Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah boleh niat dua perkara sekaligus, iaitu korban dan akikah? Adakah sah akikahnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, para ulama fiqh berbeza kepada dua pendapat, iaitu:

Pandangan Pertama: Seekor haiwan korban boleh termasuk dalam aqiqah.

Inilah pendapat al-Hasan al-Basri, Muhammad bin Sirin, Qatadah dan pendapat mazhab Hanafiyyah, serta salah satu pendapat Imam Ahmad.

Mereka menjadikan masalah ini seperti masalah bertemunya solat Hari Raya dengan Solat Jumaat, bahawa dibolehkan mendirikan salah satunya sahaja, kerana kedua-dua solat tersebut mempunyai banyak persamaan dari sudut jumlah rakaat, khutbah dan dilakukan dengan jahar. Demikian juga antara korban dan akikah di mana kedua-duanya adalah sama-sama sembelihan.

Mereka juga menyebut: “Persamaannya juga seperti seseorang melakukan solat sunat dua rakaat tahiyyatul masjid dan solat sunat qabliyyah.”

 

Pandangan Kedua: Haiwan korban tidak boleh diniatkan untuk akikah.

Inilah pendapat Malikiyyah, Syafi’iyyah dan riwayat lain daripada Imam Ahmad.

Mereka menyebut: Kedua sembelihan tersebut (akikah dan korban), masing-masing memiliki sebab yang berbeza. Maka salah satunya tidak boleh mewakili yang lain. Sebagaimana jika dam haji Tamattu’ dan dam fidyah bertemu, maka salah satunya tidak boleh mewakili yang lain.

Mereka juga berhujah bahawa tujuan masing-masing daripada keduanya (akikah dan korban) adalah mengalirkan darah. Keduanya juga syiar dengan mengalirkan darah. Maka salah satunya tidak boleh mewakili yang lain.

Ibn Hajar al-Haitami al-Makki al-Syafi’i pernah ditanya berkenaan penyembelihan kambing pada hari Raya Idul Adha dan hari tasyriq dengan niat korban dan akikah, adakah mendapat dua pahala atau tidak?

Maka beliau menjawab dalam kitabnya al-Fatawa al-Fiqhiyyah (4/256):

الَّذِي دَلَّ عَلَيْهِ كَلَامُ الْأَصْحَابِ وَجَرَيْنَا عَلَيْهِ مُنْذُ سِنِينَ أَنَّهُ لَا تَدَاخُلَ فِي ذَلِكَ لِأَنَّ كُلًّا مِنْ الْأُضْحِيَّةِ وَالْعَقِيقَةِ سُنَّةٌ مَقْصُودَةٌ لِذَاتِهَا وَلَهَا سَبَبٌ يُخَالِفُ سَبَبَ الْأُخْرَى وَالْمَقْصُودُ مِنْهَا غَيْرُ الْمَقْصُودِ مِنْ الْأُخْرَى إذْ الْأُضْحِيَّةُ فِدَاءٌ عَنْ النَّفْسِ وَالْعَقِيقَةُ فِدَاءٌ عَنْ الْوَلَدِ إذْ بِهَا نُمُوُّهُ وَصَلَاحُهُ وَرَجَاءُ بِرِّهِ وَشَفَاعَتِهِ.

Maksudnya: “Menurut pendapat asbab kami (ulama’ al-Syafi’iyyah), dan yang telah kami yakini selama ini bahawa masing-masing niat tidak boleh mewakili yang lain, kerana korban dan akikah masing-masing sunat yang memiliki tujuan tersendiri. Kedua-duanya juga memiliki sebab dan tujuan yang berbeza. Korban adalah ‘tebusan untuk diri’, manakala akikah adalah ‘tebusan untuk anak.’ Dengan akikah, harapannya anak tumbuh membesar dengan baik, soleh, berbakti dan (diizinkan) memberi syafaat.

Kata Ibn Hajar lagi:

وَبِالْقَوْلِ بِالتَّدَاخُلِ يَبْطُلُ الْمَقْصُودُ مِنْ كُلٍّ مِنْهُمَا فَلَمْ يُمْكِنْ الْقَوْلُ بِهِ نَظِيرَ مَا قَالُوهُ فِي سُنَّةِ غُسْلِ الْجُمُعَةِ وَغُسْلِ الْعِيدِ وَسُنَّةِ الظُّهْرِ وَسُنَّةِ الْعَصْرِ وَأَمَّا تَحِيَّةُ الْمَسْجِدِ وَنَحْوُهَا فَهِيَ لَيْسَتْ مَقْصُودَةً لِذَاتِهَا بَلْ لِعَدَمِ هَتْكِ حُرْمَةِ الْمَسْجِدِ وَذَلِكَ حَاصِلٌ بِصَلَاةِ غَيْرِهَا وَكَذَا صَوْمُ نَحْوِ الِاثْنَيْنِ لِأَنَّ الْقَصْدَ مِنْهُ إحْيَاءُ هَذَا الْيَوْمِ بِعِبَادَةِ الصَّوْمِ الْمَخْصُوصَةِ وَذَلِكَ حَاصِلٌ بِأَيِّ صَوْمٍ وَقَعَ فِيهِ وَأَمَّا الْأُضْحِيَّةُ وَالْعَقِيقَةُ فَلَيْسَتَا كَذَلِكَ كَمَا ظَهَرَ مِمَّا قَرَّرْتُهُ وَهُوَ وَاضِحٌ

Maksudnya: “Pendapat yang menyatakan boleh mewakili korban akan membatalkan semua maksud akikah di atas, dan tidak boleh disamakan dengan mandi hari Jumaat dan mandi sebelum solat Raya, juga tidak sama dengan solat sunat (qabliyyah) Zohor dan Asar. Adapun solat tahiyyatul masjid dan seumpamanya, ia bukan maqsudah li zatiha (yang dimaksudkan kerananya sahaja), tetapi ia sebatas agar tidak menodai kehormatan masjid. Kerana itu, solat tahiyyatul masjid boleh terhasil dengan solat yang lainnya. Demikian juga puasa hari Isnin misalnya, kerana tujuannya menghidupkan hari tersebut dengan puasa tertentu, maka boleh digabung dengan puasa lain pada hari itu. Adapun akikah dan korban tidak demikian, sebagaimana yang telah zahir dengan jelas pada keterangan kami di atas.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah, 4/256)

Kami mentarjihkan bahawa keharusannya adalah lebih kuat dari segi dalil kerana setiap seseorang mengambil bahagian masing-masing. Akan tetapi, dari segi aulanya, serta akmalnya (lebih sempurna), jika seekor binatang walaupun dikongsi pembahagian kepada tujuh, hendaklah diniatkan untuk korban semuanya lebih baik.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang sentiasa cintakan ibadat dan ingin berkorban. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply