Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah perlu melakukan tawaf wada jika melakukan lawatan ke Taif atau bermalam di Taif, kemudian kembali ke Tanah Haram Makkah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ
Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (bagi meninggalkan Makkah). Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah sekali-kali seseorang (jemaah) itu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya di Baitullah (untuk melaksanakan tawaf wada‘).’”
Riwayat Muslim (1327)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan kepada kewajipan melakukan tawaf wada‘. Apabila ditinggalkan, maka dia hendaklah membayar dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i) dan inilah pendapat majoriti ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/79)
Tawaf Wada’ Bagi Mereka yang Ingin ke Taif
Kami pernah menjawab isu seperti ini dalam siri Ahkam Syar’iyyah #404 Tawaf Wada‘ bagi Jemaah yang Ingin ke Taif.
Antara lain, kami nyatakan:
Terdapat pendapat daripada al-Baghawi bahawa tawaf wada‘ wajib buat mereka yang ingin keluar meninggalkan Makkah pada jarak yang mengharuskan qasar solat. Adapun jarak yang kurang daripada itu, tidak wajib melakukan tawaf wada‘. Namun menurut al-Nawawi, pendapat yang sahih dan masyhur ialah sesiapa yang mahu meninggalkan Makkah pada jarak yang mengharuskan qasar solat (2 marhalah) atau kurang daripada itu, sama ada dekat, mahupun jauh, wajib melakukan tawaf wada‘. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/256)
Sekalipun begitu, al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa tidak wajib ke atas orang yang sedang bermukim di Makkah, apabila hendak keluar ke Tan‘im melakukan tawaf wada‘ serta tiada dam dikenakan ke atas mereka sekiranya meninggalkan tawaf tersebut. Dalilnya adalah berdasarkan perintah Nabi SAW yang mengarahkan ‘Abd al-Rahman menemani Aisyah untuk keluar berihram di Tan‘im dan tidak meminta mereka untuk melakukan tawaf wada‘ terlebih dahulu. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/257)
Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari mengulas perkara ini dengan menyatakan, ini adalah pada sesiapa yang keluar kerana sesuatu hajat (keperluan) dan akan pulang semula. Manakala apa yang disebutkan dalam kitab al-Majmu‘ — yakni wajib tawaf wada‘ bagi sesiapa yang ingin keluar dari Makkah pada jarak yang mengharuskan qasar solat atau kurang daripada itu — adalah pada sesiapa yang hendak keluar meninggalkan Makkah pada jarak kurang dari dua marhalah untuk pulang ke rumahnya atau ke tempat dia bermukim. (Lihat Asna al-Matalib, 1/499-500)
Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa sesiapa yang telah keluar meninggalkan Makkah tanpa melakukan tawaf wada‘, maka dia telah berdosa dan wajib ke atasnya untuk berpatah balik bagi melakukan tawaf tersebut. Sekiranya dia berpatah balik sebelum melebihi jarak yang mengharuskan qasar solat lalu melakukan tawaf, maka dia tidak dikenakan dam. Akan tetapi, sekiranya dia telah melebihi jarak yang mengharuskan qasar solat, wajib ke atasnya dam sekalipun dia telah berpatah balik untuk melakukan tawaf wada‘. Demikianlah juga hukumnya bagi sesiapa yang terlupa untuk melakukan tawaf wada‘ dan telah keluar meninggalkan Makkah, dia hendaklah berpatah balik untuk melakukannya. Sekiranya jaraknya kurang daripada jarak yang mengharuskan qasar solat, maka tiada dam dikenakan ke atasnya dan jika tidak — yakni melebihi jarak yang mengharuskan qasar solat — maka diwajibkan dam ke atasnya sekalipun dia telah melakukan tawaf wada‘. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/402)
Secara ringkasnya, golongan yang diwajibkan melakukan tawaf wada‘ ialah:
- Orang yang akan bermusafir meninggalkan Makkah pada jarak yang mengharuskannya qasar solat iaitu dalam kadar dua marhalah.
- Orang yang akan meninggalkan Makkah dan bermukim di luar Tanah Haram, sekalipun jaraknya kurang dari dua marhalah.
Oleh itu, sesiapa yang hendak keluar meninggalkan Makkah bagi tujuan menziarahi Taif (melalui mana-mana laluan) hendaklah melakukan tawaf wada‘ kerana jarak perjalanannya melebihi dua marhalah. Ini juga adalah resolusi yang telah diputuskan dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-35.
Selain itu, pernah ada pertanyaan tentang seseorang yang bertolak menunaikan haji bersama ibunya dan dia ingin menangguhkan tawaf ifadhah dan pergi ke Ta’if, dan kemudian kembali semula pada akhir bulan Zulhijjah, dan menunaikan Tawaf Ifadhah. Berkenaan persoalan ini, Syeikh Ibn ‘Uthaimin berkata:
إن كان من أهل الطائف فلا يجوز ، وإن كان من غير أهل الطائف فلا بأس ، لأنه إذا كان من أهل الطائف فمعناه أنه رجع إلى بلده قبل انتهاء حجه ، وإن كان من غير أهل الطائف فهو لا يزال في السفر فلا بأس، ولكن لا داعي أن يؤخر إلى آخر ذي الحجة ، لأنه يمكن في نصف الشهر الزحام يقل جداً ، لأن الناس إذا أنهوا حجهم مشوا.
Maksudnya: “Jika dia penduduk Ta’if, maka hal itu tidak boleh. Tetapi, jika dia bukan penduduk Ta’if, maka tidak mengapa. Hal ini kerana, jika dia penduduk Ta’if, maknanya adalah dia kembali ke negerinya sebelum hajinya selesai. Sedangkan jika bukan penduduk Ta’if, maka dia masih dianggap sedang musafir, sehingga tidak apa-apa baginya. Akan tetapi, tidak ada gesaan baginya untuk menundanya hingga akhir Zulhijjah, kerana mungkin sekali pada pertengahan bulan, kesesakan sudah sangat berkurang. Kerana orang ramai biasanya jika telah menyelesaikan hajinya, mereka terus berangkat.” (Lihat Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 23/185)
Penutup
Dalam persoalan ini, sejujurnya antara perkara yang perlu diambil kira adalah fatwa atau pendapat hukum yang telah diputuskan oleh Muzakarah Haji Kebangsaan. Hal ini perlu diraikan dengan sebaik mungkin. Akan tetapi, zhuruf mutakhir ini dengan kepadatan yang melampau di dataran Ka’bah sama ada mereka yang melaksanakan umrah, haji mahupun tawaf sunat sudah tentu amat sukar untuk seseorang mengerjakan tawaf wada’. Begitu juga mereka pergi ke Taif hanya bersifat sementara dan akan pulang ke Makkah untuk bermukim beberapa hari yang berbaki sebelum pulang atau menuju ke kota Madinah.
Atas asas inilah, saya berpendapat alangkah baiknya sebuah keputusan yang bersifat bersama oleh para ulama’ dengan membuat kajian dan menekuni isu ini dengan lebih terperinci. Kita selalu dihambat dengan jarak dan juga beberapa fatwa yang telah dikeluarkan. Tetapi baik juga jika dilihat kepada maslahat dan fatwa-fatwa yang memberi sisi pandang yang berlainan dengan beberapa dalil dan hujah. Insya Allah, jika diberi kesempatan oleh Allah, kami akan membuat kajian secara detail berkenaan isu ini. Semoga usaha ini akan memberi jawapan yang tuntas dalam isu seperti ini.
Akhir kalam, saya berdoa kepada Allah:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ
Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H