Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika seseorang dikurniakan rezeki dengan kelahiran anak, iaitu beberapa hari sebelum Hari Raya Aidil Adha, maka yang mana lebih utama perlu dilaksanakan? Antara korban dan akikah? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Korban dan akikah kedua-duanya adalah sunat mu’akkad. Jika keadaan seseorang yang berkemampuan untuk melakukan kedua-duanya, maka pelaksanaan korban adalah lebih utama disebabkan waktunya yang terbatas. Manakala pelaksanaan akikah boleh diakhirkan pada waktu selain hari ketujuh.

Hal ini disebutkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, bahawa pelaksanaan korban lebih didahulukan daripada akikah kerana waktu korban terbatas. Dan melaksanakan keduanya dalam satu waktu tidak boleh apabila adanya kemampuan fizikal.

Ibn Hajar dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (4/256) menyebut:

الَّذِي دَلَّ عَلَيْهِ كَلَامُ الْأَصْحَابِ وَجَرَيْنَا عَلَيْهِ مُنْذُ سِنِينَ أَنَّهُ لَا تَدَاخُلَ فِي ذَلِكَ لِأَنَّ كُلًّا مِنْ الْأُضْحِيَّةِ وَالْعَقِيقَةِ سُنَّةٌ مَقْصُودَةٌ لِذَاتِهَا وَلَهَا سَبَبٌ يُخَالِفُ سَبَبَ الْأُخْرَى وَالْمَقْصُودُ مِنْهَا غَيْرُ الْمَقْصُودِ مِنْ الْأُخْرَى إذْ الْأُضْحِيَّةُ فِدَاءٌ عَنْ النَّفْسِ وَالْعَقِيقَةُ فِدَاءٌ عَنْ الْوَلَدِ إذْ بِهَا نُمُوُّهُ وَصَلَاحُهُ وَرَجَاءُ بِرِّهِ وَشَفَاعَتِهِ.

Maksudnya: “Yang ditunjukkan oleh perkataan Ashab Syafi’iyyah dan sudah kami laksanakan bertahun-tahun adalah: Tidak ada penggabungan antara korban dan akikah, kerana masing-masing adalah sunat yang menjadi tujuan utama; kedua-duanya juga mempunyai sebab yang berbeza daripada yang lain. Serta tujuan salah satunya bukan tujuan yang lain; kerana korban ada ‘tebusan untuk diri’, manakala akikah ‘tebusan untuk anak’. Kerana dengan akikah, ada harapan menjadi sebab membesar dan solehnya si anak, serta harapan bakti dan pertolongan anak di akhirat kelak.”

Ibn Hajar melanjutkan:

وَبِالْقَوْلِ بِالتَّدَاخُلِ يَبْطُلُ الْمَقْصُودُ مِنْ كُلٍّ مِنْهُمَا فَلَمْ يُمْكِنْ الْقَوْلُ بِهِ نَظِيرَ مَا قَالُوهُ فِي سُنَّةِ غُسْلِ الْجُمُعَةِ وَغُسْلِ الْعِيدِ وَسُنَّةِ الظُّهْرِ وَسُنَّةِ الْعَصْرِ وَأَمَّا تَحِيَّةُ الْمَسْجِدِ وَنَحْوُهَا فَهِيَ لَيْسَتْ مَقْصُودَةً لِذَاتِهَا بَلْ لِعَدَمِ هَتْكِ حُرْمَةِ الْمَسْجِدِ وَذَلِكَ حَاصِلٌ بِصَلَاةِ غَيْرِهَا

Maksudnya: “Pendapat yang menyatakan boleh mewakili korban akan membatalkan semua maksud akikah di atas, dan tidak boleh disamakan dengan mandi hari Jumaat dan mandi sebelum solat Raya, juga tidak sama dengan solat sunat (qabliyyah) Zohor dan Asar. Adapun solat tahiyyatul masjid dan seumpamanya, ia bukan maqsudah li zatiha, tetapi ia sebatas agar tidak menodai kehormatan masjid. Kerana itu, solat tahiyyatul masjid boleh terhasil dengan solat yang lainnya.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah, 4/256)

Namun, jika keadaan kewangan tidak mengizinkan, menurut Mufti Mesir, Syeikh Syauqi ‘Allam, boleh mengikut mazhab Hanafi dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. Mereka menyatakan bahawa boleh menggabungkan akikah dan korban pada waktu yang sama. Pandangan ini diasaskan kepada sekelompok tabi’in seperti Qatadah, Muhammad bin Sirin dan al-Hasan al-Basri.

Menurut mereka, kebolehan ini adalah bagi mempermudah (taisir) untuk umat Islam, serta tujuan agung daripada pelaksanaan ibadah penyembelihan tersebut adalah mengalirkan darah. Oleh itu, boleh untuk menggabungkan keduanya dalam satu pelaksanaan. Al-Buhuti berkata:

(وَإِنْ اتَّفَقَ وَقْتُ عَقِيقَةٍ وَأُضْحِيَّةٍ) بِأَنْ يَكُونَ السَّابِعُ أَوْ نَحْوُهُ مِنْ أَيَّامِ النَّحْرِ (فَعَقَّ) أَجْزَأَ عَنْ أُضْحِيَّةٍ (أَوْ ضَحَّى أَجْزَأَ عَنْ الْأُخْرَى)

Maksudnya: “Jika waktu akikah dan korban datang bersamaan, seperti pada saat hari ketujuh atau semisalnya, daripada hari-hari Nahar (hari Korban), kemudian dia melakukan akikah, maka sudah mencukupi daripada melakukan korban. Atau jika dia melakukan korban, maka sudah mencukupi daripada melakukan akikah.” (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat, 1/516)

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan dalam fatwanya, bahawa jika ibu bapa sedang berada dalam keadaan kesempitan rezeki, maka dia boleh mengambil pendapat yang mudah, iaitu menggabungkan pelaksanaan akikah yang kebetulan bersamaan dengan waktu korban.

Kami berpendapat, alangkah baiknya dibuat kedua-duanya jika berkemampuan. Sebaliknya jika diberi pilihan dari sudut afdhal, maka korban didahulukan kerana waktunya bersifat mudhayyaq (مُضَيَّق) sedangkan akikah walaupun disarankan pada hari ketujuh, tetapi ia bersifat muwassa’ (مُوَسَّع). Justeru, didahulukan korban dari akikah.

Semoga kita dapat menegakkan syiar Allah SWT dengan memilih korban atau akikah dari lembu, kambing, kibasy yang besar, dan kita termasuk di dalam firman-Nya:

وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya:  “Dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”

(Surah al-Hajj: 32)

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply