Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika kita buat korban di negara lain yang jatuh Hari Raya pada 28 Jun, sedangkan Hari Raya di Malaysia jatuh pada 29 Jun, boleh ke bercukur sebelum solat Hari Raya di Malaysia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asalnya, ibadat korban dilakukan di tempat masing-masing dan di kampung masing-masing. Ini sudah menjadi tradisi sejak turun temurun yang diwarisi oleh masyarakat Islam Malaysia. Tatkala kita mendengar negara yang memerlukan bantuan dan dilanda kemiskinan jauh lebih teruk daripada kita, maka datangnya perasaan untuk memberi bantuan dan melakukan korban ke tempat umat Islam yang memerlukan di negara-negara yang dilanda peperangan atau ekonominya tidak baik.

Secara asasnya, sembelihan haiwan korban itu sunat dilakukan oleh orang yang berkorban dengan tangan sendiri. Perkara ini disepakati paling afdhal kerana ia adalah suatu ibadah selain ia juga Sunnah Nabi SAW di mana Baginda selalu menyembelih sendiri haiwan korbannya. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Maksudnya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan terbaik, yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta Baginda meletakkan kakinya di tengkuk kibasy tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966)

Dalam isu berkorban di luar negara ini, terdapat perbezaan pandangan ulama berkenaan dengannya.  Imam al-Nawawi berkata bahawa terdapat dua pendapat berkenaan isu ini dan sebaiknya korban tersebut dilaksanakan di tempat sendiri. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/425),

Imam al-Mawardi pula dalam kitabnya menyatakan bahawa tiada halangan untuk dipindahkan haiwan korban ini. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/75).

Meneliti beberapa pandangan daripada badan Fatwa dan ulama kontemporari, terdapat pendapat yang menyebut berkenaan keharusan memindahkan ke negara yang mana wujudnya ramai pihak yang lebih memerlukan. Antaranya Syeikh Muhammad bin Muhammad bin al-Mukhtar al-Syanqiti yang berpendapat bahawa ibadah korban di luar negara adalah sah dan pelakunya akan mendapat pahala melakukan ibadah korban. Akan tetapi, melakukan ibadah ini di kawasan tempat tinggalnya adalah lebih afdhal. Namun, sekiranya ibadah korban ini dilakukan di kawasan kediamannya dan dilakukan juga di luar negara yang berdepan dengan kesukaran, maka itu adalah lebih baik. (Lihat Ikhraj al-Udhiyah Kharij al-Bilad li Syiddah al-Hajah. Diterbitkan pada 2 Disember 2006)[1]

Justeru, berdasarkan nas dan beberapa kenyataan di atas, dapat difahami bahawa hukum melaksanakan ibadah korban ke luar negara secara wakil adalah harus dan sah. Namun, melakukan di tempat sendiri adalah yang terbaik dan tiada khilaf padanya.

Waktu Tamat Larangan Memotong Kuku dan Rambut Bagi Mereka Yang Berkorban

Secara umumnya, apabila bermulanya 1 Zulhijjah, seseorang yang berazam melakukan sembelihan korban, sunat baginya supaya tidak menghilangkan bulunya seperti rambut, janggut, misai dan lain-lain dan kukunya sehingga dilakukan penyembelihan. Oleh itu hendaklah menjaga daripada memotong apa-apa bulu di badannya mahupun kukunya dengan baik. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/236; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/487)

Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai melakukan korban.”

Riwayat Muslim (1977)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, sebahagian ulama memahaminya sebagai haram untuk memotong rambut, mencabut bulu-bulu yang ada di badan serta memotong kuku sehinggalah dia selesai melakukan korban. Ini merupakan pendapat Sa‘id bin al-Musayyib, Rabi‘ah, Ahmad, Ishaq, Daud dan sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Manakala Imam al-Syafi‘i dan ashabnya yang lain berpendapat bahawa larangan tersebut adalah makruh tanzih dan bukannya haram. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 13/138.)

Walau bagaimanapun, perintah tersebut bukanlah wajib (yakni tidak boleh menghilangkan apa-apa bulu dan memotong kuku) kerana dia bukanlah dalam keadaan berihram, sebaliknya perintah larangan tersebut difahami sebagai makruh tanzih. Hikmahnya adalah supaya setiap juzuk anggotanya kekal dalam keadaan sempurna agar semuanya dibebaskan daripada api neraka. Dikatakan kerana dia menyerupai orang yang dalam keadaan berihram dari satu sudut (yang diharamkan untuk bergunting, mencukur, memotong kuku dan beberapa larangan lain). (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/487)

Justeru, dapat difahami bahawa hukum kemakruhan menghilangkan bulu dan memotong kuku bagi orang yang melakukan korban terangkat dengan sembelihan haiwan korban.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa waktu hilangnya larangan (makruh) memotong kuku dan bulu bagi orang yang mempunyai korban adalah setelah selesainya haiwan korban itu disembelih. Akan tetapi alangkah baiknya sekiranya ditunggu sehingga solat raya sebagai langkah meraikan waktu korban setempat kerana ia adalah lebih selamat dan keluar daripada khilaf.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

[1] http://ar.islamway.com/fatwa/5759

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply