Soalan
Assalamualaikum. Saya nak tanya, bolehkah seorang kerani pejabat mengubah kelulusan dokumen, contohnya, dokumen tersebut belum mendapat kelulusan tetapi di’edit’ dengan meniru tanda tangan pihak atasan kerana dokumen tersebut hendak digunakan dengan secepat mungkin?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
Surah al-Anfal (27)
Al-Maraghi menjelaskan bahawa larangan mengkhianati amanah Allah iaitu dengan mengabaikan perintah Allah, melanggar larangan-Nya serta melampaui batasan agama. Begitu juga larangan mengkhianati Rasulullah SAW dengan cara tidak mengikuti penjelasan yang diberikan oleh Baginda tetapi mengambil atau berpegang dengan penjelasan hawa nafsunya, pendapat gurunya, bapanya atau perintah pemerintahnya. Bukan itu sahaja, pengkhianatan kepada Rasulullah SAW juga adalah dalam bentuk tidak mengikuti sunnah Baginda, sebaliknya mengikuti sunnah bapanya atau pemimpinnya yang mendakwa mereka lebih mengetahui apa yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya.
Kemudian, dijelaskan juga akan larangan mengkhianati amanah sesama manusia dalam segala jenis urusan melibatkan urusan muamalat, akhlak dan aspek sosial. Begitu juga larangan mengkhianati pemerintah dalam perihal politik dan juga peperangan kerana perbuatan itu boleh memberi manfaat kepada pihak musuh. Justeru, dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang oleh Allah SWT.
Meniru Tandatangan
Perbuatan meniru adalah salah satu cabang dalam menipu dan ia suatu perbuatan yang haram serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW melalui tempat timbunan makanan (yang dijual). Lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam timbunan tersebut. Tiba-tiba di dalamnya basah — yakni rosak. Maka Baginda bertanya: “Apa ini wahai tuan makanan?” Dia menjawab: “Ia terkena hujan, Wahai Rasulullah.” Baginda bersabda:
أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Maksudnya: “Kenapa kamu tidak meletakkannya di atas supaya orang ramai boleh melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.”
Riwayat Muslim (102); Riwayat Ibn Hibban (4905) dan Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih mengikut syarat Muslim.
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan jika sekiranya ia telah mendapat keizinan dari pihak yang sepatutnya menanda tangani dokumen atau borang tersebut, maka hukumnya adalah harus. Namun, sekiranya ia ditiru tanpa keizinannya, maka hukumnya adalah haram. Hal ini kerana lazimnya sesuatu yang perlu ditanda tangan itu adalah sesuatu perkara yang mustahak dan perlu diteliti terlebih dahulu. Ia bertepatan dengan kaedah fiqh:
لَا يَجُوزُ لِأَحَدٍ أَنْ يَتَصَرَّفَ فِي مِلْكِ الْغَيْرِ بِلَا إِذْنِهِ
Maksudnya: Seseorang tidak boleh menggunakan harta orang lain tanpa izinnya.
Maka, seseorang yang menggunakan harta orang lain tanpa keizinan pemiliknya, dianggap seperti merampas harta orang lain dan perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian yang timbul. (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah, 1/551)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir Ibn Kathir, 3/75)
Wallahua`lam.
Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H