Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini, saya melihat isu imam di Mesir solat Hari Raya tanpa membaca al-Fatihah pada rakaat yang kedua tetapi terus membaca surah selepas takbir 5 kali. Kemudian, diikuti dengan salam dan terus naik ke mimbar untuk berkhutbah. Soalannya, adakah sah solat tersebut?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya nyatakan bahawa ini termasuk dalam sifat manusia iaitu pelupa. Benarlah kata pepatah: 

وَمَا سُمِّيَ الْإِنْسَانُ إِلَّا لِنَسْيِهِ

Maksudnya: “Tidaklah manusia itu disebut al-Insan (الْإِنْسَانُ ), kecuali kerana dia memiliki sifat lupa (نَسْيٌ ).” (Lihat al-Lami’ al-Sabih, 17/338)

Sekiranya seseorang itu tidak membaca surah al-Fatihah di dalam mana-mana rakaat maka solatnya itu tidak sah. Ini jelas melalui sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tiada solat bagi siapa yang tidak membaca al-Fatihah.” 

Riwayat al-Bukhari (756)

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu’, makmum diberi keuzuran supaya tidak mengikuti imam sebanyak tiga rukun yang panjang pada keadaan tertentu di mana makmum mesti rukuk sebelum imam bangun daripada sujud kedua untuk qiyam pada rakaat atau bangun untuk tasyahhud. (Lihat al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi)

Peristiwa ini berlaku ketika Presiden Mesir bersama Syeikh al-Azhar, Mufti Mesir, Menteri Wakaf dan ulama solat di tempat yang khas yang diimamkan solat di masjid Tentera Udara Mesir, di mana beliau selepas takbir 5 kali pada rakaat kedua terus membaca surah al-Nasr.

Walaupun begitu, oleh kerana peristiwa ini berlaku di Mesir di mana para ulamanya pelbagai mazhab, maka perlulah kita raikan mengikut suasana dan situasi setempat. Sementelahan di belakang imam tersebut terdapatnya ulama seperti Syeikh al-Azhar Imam al-Akbar Prof Dr Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Dr Syauqi ‘Allam, dan ramai tokoh kibar ulama.

Oleh kerana masalah ini sudah terjadi dan tanpa pengulangan solat, bahkan tanpa tanbih atau peringatan dari makmum mahu pun imam-imam di belakangnya, maka kami lebih cenderung dalam isu seperti ini dengan mengambil pendapat ulama yang mengharuskan serta mengatakan sah solat tanpa membaca al-Fatihah.

Kami kemukakan di sini pandangan ulama berkenaan kewajipan al-Fatihah:

  • Imam Syafi’i dalam qaul jadidnya wajib baca setiap rakaat termasuk pada solat jenazah.
  • Imam Malik berpendapat wajib pada tiga rakaat kecuali makmum pada solat jahriyyah (bacaan yang nyaring). Ia sama seperti qaul qadim dalam mazhab kami (Syafi’i). Begitu juga, pendapat Imam Abu Hanifah.
  • Mengikut pendapat Abu Hanifah pada qaul yang lain, tidak wajib ke atas makmum secara mutlak. Tetapi memadai walau membaca satu ayat yang pendek seperti ‘مُدْهَامَّتَانِ’ (Surah al-Rahman: 64).
  • Sedangkan dua sahabat kanannya (Abu Yusuf dan Muhammad Ibn al-Hasan al-Syaibani) berpendapat tidak dapat tidak mesti membaca tiga ayat atau satu ayat yang panjang.
  • Saidina Ali RA, al-‘Asam dan Ibn Rahawaih berpendapat tidak wajib membaca Fatihah dalam solat secara mutlak. (Lihat al-Balabil al-Sadihah oleh Ba Syuaib hlm. 53-55). Pendapat ini kami nukilkan dari kitab Bughyatu al-Mustarsyidin oleh Syeikh Abdul Rahman bin Muhammad bin Hasan al-Masyhur, 2/92. 

Justeru, dalam masalah seperti ini, kami cenderung kepada pandangan Abu Hanifah dan tidak perlu diqadha’ sembahyang atau diulang semula kerana bertaqlidkan kepada pandangan Saidina Ali RA, al-‘Asam dan Ibn Rahawaih dan juga pandangan Imam Abu Hanifah.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar kita semua sentiasa menjadi orang yang mendirikan solat:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 3 Julai 2023 bersamaan 14 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply