Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Baru-baru ini tular satu video di mana seekor kerbau yang dijadikan korban digantung dengan diikat pada kakinya dan kepalanya di bawah, lalu disembelih. Begitu juga seekor kambing yang disembelih dengan pisau tumpul dengan cara merodok pada lehernya. Soalan saya, apakah hukum menyembelih haiwan-haiwan tersebut dengan cara begitu? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Suruhan berbuat baik kepada semua makhluk termasuklah haiwan
Sebagai umat Islam kita dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk, tidak kira orang Islam atau orang bukan Islam, termasuklah haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
Surah al-Nahl (90)
Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/447)
Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”
Riwayat al-Bukhari (5997)
Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
Surah al-Taubah (128)
Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:
فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً
Maksudnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).”
Surah al-Ma’idah (13)
Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123)
Begitu juga, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh haiwan melainkan dengan tujuan bagi mendapat manfaat daripadanya seperti untuk memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ! وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا
Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”
Riwayat al-Nasa’i (4349)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya kita turut dituntut untuk berlaku ihsan atau berbuat baik ketika hendak menyembelih haiwan. Dalam erti kata lain, mematikannya dengan cara yang terbaik iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam dan tidak memperlihatkannya ketika disembelih kepada haiwan yang lain. Rasulullah SAW ada bersabda mengenai perkara ini:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.”
Riwayat Muslim (1955)
Hadith ini secara jelas menunjukkan kepada kewajipan berlaku ihsan kepada setiap makhluk, termasuklah juga kepada haiwan kerana pada saat ia hendak disembelih pun, kita dituntut untuk berlaku ihsan kepada haiwan tersebut. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127)
Selain itu, al-Nawawi juga ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa haiwan sembelihan itu hendaklah direhatkan dengan cara menajamkan pisau dan menyegerakan proses sembelihannya. Begitu juga disunatkan untuk tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang ingin disembelih dan tidak menyembelih haiwan dengan keberadaan haiwan yang lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/92)
Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A, ketika mana Rasulullah SAW berjalan di hadapan seorang lelaki yang meletakkan kakinya di atas paha seekor kambing dan mengasah pisau di hadapannya. Lalu Baginda SAW bersabda:
أَتُرِيدُ أَنْ تُمِيتَهَا مَوْتَاتٌ هَلَّا حَدَّدْتَ شَفْرَتَكَ قَبْلَ أَنْ تُضْجِعَهَا
Maksudnya: “Adakah kamu ingin mematikannya berkali-kali, tidakkah kamu menajamkan pisau sembelihan sebelum kamu membaringkannya (untuk sembelih)?”
Riwayat al-Hakim (7570)
Kesimpulannya
Dalam menjawab persoalan ini, terlebih dahulu ingin kami nyatakan di sini, jika haiwan-haiwan itu memenuhi syarat-syarat sembelihan, maka ia adalah sah dan halal untuk dimakan. Namun perbuatan menggantung haiwan secara terbalik (iaitu kakinya diikat di atas dan kepalanya pula di bawah) termasuk dalam perbuatan menyeksa haiwan. Hal ini kerana perbuatan menggantung itu adalah sejuzuk daripada jenis seksaan. Apatah lagi ia berkemungkinan boleh menyebabkan kematian kerana apa-apa benda yang bernyawa jika digantung dengan tempoh yang lama, ia boleh membawa kepada kematian. Lebih-lebih lagi, ketika mengangkatnya untuk diikat ke atas, berkemungkinan ia terjatuh lalu mengakibatkan luka parah pada bahagian yang lain, seterusnya menambahkan lagi seksaan yang terpaksa ditanggung oleh haiwan tersebut.
Begitu juga penggunaan pisau tumpul ketika sembelihan. Ini jelas menafikan konsep ihsan, saranan berbuat baik kepada haiwan sebagaimana yang diperintahkan oleh syarak. Bahkan perbuatan menyembelih dengan menggunakan pisau tumpul dan menggantung haiwan secara terbalik ketika sembelihannya, langsung tidak mencerminkan akhlak sebagai seorang Islam yang dekat dengan sifat rahmat — yakni bersikap belas kasihan dan berkasih sayang — sesama makhluk sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam itu sendiri.
Sebaliknya agama Islam menuntut umatnya untuk berbuat baik atau berlaku ihsan kepada haiwan dengan mematikannya dengan cara yang paling terbaik. Hal ini termasuklah cara memperebahkannya, memegangnya ketika sembelihan, menggunakan pisau yang tajam, tidak menyembelihnya di hadapan haiwan korban yang lain dan lain-lain. Namun, apa yang berlaku ketika proses sembelihan haiwan itu dilakukan, kadangkala seperti satu pertunjukkan. Inilah yang sepatutnya dielakkan. Kami juga menyarankan orang-orang lama atau mereka yang berkemahiran dalam menguruskannya tampil memberi tunjuk ajar kepada orang-orang lain terutamanya yang masih baru sekali gus memandu mereka dalam menguruskan proses penyembelihan haiwan-haiwan korban, agar ia lebih efisien dan berkesan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H