Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri Dr Zulkifli Al Bakri. Mohon maaf saya mengganggu. Saya mohon pencerahan berkaitan pandangan Dr. tentang drama Korea yang viral memenuhi media. Tajuk ‘Dr Zul puji filem korea’ dapat dilihat di mana-mana platform.
Soalan saya:
1- Adakah Dr berpandangan bahawa menonton drama Korea yang bermatlamat baik seperti cerita peguam autism atau seumpamanya adalah halal walaupun dalamnya terdapat babak Yang mengandungi unsur ikhtilat lelaki perempuan, adegan berpelukan, adegan bercium dan pembukaan aurat yang jelas.
2- Jika halal, apakah dasarnya? Adakah Dr menggunakan konsep istihsan sebagai contoh? Adakah harus konsep ini pada drama seperti ini.
3- Pandangan Ustaz Dr Abdul Samad ketika ditanya tentang nonton drama Korea dan menyebut ianya rusak ya’ni merosakkan. Begitu juga Majlis Ulama Indonesia Riau yang tidak mengharuskan tontonan filem Korea secara umum.
Sebenarnya, saya sangat risau, pandangan Dr membawa anak muda bergembira dan mengaplikasikannya kepada drama-drama yang lain. Asalkan matlamatnya baik, maka mereka melihatnya sebagai halal.
Jika cerita seperti Munafiq atau cerita keagamaan Indonesia Ketika Cinta Bertasbih, kita faham keharusannya. Tetapi drama Korea, saya sangat tidak jelas. Saya susun jari mohon maaf andai terkasar bahasa. Mohon pencerahan Dr.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, saya lafazkan astaghfirullahal ‘azim wa atubu ilaih dan atas apa yang saya lakukan atau apa-apa pandangan yang mungkin dilihat dari sudut yang pelbagai. Bagi menjawab persoalan di atas, terlebih dahulu saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang bertanya. Bagi saya jelas menunjukkan kejujuran dan keikhlasan berkenaan dengan isu yang dibangkitkan ini.
Oleh kerana soalannya amat panjang dan huraiannya, maka saya akan bahagikan jawapan ini kepada beberapa noktah.
- Saya bukanlah peminat drama Korea atau mana-mana drama dan filem. Bahkan amat nadir dan jarang masa yang ada pada saya untuk menonton drama atau filem. Saya lebih suka untuk memfokuskan nilai-nilai murni yang ada dalam sesebuah filem dan drama. Apa yang saya tahu akan keburukannya, saya tinggalkan.
- Apa yang saya tekankan adalah bagaimana kajian yang mendalam dibuat bagi menjiwai satu-satu watak. Apabila Anthony Quinn membawakan watak sebagai Umar Mukhtar dalam filem The Lion of the Desert, kita akan dapat lihat kesungguhan watak yang dimainkan persis seperti pejuang Umar Mukhtar sekali pun beliau bukanlah Muslim. Kualiti ini ada pada sebahagian filem-filem Korea yang saya maksudkan. Saya banyak kenalan dalam kalangan pemain industri perfileman dan mereka akui perkara ini.
- Seorang pengarah filem bernama Muhammad Bayazid dalam sebuah rancangan televisyen Sawa’id al-Ikha’ yang menghimpunkan ramai tokoh ulama dan pendakwah seperti Syeikh Issam Bashir, Dr Ratib Nablusi, Dr Salman Fahad al-‘Audah, Syeikh Dr Salabi, Syeikh Muhammad al-‘Arifi dan lain-lain pernah menghuraikan kehebatan filem Barat dalam membentuk pemikiran masyarakat dan menyebarkan ideologi tertentu. Beliau membawakan contoh filem American Sniper yang ditayangkan pada tahun 2014. Ia adalah sebuah filem perang yang berlatarbelakangkan Iraq sepanjang 2003 – 2009. Tidak sedikit penonton menitiskan air mata apabila lebih 150 orang tentera Amerika Syarikat terbunuh di tangan pengganas yang digambarkan beragama Islam. Ia juga menyumbang kepada fenomena Islamofobia yang semakin meruncing pada ketika itu.
Ujarnya lagi, pembikin filem daripada dunia Islam sewajarnya mengambil inisiatif yang sama bagi membentuk naratif balas; filem “lawannya” filem, drama “lawannya” drama. Benarlah kata bijak pandai, “Ucapan dusta, jika diulang 1000 kali, akan dianggap sebagai benar.”
Tidak perlu kita pergi terlalu jauh. Ada beberapa filem dan drama bersiri dalam Netflix yang membawakan tema Islamofobia dan diolah dengan begitu “sempurna”. Saya bawakan conto drama bersiri Homeland yang mengisahkan seorang tentera laut Amerika Syarikat yang pulang ke rumah selepas 8 tahun dipenjarakan oleh Al Qaeda. Beliau memeluk Islam secara sembunyi, beribadah secara diam-diam. Anaknya menjadi ketakutan apabila melihat ayahnya sedang bersolat dan merasakan si ayah hendak membunuhnya. Dalam masa yang sama, seorang ejen CIA beliau adalah seorang pengganas. Drama bersiri ini boleh didapati di negara-negara tertentu melalui Netflix. Begitu juga drama bersiri Caliphate yang mengisahkan tiga orang wanita yang ditahan oleh ISIS.
Kita boleh habiskan masa berbulan-bulan menonton semua drama dan filem ini satu persatu dan saya yakin, kita tidak akan mampu menghabiskan kesemuanya. Itulah gambaran betapa banyaknya unsur-unsur Islamofobia yang menjadi “selling point” yang ampuh. Pujangga ada menyebut, “Siapa yang mendahului dialah yang membuatnya atau mereka ciptanya.” Di sinilah jawapannya. Imej Muslim dan Islam sering disalahtafsir oleh pembikin filem Barat, dan mereka sering mendahului kita. Baca sahaja artikel jurnal oleh Meagen Tajalle yang bertajuk Recycled Tropes and the Persistence of Islamophobia in American Films dan kita pasti akan bersetuju dengan kebenaran yang pahit untuk ditelan ini. [1]
Muhammad Bayazid mengambil contoh Steven Spielberg yang boleh dikatakan pengarah filem legenda dengan jujukan filem yang boleh diiktiraf antara 10 filem terbaik dalam sejarah dunia. Sentuhan beliau mampu membuatkan sesiapa sahaja yang menonton filemnya ketawa dan menangis. Tidak ramai pengarah filem yang mampu membikin filem-filem yang berkualiti sepertinya, apatah lagi dalam dunia Islam.
Hakikatnya, terlalu banyak anekdot dalam sejarah dunia Islam sejak dahulu hingga hari ini yang mampu difilemkan dari sisi pandang kita sebagai seorang Muslim. Peperangan di Algeria yang menyaksikan lebih sejuta nyawa melayang? Hanya ada sebuah filem tentangnya tetapi sekadar melepaskan batuk di tangga. Tak kurang daripada 15 buah filem diterbitkan berkenaan peristiwa Holocaust. Bagaimana pula dengan tragedi berdarah di Syria, Palestin dan negara-negara umat Islam lain yang masih berlaku sehingga hari ini?
- Sengaja saya sebut hal ini panjang lebar kerana realiti adalah berbeza dengan apa yang kita cita-citakan dan kita dambakan. Atas kertas, cadangan, kehendak, cita-cita semuanya adalah mudah, sempurna, bersih dan lengkap. Tetapi bila berada dalam fiqh kehidupan ia rencam yang pelbagai. Sebenarnya, banyak uslub dakwah yang boleh digunakan oleh ummah dalam filem atau drama yang bukan dibuat seperti melepas batuk di tangga tanpa kualiti dan sukar menarik minat penonton. Inilah yang saya ingin semua faham.
- Kita hanya tahu mengkritik, mengharamkan, dan melarang, tanpa menyediakan alternatif yang cukup ampuh untuk masyarakat kita. Ini ruang dakwah yang ramai terlepas pandang. Saya hormat pandangan ulama’ yang menolak keras filem dan drama Korea atas sebab yang saya sedia maklum. Namun, penolakan tidak akan memberi apa-apa kesan jika kita tidak mula menggerakkan alternatif yang lebih baik. Itu yang saya huraikan dalam kenyataan saya yang ditularkan berkenaan filem dan drama Korea.
Sekali lagi saya mohon maaf jika ulasan ini menyinggung beberapa pandangan rakan-rakan dan sahabat semua. Akhir kalam, saya menutup dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir Ibn Kathir, 3/75)
[1] Lihat Tajalle, Meagen. 2020. Recycled Tropes and the Persistence of Islamophobia in American Films. Inquiries Journal 12 (10), http://www.inquiriesjournal.com/a?id=1814
Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H