Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ada ustaz mengajar nak rezeki mencukupi, kena baca surah yang tiada surah Kaf iaitu surah al-’Asr, Quraisy dan al-Falaq. Ustaz tersebut menyatakan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

لَيْسَ فِيهِنَّ كَافٌ وَفِيهِنَّ كَافٍ

Maksudnya: “(Surah-surah) yang tiada padanya huruf kaf, padanya itu ada kecukupan.”

Ustaz tu kata, barangsiapa yang melazimi bacaan tiga surah ini, dia akan diberikan kecukupan pada rezeki. Benarkah terdapat hadith tersebut dan apakah sebenarnya amalan yang boleh memurahkan rezeki seseorang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Telah tular video yang menunjukkan seseorang yang mengajar fadhilat tiga buah surah yang tidak mempunyai huruf kaf iaitu Surah al-‘Asr, Surah Quraisy dan Surah al-Falaq. Menurutnya, Nabi SAW telah bersabda:

لَيْسَ فِيهِنَّ كَافٌ وَفِيهِنَّ كَافٍ

Maksudnya: “(Surah-surah) yang tiada padanya huruf kaf, padanya itu ada kecukupan.”

Lalu, dia berkata, barangsiapa yang melazimi bacaan tiga surah ini, dia akan diberikan kecukupan pada rezeki.

Hadith ini merupakan hadith palsu yang direka dan disandarkan kepada Nabi SAW kerana ia bukan sahaja tidak mempunyai sanad, tetapi ia tidak direkodkan dan tidak dijumpai di dalam mana-mana kitab hadith yang mengumpulkan hadith-hadith palsu sekalipun. Maka, fadhilat yang disandarkan kepada surah-surah ini juga palsu.

Amalan yang Murahkan Rezeki

Rasulullah SAW telah mengajarkan kita beberapa amalan yang menyebabkan murahnya rezeki seseorang itu sebagaimana yang di sebut dalam al-Quran dan hadith Nabi SAW. Antaranya:

Pertama: Bertakwa Kepada Allah

Firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ‎﴿٢﴾‏ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya:Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Talaq: 2-3)

Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam al-Tabari menyebutkan riwayat daripada Masruq bahawa ia bermaksud sesiapa yang bertaqwa kepada Allah ta‘ala, maka baginya jalan keluar iaitu jalan yang diketahui Allah Taala, jika Dia menghendaki maka boleh untuk diberikan atau ditegah. Manakala ayat selepasnya pula iaitu ‘Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangkanya’ bermaksud dari jalan yang tidak diketahuinya.

Di samping itu, dinukilkan juga daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT maka baginya jalan keluar yakni selamat daripada setiap kesengsaran dan kesusahan di dunia dan akhirat. Manakala Rabi‘ pula berpendapat bahawa maknanya ialah jalan keluar daripada setiap sesuatu yang sempit ke atas manusia. (Lihat Tafsir al-Tabari, 23/446)

Selain itu, Qatadah pula mentafsirkan ‘jalan keluar’ dalam ayat di atas sebagai jalan keluar daripada segala perkara syubhat dan kesusahan ketika mati. Manakala makna ayat “وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ” pula ialah memberinya rezeki daripada sesuatu yang tidak disangka-sangkakan dan tidak diharapkan. (Lihat Tafsir al-Tabari, 23/448)

Kedua: Bertawakkal kepada Allah

Daripada Umar bin al-Khattab RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ، تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا

Maksudnya:Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kamu sebagaimana Allah memberi rezeki kepada burung yang keluar di pagi hari dalam keadaan lapar dan pulang di petang hari dalam keadaan kenyang.”

Riwayat al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164) dan Ahmad (205). Imam al-Tirmidzi berkata hadith ini Hasan Sahih

Dalam menjelaskan maksud hadith ini, Imam al-Munawi berkata: Hal ini menunjukkan bahawa tawakkal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Tawakkal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki.

Dalam hadith ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa tawakkal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. (Dinukilkan dalam Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 7/8)

Ketiga: Bersyukur Atas Rezeki Dan Nikmat Allah

Firman Allah SWT:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya:Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”

(Surah Ibrahim: 7)

Ibn Kathir menyebutkan bahawa ayat di atas bermaksud sekiranya seseorang itu bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan kepadanya, maka Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat tersebut ke atas dirinya. Namun, sekiranya dia mengingkari nikmat itu, maka sesungguhnya azab Allah sangatlah pedih. Perkara tersebut adalah dengan menarik kembali nikmat itu daripada diri mereka dan menyeksa mereka disebabkan oleh pengingkaran terhadap nikmat tersebut. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni, 2/291)

Dikatakan juga bahawa “لَأَزِيدَنَّكُمْ” di sini bermaksud Allah SWT akan tambahkan lagi kepada mereka ketaatan kepada-Nya. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 330)

Ibn Kathir juga mendatangkan sebuah hadith di dalam Tafsirnya (4/479) daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki itu akan terhalang daripada rezekinya disebabkan oleh dosa yang menimpanya.”

