Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah korban yang dilakukan oleh seseorang bagi pihak Nabi SAW dan benarkah terdapat hadith yang menyatakan berkenaan perkara tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, hukum asal dalam perkara ibadat adalah dilarang sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan hal sebaliknya.

Adapun hadith yang dijadikan sebagai hujah atau dalil yang menunjukkan bahawa berkorban bagi pihak Nabi SAW adalah diharuskan, adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, katanya: Muhammad bin ‘Ubaid al-Muharibi al-Kufi menyampaikan kepada kami, Syarik menyampaikan kepada kami, daripada Abu al-Hasna’, daripada al-Hakim, daripada al-Hanasy, daripada Ali bahawa:

كَانَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ أَحَدُهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَالْآخَرُ عَنْ نَفْسِهِ، فَقِيلَ لَهُ فَقَالَ: أَمَرَنِي بِهِ يَعْنِي النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَا أَدَعُهُ أَبَدًا

Maksudnya:Beliau (Ali) melakukan korban dengan dua ekor kibasy. Salah satunya korban bagi pihak Nabi SAW dan satu lagi korban bagi dirinya. Lalu ditanyakan kepadanya. Maka beliau menjawab: ‘Nabi SAW memerintahkanku dengan perkara tersebut, maka aku sama sekali tidak pernah meninggalkannya.’

Riwayat al-Tirmizi (1495)

Kemudian, Imam al-Tirmizi selepas meriwayatkan hadith di atas menyebutkan, hadith ini ialah hadith gharib, kami tidak mengetahuinya melainkan daripada hadith Syarik.

Selain itu, terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Abu Daud daripada jalur Syarik bin Abdullah al-Qadhi dengan lafaz “wasiat.”

Uthman bin Abu Syaibah menyampaikan kepada kami, Syarik menyampaikan kepada kami, daripada Abu al-Hasna’, daripada al-Hakim, daripada Hanasy, katanya:

رَأَيْتُ عَلِيًّا يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ، فَقُلْتُ لَهُ: مَا هَذَا؟ فَقَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصَانِي أَنْ أُضَحِّيَ عَنْهُ فَأَنَا أُضَحِّي عَنْهُ

Maksudnya:Aku melihat Ali melakukan korban dengan dua ekor kibasy. Lalu aku bertanya kepadanya: ‘Apakah ini?’ Beliau menjawab: ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mewasiatkan kepadaku agar aku melakukan korban bagi pihaknya. Jadi, aku pun melakukan korban bagi pihaknya (Baginda SAW).’

Riwayat Ahmad (1219) dan Abu Daud (2790)

Al-Mubarakfuri menukilkan daripada al-Munziri yang menyatakan, Hanasy ialah Abu al-Mu’tamir al-Kinani al-San‘ani dan ramai ulama mengkritiknya. Malah Ibn Hibban al-Busti menyebutkan, banyak berlaku waham dalam khabarnya (hadithnya), yang mana dia meriwayatkannya secara bersendirian daripada Ali dengan sesuatu yang tidak menyerupai hadith perawi yang thiqah sehingga menjadikannya termasuk dalam kalangan mereka yang hadithnya tidak dijadikan sebagai hujah (yakni tidak diterima).

Manakala Syarik pula ialah Ibn ‘Abdillah al-Qadhi dan padanya juga terdapat kritikan. Sesungguhnya Imam Muslim meriwayatkannya dalam mutaba‘ah. Seterusnya, al-Mubarakfuri menyatakan, Abu al-Hasna’ pula ialah guru kepada Abdullah, seorang yang majhul (tidak diketahui dan dikenali). Maka, hadith ini dinilai sebagai dha‘if. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/65).

Selain itu, al-Albani turut menyatakan, sanad hadith ini adalah dha‘if disebabkan oleh buruknya hafalan Syarik dan dia ialah Ibn ‘Abdillah al-Qadhi. Kemudian, Hanasy pula ialah Ibn al-Mu‘tamir al-San‘ani dan jumhur ulama hadith menilainya sebagai dha‘if. Manakala Abu al-Hasna’ pula ialah seorang yang majhul (tidak diketahui). (Lihat Dha‘if Abi Daud, 2/371).

Begitu juga guru kami Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad ada menyatakan, seseorang itu ketika mana melakukan korban, dia melakukan korban untuk dirinya dan ahli keluarganya, dan dia juga boleh melakukan korban bagi pihak yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia dalam kalangan ahli keluarganya. Begitu juga apabila seseorang berwasiat agar melakukan korban bagi pihaknya, maka lakukanlah korban untuknya.

Adapun seseorang yang melakukan korban bagi si mati secara sendiri atas kapasitinya sebagai seorang individu, maka kami tidak mengetahui adanya mana-mana dalil yang thabit menunjukkan kepada perkara tersebut.

Akan tetapi jika dia melakukan korban bagi dirinya dan ahli keluarganya atau kaum kerabatnya sama ada mereka masih lagi hidup atau sudah meninggal dunia, maka hal itu adalah tidak mengapa. Hal ini kerana terdapatnya dalil dalam sunnah yang menunjukkan kepada hal tersebut, dan orang yang sudah meninggal dunia (dalam kalangan ahli keluarga dan kaum kerabatnya) mengikut hukum itu (iaitu keharusan melakukan korban untuk ahli keluarga dan kaum kerabat).

Manakala seseorang yang melakukan korban bagi pihak si mati secara bersendirian, atas kapasitinya sebagai seorang individu, dan hal tersebut juga tanpa adanya wasiat daripada mereka, maka aku (Syeikh ‘Abd al-Muhsin) tidak mengetahui adanya dalil yang menunjukkan kepada perkara tersebut. Sedangkan hadith yang dibawakan oleh Abu Daud daripada riwayat Ali bahawasanya beliau melakukan korban dengan dua ekor kibasy dan mengatakan bahawa Nabi SAW mewasiatkannya dengan perkara tersebut adalah tidak thabit daripada Rasulullah SAW. Hal ini kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang majhul, dan begitu juga perawi yang dikritik oleh ulama selain perawi yang majhul itu.

Seseorang yang ingin sampai kepada Nabi SAW dengan sebab sesuatu yang dapat mengangkat darjatnya dan meninggikan kedudukannya, maka dia hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan soleh untuk dirinya sendiri. Apatah lagi Allah SWT telah mengurniakan kepada Nabi-Nya SAW dengan limpahan kurniaan yang selayaknya baginya kerana Bagindalah yang telah membimbing umat manusia kepada  kebaikan, (sebagaimana hadith yang menyatakan):

ومن دَلَّ على خيرٍ فله مِثْلُ أجْرِ فاعِلِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunjukkan seseorang kepada kebaikan, maka baginya pahala semisal ganjaran orang yang melakukannya (mengikutinya).”

Begitu juga dalam hadith yang lain, Baginda SAW bersabda:

مَن دَعا إلى هُدًى، كانَ له مِنَ الأجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَن تَبِعَهُ، لا يَنْقُصُ ذلكَ مِن أُجُورِهِمْ شيئًا، ومَن دَعا إلى ضَلالَةٍ، كانَ عليه مِنَ الإثْمِ مِثْلُ آثامِ مَن تَبِعَهُ، لا يَنْقُصُ ذلكَ مِن آثامِهِمْ شيئًا

Maksudnya: “Sesiapa yang menyeru seseorang kepada hidayah, baginya pahala seperti mana pahala orang yang mengikutinya, dan hal itu sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sesiapa yang menyeru seseorang kepada kesesatan, baginya dosa seperti mana dosa orang yang mengikutinya, dan hal itu sedikitpun tidak akan mengurangi dosa yang mereka peroleh.”

Riwayat Muslim (2674)

Justeru, Rasulullah SAW memperoleh pahala seperti mana pahala yang diperolehi umatnya keseluruhannya, dari mulanya hingga akhirnya, sejak mula Allah SWT mengutusnya hinggalah tibanya hari kiamat. Hal ini kerana Bagindalah orang yang telah membimbing umat manusia kepada kebenaran dan hidayah (petunjuk). Malah, melalui Bagindalah Allah SWT telah mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kesesatan) kepada cahaya (Islam). Apa sahaja kebaikan dan petunjuk yang diperolehi umat manusia adalah disebabkan oleh Baginda, petunjuknya dan bimbingannya. Jadi, seorang manusia itu hendaklah berusaha untuk melakukan amalan soleh untuk dirinya sendiri, kemudian Allah SWT akan memberikan pahala seumpamanya kepada Nabi-Nya, dan bukannya dia melakukan korban bagi pihak Nabi, mahupun melakukan atau menjadikan satu amalan khusus buatnya.

Begitu juga orang yang paling bahagia dan paling beruntung selepas Rasulullah SAW, dari segi pahala yang sampai kepada mereka ialah para sahabat Baginda SAW. Hal ini kerana mereka ialah orang-orang yang mendapat kebenaran dan petunjuk secara terus daripada Nabi SAW, dan seterusnya mereka pula menjadi perantara antara manusia dan Rasulullah SAW. Maka setiap orang yang menjaga satu sunnah daripada Rasulullah SAW lalu menyampaikannya kepada manusia, Allah SWT akan memberi pahala kepada setiap orang yang beramal dengan sunnah tersebut dan memberi pahala kepada sahabat yang meriwayatkan sunnah itu dengan pahala seumpama pahala yang diberikan kepada pelakunya.

Manakala hadith Ali R.A sebagaimana di atas adalah tidak thabit dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Sebaliknya, seseorang itu boleh untuk mendapatkan ganjaran pahala bagi Nabi SAW melalui amalan soleh yang dilakukan kepada dirinya sendiri. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud oleh al-‘Abbad, 329/8).

Seterusnya berkenaan isu melakukan korban bagi orang yang sudah meninggal dunia, kami nukilkan di sini pendapat Imam Nawawi yang menyatakan, tidak boleh melakukan korban buat si mati melainkan ia telah diwasiatkan oleh si mati sebelum kematiannya. Ini adalah pendapat al-Syafi‘iyyah yang mana Imam al-Nawawi menyebutkan, tidaklah disembelih bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ia telah diwasiatkan. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 321).

Namun, kami juga tidak menafikan pendapat sebahagian Syafi‘iyyah yang berpendapat bahawa tidak memerlukan kepada wasiat. Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili yang menyebutkan, sah hukumnya sembelihan bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ia seperti sedekah maka sahlah juga bagi si mati dan ia memberi manfaat buatnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/490).

Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menjelaskan, ada satu pendapat bahawa berkorban untuk orang yang telah meninggal dunia adalah harus walaupun tanpa ada wasiat kerana ia dianggap bahagian daripada sedekah. Bersedekah atas nama orang yang meninggal dunia adalah sah dan dapat memberi manfaat kepadanya. Misalnya, Syeikh Muhammad bin Ishaq al-Siraj al-Naisaburi salah seorang guru Imam al-Bukhari telah mengkhatamkan untuk Nabi Muhammad SAW setidaknya 10,000 khataman dan berkorban untuk Baginda Nabi SAW. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/138).

Perbahasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1905: Ibadah Korban Untuk Suami Yang Sudah Meninggal[1] dan #1906: Korban Untuk Keluarga Yang Sudah Meninggal.[2]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa perkara ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama, dan kami cenderung dengan pendapat kebanyakan Syafi‘iyyah iaitu mesti adanya wasiat daripada si mati untuk melakukan korban buat dirinya. Dalam hal ini, jika hadith Ali RA di atas dinilai sebagai sahih sekalipun, ia adalah khusus untuk orang yang berwasiat sebagaimana ia jelas dinyatakan dalam riwayat Abu Daud. Justeru, Nabi SAW tidak mewasiatkan perkara tersebut melainkan kepada Ali RA. Oleh itu, hanya Ali RA sahaja yang boleh untuk melakukan korban buat Baginda SAW.

Namun begitu, kami tidak menafikan di sana terdapat pendapat lain dalam kalangan Syafi‘iyyah yang berpendapat, ia adalah dibolehkan sekalipun tanpa wasiat dan insya-Allah ia tetap mendapat pahala sama seperti sedekah.

Manakala berkenaan melakukan korban bagi pihak junjungan besar Rasulullah SAW, pada hakikatnya apa-apa ibadah seperti solat, korban, membaca al-Quran dan lain-lain sekalipun dilakukan untuk diri sendiri, pahalanya tetap sampai kepada junjungan besar kita, Rasulullah SAW. Hal ini kerana Nabi SAW ialah orang yang telah membimbing umat manusia kepada kebenaran dan hidayah (petunjuk), di samping mengajarkan kepada mereka cara melakukan ibadah tersebut. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ

Maksudnya:Sesiapa yang menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, sesiapa yang menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”

Riwayat Muslim (1017)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/1905-ibadah-korban-untuk-suami-yang-sudah-meninggal/. Diakses pada 27 Jun 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1906-korban-untuk-keluarga-yang-sudah-meninggal/. Diakses pada 27 Jun 2023.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply