Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah nama dapat memberi kesan kepada peribadi seseorang? Ini kerana, saya pernah dengar bahawa, kita perlu beri nama anak yang baik-baik, dan jika nama itu bawa maksud tak baik, seeloknya kita tukar. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith daripada Ibn al-Musayyib, daripada bapanya, katanya:

أَنَّ أَبَاهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «مَا اسْمُكَ» قَالَ: حَزْنٌ، قَالَ: «أَنْتَ سَهْلٌ» قَالَ: لاَ أُغَيِّرُ اسْمًا سَمَّانِيهِ أَبِي قَالَ ابْنُ المُسَيِّبِ: «فَمَا زَالَتِ الحُزُونَةُ فِينَا بَعْدُ»

Maksudnya: Bahawa  bapanya (yakni datuk kepada Sa‘id bin al-Musayyib) datang kepada Nabi SAW, lalu Baginda berkata: “Siapa namamu?” Dia menjawab: “Hazn.” Baginda bersabda: “Engkau Sahl (senang).” Dia berkata: “Aku tidak akan mengubah nama yang telah diberikan ayahku.” Ibn al-Musayyib berkata: “Maka kekasaran terus berlaku pada diri kami selepas itu.”

 Riwayat al-Bukhari (6190)

Dalam menjelaskan hadith ini, al-Qastalani berkata: Kata Ibn al-Musayyib, ‘فَمَا زَالَتْ فِينَا الْحُزُونَة’ (Maka kekasaran terus berlangsung pada kami), yakni kesukaran. (Lihat Irsyad al-Sari, 9/111).

Al-‘Aini pula menukilkan bahawa Ibn al-Tin menyebutkan, makna perkataan Ibn al-Musayyib, ‘فَمَا زَالَتْ فِينَا الْحُزُونَة’ (Maka kekasaran terus berlangsung pada kami), yakni tidak adanya kemudahan pada apa yang mereka inginkan. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/208; Lihat Fath al-Bari, 17/391).

Begitu juga, Syeikh Syams al-Haq al-‘Azim Abadi turut menjelaskan bahawa lafaz ‘حزونة’ di sini bermaksud kekasaran dalam akhlak dan peribadi, sepertimana disebut oleh al-Suyuti.  (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 13/203).

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada Ibn Battal, katanya: “Di sini terdapat keterangan bahawa perintah memperelokkan nama dan mengubah kepada yang lebih baik tidaklah wajib.”

Turut dinukilkan daripada al-Dawudi, katanya: “Maksudnya adalah kekasaran dalam akhlak mereka.” Ulama selainnya pula menyebutkan, dia mengisyaratkan sikap kasar yang terus ada dalam akhlak mereka. Para ahli nasab menyebut bahawa pada anaknya terdapat akhlak yang kurang elok dan hal ini sangat dikenali dan hampir-hampir tidak pernah hilang daripada mereka.  (Lihat Fath al-Bari, 17/391).

Justeru, berdasarkan hal ini, dapat difahami bahawa terdapat perkaitan antara nama yang diberi dengan peribadi seseorang.

Sebahagian para ulama menjelaskan bahawa terdapat kaitan yang ketara di antara nama dengan seseorang yang dinamakan dengan nama tersebut.

Antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al-Qayyim dengan katanya: “Secara kesimpulannya, akhlak serta perbuatan-perbuatan yang buruk itu ada hubungkaitnya dengan nama. Demikianlah nama-nama yang baik akan mendorong kepada akhlak dan perbuatan yang baik. Dan tidaklah Rasulullah SAW itu dinamakan dengan Muhammad melainkan kerana banyaknya ciri-ciri dan sifat terpuji pada diri Baginda SAW. Dan sesungguhnya pemilik nama yang baik kadangkala malu dengan namanya, dan kadangkala disebabkan namanya itulah yang mendorong seseorang melakukan perbuatan yang sesuai dengan namanya serta meninggalkan apa yang bercanggahan dengannya.” (Lihat Tuhfah al-Maudud, hlm. 250).

Disebabkan perkaitan inilah para ulama membahaskan hukum menukar nama, perinciannya dibahaskan oleh Ibn al-Qayyim dalam fasal ketiga dalam kitab beliau Tufhah al-Maudud ketika membahaskan galakan menukar nama kepada nama yang lain disebabkan maslahah. (Lihat Tuhfah al-Maudud, hlm. 129).

Antara dalil yang menunjukkan kepada galakan menukar nama yang kurang elok ialah hadith riwayat Abu Hurairah R.A, katanya:

أَنَّ زَيْنَبَ، كَانَ اسْمُهَا بَرَّةَ، فَقِيلَ تُزَكِّي نَفْسَهَا‏.‏ فَسَمَّاهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم زَيْنَبَ‏

Maksudnya: Bahawanya pada asalnya nama Zainab ialah Barrah, maka dikatakan kepadanya ‘engkau memuji diri sendiri’ maka Rasulullah SAW pun menukarkan namanya kepada Zainab.

Riwayat al-Bukhari (6192)

Begitu juga hadith daripada Ibn al-Musayyib, di mana Nabi SAW telah menyarankan untuk menukar nama datuknya daripada Hazan kepada Sahl, sepertimana dalam hadith yang telah disebutkan di atas.

Berdasarkan hadith-hadith di atas dan juga hadith-hadith lain yang terkait sekitar pemberian nama ini, para ulama telah mencapai kepada beberapa rumusan, antaranya:

Kita dituntut untuk menukarkan nama seseorang kerana kejelekannya dan keburukannya. (Lihat Tuhfah al-Maudud, hlm. 133)

Sebagai contoh seperti nama ‘Abd Kaabah, kerana nama tersebut terdapat unsur syirik padanya. Begitu juga kita digalakkan untuk menukarkan nama kerana maslahah tertentu walaupun nama itu baik pada asalnya. Seperti nama Barrah dan Kharunnisa’. Ini kerana Barrah bermaksud yang banyak membuat baik manakala Khairunnisa’ bermaksud sebaik-baik wanita.

Kita dituntut untuk mengelakkan nama yang boleh membawa kepada mempercayai sial. Contohnya seperti nama hazan yang bermaksud kesedihan, nama sebegini boleh membawa kepada mempercai bahawa segala musibah yang ditimpa insan yang bernama hazan ini ialah kerana namanya yang membawa kepada kesedihan. (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat, 1/615).

Atas dasar ini Imam al-Nawawi memakruhkan untuk menamakan anak dengan nama yang jelek dan nama yang terdapat padanya unsur kecelakaan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/417).

Memberi Nama Dengan Sikap Tafa‘ul (Berharap ke Arah Kebaikan)

Syeikh Abdullah Nasih Ulwan menyebutkan, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa melaksanakan cara yang paling betul dari hal memberi nama kepada anak-anak mereka supaya mengelakkan nama-nama yang menjejaskan kedudukan mereka, atau menghinakan kemuliaan mereka atau menghancurkan peribadi serta perasaan mereka.

Para ibu bapa juga perlu mencontohi Nabi SAW dalam memberi panggilan kepada anak-anak mereka semenjak mereka kecil lagi. Gunakanlah panggilan-panggilan yang mereka (kanak-kanak itu) sukai supaya mereka merasai peribadi dan jiwa mereka disuburkan dengan perasaan kasih sayang serta kemuliaan.

Mereka dibiasakan dengan peradaban yang tinggi dan mulia dalam hubungan mereka dengan orang sekeliling serta bermesra-mesra dengan kawan-kawan.

Sewajarnya kita berpegang teguh dengan asas-asas pendidikan yang mulia ini dan mengikut jejak langkah prinsip-prinsip metodologi Islam yang agung. Hal ini, jika kita ingin mengembalikan kepada diri kita serta umat kita, keagungan yang terputus dan kedudukan yang besar. Ini semua tidaklah menjadi susah untuk dicapai di sisi Allah SWT jika kita bersifat ikhlas, berpegang teguh dalam melaksanakan Islam sebagai syariat, pendidikan dan metodologi.(Lihat Tarbiyah al-Aulad fi al-Islam, 1/84-86).

Begitu juga dalam hal melaqabkan anak. Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam Tarbiyah al-Aulad menyebut, antara prinsip pendidikan yang diadakan oleh Islam bagi mendidik anak ialah memanggil anak yang baru dilahirkan itu dengan Abu Fulan (bapa si fulan). Panggilan itu mempunyai kesan-kesan yang baik terhadap jiwa kanak-kanak itu dan juga faedah pendidikan yang amat besar sebagaimana berikut:

  •   Menyemai perasaan mulia dan hormat dalam jiwa anak itu. Contohnya seperti kata penyair Arab yang bermaksud: Saya memberikan nama anak dengan panggilan yang baik bagi memuliakannya dan saya tidak memberikan gelaran buruk kerana gelaran itu ialah sesuatu yang tidak baik.
  •   Mendewasakan keperibadian terhadap masyarakat kerana kanak-kanak akan berasa bahawa ia telah sampai ke tahap dan umur yang sudah besar serta patut dihormati.
  •   Bermesra dan berlemah lembut dengannya, serta menggembirakannya dengan memanggilnya dengan panggilan yang disukai.
  •   Membiasakannya dengan beradab dalam percakapan dengan yang lebih tua daripadanya dan juga yang sebaya dengannya.

Memandangkan faedah-faedah yang besar serta anggapan-anggapan yang begitu baik, Rasulullah SAW mengamalkan cara memanggil kanak-kanak dengan panggilan Abu Fulan (bapa si fulan) bagi dijadikan satu ajaran serta tunjuk ajar kepada pendidik, supaya mereka mencontohi Rasulullah SAW dan mengikutnya dalam memanggil kanak-kanak dengan Abu Fulan. 

Suka dinyatakan menjadi kewajipan bagi setiap pendidik untuk mengelakkan nama-nama yang membawa makna pura-pura cinta seperti Hayam, Haifa, Nehad, Sawsan, Mayadah, Nariman, Ghada, Ahlam dan yang seumpama dengannya.

Kenapa? Hal ini bertujuan supaya umat Islam boleh dikenali dengan identitinya yang tersendiri serta sifat-sifat yang khusus. Ini kerana nama-nama seperti ini menjadi tanda kehilangan identitinya serta kejatuhan kepada kehormatannya dan juga kehancuran kepada semangatnya. Apabila umat Islam sampai ke tahap kehancuran serta kejatuhan ini, pasti ia akan berpecah belah dan menjadi mudah bagi musuh menceroboh merampas buminya dan menjadikan penghuninya yang mulia amat hina sebagaimana keadaan kita sekarang. (Lihat Tarbiyah al-Aulad fi al-Islam, 1/87-88).

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita zuriat yang soleh dan solehah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply