Soalan:

Benarkah ada dalil penghafaz quran boleh tarik orang yang dia suka masuk syurga? Misal kata ada dalil, bolehkah kita tarik ibu bapa yg non muslim untuk masuk syurga sekali. Mohon pencerahan Datuk.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad)  “ Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu”.

Surah Al-Isra’ (88)

Menurut al-Maraghi, al-Quran adalah sebuah kitab mukjizat kerana tidak ada makhluk yang mampu dan mustahil untuk mendatangkan sebuah kitab semisal al-Quran, sekalipun terdapat gabungan dan kesepakatan antara seluruh manusia dan jin. Sudah tentu perkataan makhluk tidak akan boleh menyamai perkataan Yang Maha Pencipta, yang tiada tandingan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4024)

Berbalik kepada soalan di atas, kami membahagikan jawapan kami kepada dua:

Pertama: Adakah dalil orang yang hafiz al-Quran boleh menarik orang untuk masuk ke syurga?

 

Hasil penelitian kami, tiada dalil yang jelas kesahihan tentang isu ini. Namun, terdapat beberapa hadith mengenainya:

  • Daripada Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَاسْتَظْهَرَهُ [أي: عَنْ ظَهْرِ قَلْبِيٍ] فَأَحَلَّ حَلاَلَهُ وَحَرَّمَ حَرَامَهُ أَدْخَلَهُ اللّهُ بِهِ الْجَنَّةَ وَشَفَّعَهُ فِي عَشْرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ كُلُّهُمْ قَدْ وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ

Maksudnya: “Barang siapa yang membaca dan menghafal al-Quran lalu menghalalkan yang halal di dalamnya dan mengharamkan yang haram di dalamnya nescaya Allah akan memasukkannya dengan sebab itu ke dalam jannah, dan menerima syafa’atnya untuk 10 orang daripada keluarganya yang kesemuanya mesti masuk ke dalam neraka”.

 Riwayat al-Tirmizi (2905)

Pendapat ulama’ berkaitan hadith ini

Antara pendapat ulama’ dalam menghukum hadith ini:

  • Imam al-Baihaqi menyatakan Hafs bin Sulaiman bersendiri (tafarrud) dalam meriwayatkan hadith ini dan dia seorang yang dhaif dalam meriwayatkan hadith. (Lihat Syu’ab al-Iman, 2/3804)
  • Al-Mubarakfuri mengatakan Hafs bin Sulaiman adalah seorang matruk (ditinggalkan) dalam meriwayatkan hadith. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/323)

Maka, kami tarjihkan hadith ini sebagai teramat lemah dan perawinya telah dihukum dhaif oleh para ulama’.

Namun, terdapat hadith berkenaan kelebihan yang diberikan kepada ibu bapa kerana disebabkan merekalah anak itu mempelajari al-Quran.

  • Daripada Buraidah al-Aslamiy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الْوَقَارِ ، وَيُكْسَى وَالِدَاهُ حُلَّتَيْنِ لَا يُقَوَّمُ لَهُمَا أَهْلُ الدُّنْيَا ، فَيَقُولَانِ : بِمَ كُسِينَا هَذِهِ ؟ فَيُقَالُ : بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ ، ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : اقْرَأْ وَاصْعَدْ فِي دَرَجَةِ الْجَنَّةِ وَغُرَفِهَا ، فَهُوَ فِي صُعُودٍ ، مَا دَامَ يَقْرَأُ هَذًّا كَانَ أَوْ تَرْتِيلًا

Maksudnya: “Akan dipakaikan di kepalanya mahkota dan kedua ibu bapanya akan diberi perhiasan yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia. Lalu mereka bertanya: “Mengapa kami diberi perhiasan seperti ini?”. Allah menjawab: “Kerana anak kamu mempelajari al-Quran?”. Kemudian dikatakan kepadanya: “Bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya”. Dia akan terus naik selama dia membaca (ayat al_Qur’an).”

Riwayat Ahmad (22950). al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan sanad hadith ini hasan. (Lihat al-Mathalib al-‘Aliyah, 14/324)

 

Kedua: bolehkah kita tarik ibu bapa yang non muslim untuk masuk syurga sekali?

Kami nyatakan orang yang bukan Islam tidak akan masuk ke syurga. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:


وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Surah Ali Imran (85)

Menurut al-Qurtubi, meskipun orang yang bukan Islam itu banyak melakukan kebajikan, namun di akhirat kelak, ia tidak akan dihitung oleh Allah SWT kerana tiada manfaat (Lihat Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/24). Hal ini kerana mereka hidup dalam keadaan kafir sebagaimana firman Allah SWT:

وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَّنثُورًا

Maksudnya: “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan”

Surah al-Furqan (23)

Walau bagaimanapun, amalan non Muslim di atas dunia, akan dibalas oleh Allah SWT di dunia juga sebagai tanda bukti Allah Maha Penyayang.

إِنَّ الْكَافِرَ إِذَا عَمِلَ حَسَنَةً أُطْعِمَ بِهَا طُعْمَةً مِنَ الدُّنْيَا وَأَمَّا الْمُؤْمِنُ فَإِنَّ اللَّهَ يَدَّخِرُ لَهُ حَسَنَاتِهِ فِي الآخِرَةِ وَيُعْقِبُهُ رِزْقًا فِي الدُّنْيَا عَلَى طَاعَتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang kafir jika dia melakukan amalan kebaikan, maka dia akan dibalas dengan kebaikan di atas dunia. Ada pun orang yang beriman, Allah SWT akan membalas amalan kebaikannya di akhirat kelak, dan menyediakan ganjaran rezeki di atas dunia kerana ketaatannya. Dalam riwayat yang lain: Sesungguhnya Allah SWT tidak menzalimi seorang mukmin yang membuat amalan kebaikan kerana dia akan diberi balasan kebaikan di atas dunia, dan akan dibalas juga di akhirat kelak. Ada pun orang kafir mereka akan diberi ganjaran kebaikan di atas dunia terhadap perbuatan mereka tetapi di akhirat kelak tiada ganjaran yang akan diberikan”

Riwayat Muslim (2808)

Kesimpulan

Maka, kami nyatakan tiada dalil yang sahih berkenaan penghafaz al-Quran boleh menarik orang tuanya ke syurga, namun ibu bapanya akan dikurniakan mahkota sebagaimana dijelaskan di atas. Begitu juga, non Muslim tidak akan masuk ke syurga, meskipun anaknya penghafaz al-Quran. Namun, sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh menghukum sama ada orang itu akan masuk ke syurga mahupun neraka, kerana hanya Allah yang layak menentukannya. Bahkan, kita tidak tahu diakhir hayat dia, mungkin Allah gerakkan hatinya untuk memeluk Islam. Justeru itu, Islam mengajar kita untuk sentiasa berbuat baik tidak kira berbeza agama, bangsa mahupun kaum.

Kami menutup perbincangan ini dengan berdoa kepada Allah:

اللَّهُمْ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قُرِّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَأَعُوذُّ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قُرِّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya sama ada ucapan atau amalan. Aku mohon berlindung dengan-Mu daripada neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya sama ada ucapan atau amalan. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply