Soalan:

Assalamualaikum Dato, saya ingin bertanya saya diberi gelang emas oleh ibu saya, saya hanya memakainya sekali sekala. Soalan saya, adakah ia dikenakan zakat ?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah 103)

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka

kewajiban berzakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1496)

Zakat Emas Perhiasan

Diriwayatkan  daripada Jabir R.anhu bahawa Rasulullah SAW sabdanya:

لاَ زَكَاةَ فِي الْحُلِىِّ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat barang kemas.”

 Riwayat al-Baihaqi (4/138) dan al-Daraqutni (2/107)

Tidak dikenakan zakat bagi perhiasan dan Jenis perhiasan yang dikecualikan adalah perhiasan yang diharuskan oleh syara’,. Maka, tidak ada zakat yang harus dikeluarkan darinya. Contohnya, jika seorang wanita memiliki perhiasan emas atau perak yang mana jumlahnya tidak melebihi batas menurut adat masyarakat, maka tidak wajib bagi mereka untuk membayar zakat atas perhiasan tersebut. Begitu juga cincin perak bagi lelaki. ini kerana memandang keduanya sebagai perhiasan yang menghilangkan sifat pertumbuhan di dalamnya. Boleh membuat perhiasan kedua-duanya dengan izin syara’ kerana menjadi harta yang tetap tanpa pertumbuhan ada dalamnya.(Lihat Fiqh al-Manhaji, 2/23)

Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan di sini hukum asal sebarang bentuk perhiasan tidak diwajibkan zakat. Dengan dijadikan emas sebagai barang perhiasan dan kegunaan peribadi, emas berkenaan tidak lagi bersifat subur dan berkembang. Namun barang perhiasan tetap diwajibkan zakat sekiranya pemakaiannya terlalu banyak sehingga berlebihan dan melampaui kadar yang biasa (uruf) dipakai iaitu (nilai pemakaian setempat yang dibenarkan). Urus semasa bagi emas perhiasaan adalah 800gram (kadar uruf emas perhiasan berbeza mengikut negeri). Justeru sebarang pemakaian yang berulang ataupun sekali dalam tempoh setahun sekiranya  melebihi uruf semasa  wajib dikeluarkan zakat ke atasnya.

Contoh Pengiraan

Nilai uruf emas ialah 800gram. (uruf berbeza mengikut negeri)

Formula pengiraan adalah seperti berikut :

(Berat emas dipakai – berat uruf x harga emas semasa x 2.5% kadar zakat)

Sekiranya berat emas yang dipakai ialah 900 gram, maka pengiraannya ialah :
900g – 800g X RM 238.81 (contoh harga emas semasa) X 2.5%
= RM 5970.25

Justeru, kami katakan di sini sekiranya emas yang dipakai tidak melebihi uruf tempat semasa maka tidaklah dikenakan zakat.

Wallahua’lam

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply