu, para ulama mengatakan fiqh Imam al-Bukhari terletak pada terjemah bab-babnya. Ini kerana, daripada situ para ulama dapat mengenalpasti pendapat-pendapat Imam al-Bukhari dalam permasalahan fiqh.
Antara kedalaman manhaj Imam al-Bukhari lagi, sekiranya lafaz yang terdapat pada sesuatu hadith itu sahih dari sudut sanadnya, namun dari sudut fiqh dan amalan ia tidak diamalkan, bahkan Imam al-Bukhari sendiri tidak beramal dengannya, maka beliau akan meriwayatkan lafaz yang tidak diamalkan ini di tempat yang lain selain daripada babnya.
Contohnya adalah sebagaimana sebuah riwayat yang diletakkan oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab al-Maghazi. Iaitu hadith bekenaan kisah seorang sahabat yang bernama ‘Amr bin Salimah serta apa yang berlaku antara beliau dengan kaumnya semasa beliau masih kecil. Pada hadith ini terdapatnya kisah pengislaman kaumnya, serta pada hadith ini juga sebutan:
فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ، فَلْيُؤَذِّنْ أَحَدُكُمْ، وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْثَرُكُمْ قُرْآنًا
Maksudnya: “Apabila masuknya waktu solat, hendaklah salah seorang dari kamu melaungkan azan, serta hendaklah seseorang yang paling banyak menghafal al-Qur’an dari kalangan kamu menjadi imam.”
Riwayat al-Bukhari (4302)
Kita dapat melihat pada hadith ini terdapat beberapa hukum hakam yang berkaitan dengan solat, akan tetapi Imam al-Bukhari tidak meriwayatkan walau satu bahagian pun daripada hadith ini di dalam Kitab Solat. Maka keadaan ini adalah sama dengan yang sebelum ini. Beliau melihat hadith tersebut sahih dari sudut hadith, namun dari sudut fiqhnya beliau tidak berpendapat akan kesahihan beramal dengannya.
Selain itu, Imam al-Bukhari juga ada menta‘lilkan (menyatakan ‘illah) bagi sebahagian riwayat dan beliau juga merajihkan satu riwayat ke atas riwayat yang lain. Ini merupakan suatu perkara yang amat penting dan contoh-contohnya juga banyak.
Antara contohnya adalah dari sudut fiqh. Sebagaimana yang kita ketahui, Imam al-Bukhari merupakan seorang imam mujtahid dalam bidang al-Sunnah al-Nabawiyyah dan beliau juga adalah seorang imam mujtahid dalam bidang fiqh. Inilah yang disebutkan oleh para ulama yang dikenali dengan gelaran fuqaha’ ahl al-hadith atau fuqaha’ al-muhaddithin, dan Imam al-Bukhari termasuk dalam kalangan mereka. Beliau ada fiqhnya tersendiri, ada juga ikhtiyarat (pendapat yang terpilih), serta ijtihadnya dalam permasalahan tertentu. Beliau memilih hukum fiqh dalam satu isu, kemudian beliau mengisbatkannya di dalam kitab Sahih beliau.
Sebagai contohnya, Nabi SAW pernah duduk bersama sebahagian sahabat baginda. Kemudian lalu satu jenazah dan Baginda pun berdiri untuknya. Setelah itu beliau nyatakan keadaan yang kedua, iaitu berkenaan berdirinya Nabi SAW, dan Saidina Ali R.A yang meriwayatkan kepada kita akan riwayat yang kedua ini: “Berdirinya Nabi SAW untuk jenazah ini adalah mansukh.” Imam al-Bukhari berhenti di sisi yang pertama iaitu: “Nabi SAW berdiri untuk jenazah,” dan beliau berdiam padanya. Beliau tidak meriwayatkan nasakh perbuatan berdiri untuk jenazah. Adapun Imam Muslim dan para pengarang Sunan yang empat iaitu Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’i, dan Ibn Majah, kesemua mereka meriwayatkan perbuatan berdiri untuk jenazah, kemudian mereka meriwayatkan bahawa ianya dimansuhkan. Imam al-Bukhari mempunyai pilihannya yang tersendiri dalam satu-satu permasalahan, lalu beliau menetapkan ijtihad fiqhnya itu serta menyatakan dalilnya. Boleh jadi ulama selainnya menyelisihinya dalam isu itu, lalu beliau pun menyebutkah fiqhnya berkenaan isu tersebut serta turut menyatakan dalilnya. Inilah makna ucapan para ulama: “Mereka meletakkan ikhtiyarat mereka dalam isu fiqh serta memasukkannya ke dalam kitab-kitab hadith mereka.”[2]
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa Imam al-Bukhari merupakan seorang yang Imam hadith yang mujtahid dan sangat faqih. Hal ini dikuatkan oleh pujian ulama’ terdapatnya, antaranya:
- Nua’im bin Hammad berkata: “Muhammad bin Ismail adalah faqih umat ini.” (Lihat Tarikh al-Islam, oleh al-Zahabi, 6/140)
- Ishaq bin Rahawaih berkata: “Sekiranya Muhammad bin Ismail hidup pada zaman Hasan bin Abi al-Hasan (al-Hasan al-Basri), manusia tidak memerlukan orang lain, kerana pengetahuannya tentang hadis dan fiqh.” (Lihat Syarh ‘Ilal al-Tirmizi oleh Ibn Rajab al-Hanbali, 1/496)
Beliau turut berkata: “Wahai sekalian ashab hadith, lihatlah pada pemuda ini dan tulislah (hadith) daripadanya, sesungguhnya jika dia pada zaman Hasan bin Abu al-Hasan al-Basri sudah tentu manusia berhajat kepada ilmu hadith dan fiqhnya.”
- Muhammad bin Abu Hatim berkata: “Aku mendengar Hasyid bin Abdullah berkata: Abu Mus’ab Ahmad bin Abu Bakr al-Madini berkata kepadaku: Muhammad bin Ismail adalah yang paling faqih di kalangan kami dan lebih pandai dalam ilmu fiqh daripada Ibn Hanbal.” Lalu seorang dari mereka berkata: “Kamu telah melampaui batas.” Abu Mus’ab berkata: “Sekiranya kamu bertemu Malik dan melihat wajahnya serta melihat wajah Muhammad bin Ismail, kamu akan berkata keduanya sama dalam hal fiqh dan hadith.” (Lihat Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal oleh al-Mizzi, 24/455)
- Imam Qutaibah bin Sa‘id rahimahullah (w. 240H) berkata: “Aku melazimi ahli fiqh, ahli zuhud dan ahli ibadah tetapi aku tidak pernah melihat orang seperti Muhammad bin Isma‘il.”
- Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: Beliau adalah seorang mujtahid dalam fiqh, dan memiliki kedalaman yang luar biasa dalam melakukan istinbat fiqh daripada hadith.” (Lihat Mustalah al-Hadith, 1/47)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
[1] Dikatakan: Bazduzbah, dan ia adalah lafaz daripada bahasa Bukhariyyah yang bermaksud peladang.
[2] Ini merupakan antara syarahan dan kupasan berkenaan beberapa manhaj Imam al-Bukhari yang daqiq (mendalam), yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad ‘Awwamah di Masjid Kalan yang merupakan masjid tempat Imam al-Bukhari mengajarkan kitab Sahih-nya di Bukhara, Uzbekistan. Syarahan ini telah dialih bahasa dan diolah agar lebih mudah difahami tanpa menghilangkan makna dan tujuan asal daripada Syeikh Muhammad ‘Awwamah.
Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H