Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah memakai payung untuk berlindung daripada terik matahari ketika sedang dalam ihram?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, tidak ada larangan memayungkan sesuatu di atas kepala bagi tujuan melindungi diri daripada teriknya panas matahari, air hujan dan sebagainya.
Hal ini dapat dilihat dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Husain, dia berkata:
حَجَجْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَجَّةَ الْوَدَاعِ، فَرَأَيْتُ أُسَامَةَ وَبِلاَلاً وَأَحَدُهُمَا آخِذٌ بِخِطَامِ نَاقَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالآخَرُ رَافِعٌ ثَوْبَهُ يَسْتُرُهُ مِنَ الْحَرِّ حَتَّى رَمَى جَمْرَةَ الْعَقَبَةِ
Maksudnya: “Aku menunaikan haji bersama Rasulullah SAW ketika haji wada’. Ketika itu, aku melihat Usamah dan Bilal, salah seorang daripada mereka memegang tali kendali unta Nabi SAW, dan yang seorang lagi menaikkan pakaiannya untuk menutupi kepala Baginda daripada terik matahari, sehingga mereka melempar Jamrah al-‘Aqabah.”
Riwayat Muslim (1298)
Imam al-Syaukani berkata:
فِيهِ جَوَازُ تَظْلِيلِ الْمُحْرِمِ عَلَى رَأْسِهِ بِثَوْبٍ وَغَيْرِهِ مِنْ مَحْمِلٍ وَغَيْرِهِ، وَإِلَى ذَلِكَ ذَهَبَ الْجُمْهُورُ.
Maksudnya: “Hadith ini menjadi dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang sedang berihram untuk melindungi kepalanya dengan pakaian atau barang-barang bawaannya yang boleh dijadikan pelindung, sebagaimana pendapat jumhur ulama’ dalam masalah ini.” (Lihat Nail al-Autar, 5/12)
Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadat kita. Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ
Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H