Riwayat Ibn Majah (4022) dan Ahmad (22438)

Al-Syarwani menyatakan di dalam Hawasyinya: Dalam hadith diterangkan, “Sesungguhnya seorang lelaki itu akan terhalang daripada rezekinya disebabkan oleh dosa yang menimpanya.”. Hadith ini menetapkan bahawa melakukan dosa menjadi sebab seseorang terhalang dari rezeki terutamanya pada pembohongan. (Lihat Hawasyi al-Syarwani, 1/238)

Keempat: Melazimi Istighfar

Perintah disuruh beristighfar antaranya adalah berdasarkan firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ‎﴿١٠﴾‏ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ‎﴿١١﴾‏ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

(Surah Nuh: 10-12)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, jika kamu bertaubat kepada Allah, memohon ampun kepada-Nya dan kamu sentiasa mentaati-Nya, nescaya Dia akan membanyakkan rezeki kamu, menurunkan air hujan serta keberkatan dari langit, mengeluarkan keberkatan dari bumi, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan untuk kamu, melimpahkan air perahan susu untuk kamu, membanyakkan harta dan anak-anak untuk kamu, menjadikan kebun-kebun yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis buah-buahan untuk kamu, dan mengalirkan sungai-sungai di antara kebun-kebun itu. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/449)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا ، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا ، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang sentiasa melazimi istighfar, Allah SWT menjadikan baginya setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap keluh kesah itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”.

Riwayat Abu Dawud (1518), Ibn Majah (3819), Ahmad (1/248), al-Tabarani dalam al-Ausat (6/240) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3/351)

Kelima: Menjaga Hubungan Silaturrahim

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadith ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)

Keenam: Melazimi Sedekah

Daripada Asma’ binti Abu Bakar R.Anha, katanya:

قَالَ لِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ تُوكِي فَيُوكَى عَلَيْكِ

Maksudnya:  Nabi SAW bersabda kepadaku: “Janganlah kamu menahan harta (tidak memberi sedekah), nanti punca rezeki kamu akan diputuskan.”

Riwayat al-Bukhari (1433), al-Tirmidzi (1960), Abu Dawud (1699), al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra (9192) dan Ahmad (26912)

Hendaklah melazimi bersedekah walaupun sedikit. Terdapat sebuah hadith yang menyebut berkenaan doa malaikat kepada orang yang pemurah dan yang bakhil. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيْهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُوْلُ أَحَدُهُمَا: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا. وَيَقُوْلُ اْلآخَرُ: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: Tiada satu hari pun di mana seorang hamba berpagian, melainkan dua Malaikat turun kepadanya. Salah satu dari keduanya berkata: “Ya Allah! Kurniakanlah gantian kepada orang yang melakukan infaq dan sedekah.” Manakala Malaikat yang satu lagi berkata: “Ya Allah! Jadikanlah kehilangan kepada yang bakhil.”

Riwayat al-Bukhari (1442) dan Muslim (1010)

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam menjelaskan hadith ini berkata: “Pengganti itu lebih aula disamarkan agar mencakupi pengganti dalam bentuk harta dan pahala serta selainnya. Ini kerana berapa ramai orang yang berinfaq dan dia meninggal sebelum memperoleh balasan berupa harta di dunia, maka penggantinya adalah berupa pahala di akhirat, atau dia dilindungi dari keburukan.” (Lihat Fath al-Bari, 3/305)

Guru kami Syeikh al-Syanqiti pernah menceritakan satu kisah mengenai kelebihan sedekah meluaskan rezeki. Suatu ketika seorang lelaki asing datang meminta bantuan kepada seorang pelajar Universiti Islam Madinah yang padanya terdapat hanya 100 Riyal, dan pelajar itu pun memberikan kepada lelaki asing tersebut duit tersebut. Ditakdirkan Allah selepas pada tu, seorang pegawai di Universiti Islam Madinah datang mencarinya dan memberikan 1000 Riyal kepadanya kerana telah mendapat keputusan cemerlang/mumtaz pada ujian semester yang lalu.

Ketujuh: Sentiasa Berdoa Kepada Allah Supaya Dimurahkan Rezeki

Daripada Ummu Salamah R.Anha, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ حِينَ يُسَلِّمُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: Bahawa Nabi SAW apabila Baginda solat Subuh, ketika memberi salam, Baginda membaca: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925)

Daripada Ali RA, bahawa seorang hamba mukatab telah datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melangsaikan hutang perjanjian dengan tuan aku (perjanjian kitabah iaitu antara hamba dengan tuannya untuk pembebasan dirinya), maka tolonglah aku!

Maka Saidina Ali RA berkata: “Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu doa yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada mereka. (Iaitu) Jika kamu dibebani hutang yang setinggi bukit, Allah akan selesaikannya untuk kamu? Saidina Ali berkata: “Katakanlah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-Mu daripada bergantung kepada selain-Mu.”

Riwayat Ahmad (1319) dan al-Tirmizi (3563)

Imam al-Munawi berkata: Sesiapa yang menyebutnya dengan niat yang benar, akan mendapat kesan pengabulan dengan segera. (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/809)

Kelapan: Melazimi Setiap Malam Membaca Surah al-Waqi’ah

Di antara kelebihan membaca surah al-Waqiah seperti yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqi’ah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (2498), al-Harith dalam al-Musnad (721), Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (680). Al-‘Iraqi menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Ihya’ (1/450)

Diriwayatkan bahawa ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat dan nazak, lalu Saidina Uthman bin Affan RA datang menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibn Mas’ud pun berkata:

أَتَخْشَى عَلَى بَنَاتِي الْفَقْرَ؟ إِنِّي أَمَرْتُ بَنَاتِي أَنْ يَقْرَأْنَ كُلَّ لَيْلَةٍ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ، وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: «مَنْ قَرَأَ الْوَاقِعَةَ كُلَّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَدًا» .

Maksudnya: “Apakah engkau risau akan puteri-puteriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan puteriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.” (Lihat Tarikh Dimasyq, 33/187; al-Bidayah wa al-Nihayah, 10/252)

Kesimpulan

Hadith yang dikatakan berkenaan fadhilat surah yang tiada huruf Kaf yang mencukupkan rezeki, bukanlah hadith Rasulullah SAW, bahkan tidak ada langsung sumber yang menceritakannya dan ia adalah hadith maudhu’ yang direka dan disandarkan kepada Nabi SAW.

Para ulama’ menyatakan bahawa haram bagi kita meriwayatkan hadith palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya. Ini merupakan pendapat Imam Ibn Salah, Imam al-Nawawi, al-Suyuti dan ramai lagi termasuk ulama’-ulama’ hadith masa kini. Hukum ini terbina berdasarkan hadith-hadith berkaitan larangan keras Rasulullah SAW terhadap pendustaan di atas nama Baginda SAW. Akan tetapi, hukum ini tidak terpakai kepada hadith dhaif kerana ia boleh diriwayatkan di dalam perkara fadhail apabila menepati syarat-syaratnya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani.

Hal ini sebagaimana hadith mutawatir yang diriwayatkan daripada ramai para sahabat, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291), Muslim di dalam Muqaddimah Sahih Muslim (4) dan Ahmad (18202)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka disebabkan perkara ini, maka dia tidak akan kekal di dalamnya. Ini kerana, seseorang itu akan dikeluarkan daripada neraka dengan kelebihan dan rahmat Allah SWT selagimana ada iman atau tauhid di dalam jiwanya. Terdapat beberapa fiqh hadith atau kaedah-kaedah yang boleh diambil daripada hadith yang penting ini. Di antaranya adalah:

  • Pertama: Menurut kaedah ahli sunnah, berdusta adalah satu khabar daripada seorang yang memang sengaja atau lalai terhadap sesuatu yang mana khabar tersebut menyalahi hakikat yang sebenar.
  • Kedua: Besarnya pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW dan ia merupakan perkara yang begitu keji dan termasuk di dalam dosa-dosa besar. Akan tetapi, seseorang itu belum lagi kufur jika dia berdusta melainkan sekiranya dia menghalalkan perbuatan tersebut. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab daripada pelbagai sudut.
  • Ketiga: Tidak ada perbezaan pada pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW sama ada pada hukum-hakam atau tidak seperti pada bab targhib (galakan) atau tarhib (ancaman), mawa’izh (peringatan) dan sebagainya. Ini kerana, kesemuanya adalah haram dan ia termasuk di dalam dosa yang besar serta seburuk-buruk perkara menurut ijma’ umat Islam.
  • Keempat: Haram meriwayatkan sesebuah hadith yang mana diketahui akan kepalsuannya atau seseorang itu merasakan bahawa hadith tersebut adalah palsu. Barangsiapa yang meriwayatkan sesebuah hadith yang diketahui akan kepalsuannya atau pada sangkaannya hadith tersebut adalah palsu dan dia tidak menjelaskan hal tersebut, maka dia termasuk di dalam ancaman hadith ini. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/69-71)

Kami katakan juga bahawa dari sudut amalan untuk kita baca dan lazimi mana-mana surah bukanlah satu kesalahan bahkan ia lebih kepada tajribah (pengalaman yang dilakukan) sebahagian ulama atau orang-orang soleh. Hasil yang didapati adalah tercapai cita-cita atau kehendak agar dimurahkan rezeki. Maka, kami katakan ini kerana doa mereka dan juga kurniaan Allah SWT atas keikhlasan mereka dalam membaca ayat-ayat Allah SWT serta berdoa kepada-Nya.

Sebagai penutup, kami menyimpulkan secara ringkas sebab-sebab yang boleh menjadikan rezeki itu luas berdasarkan nas-nas ilahi, iaitu:

  • Bertakwa kepada Allah
  • Bertawakkal kepada Allah
  • Beribadah kepada Allah dengan Ikhlas
  • Bersyukur atas rezeki dan nikmat Allah
  • Membaca Surah al-Waqiah
  • Melazimi Istighfar
  • Menjaga Hubungan Silaturrahim
  • Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa
  • Melazimi Sedekah
  • Sentiasa berdoa kepada Allah supaya dimurahkan rezeki

Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita rezeki yang luas dan kefahaman yang benar dalam memahami agama ini. Kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply