Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, adakah jatuh murtad mendengar lagu Mary on A Cross?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Kami mulakan terlebih dahulu dengan menyebutkan pandangan ulama’ mengenai hukum mendengar lagu. Secara ringkasnya, terdapat 2 pandangan dalam isu ini:

1) Pandangan yang Mengharamkan

Ini merupakan pandangan Imam Malik, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, ulama’ al-Syafi‘iyyah dan ramai lagi.

Mereka berhujjah dengan firman Allah SWT:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Maksudnya: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”

(Surah Luqman: 6)

Imam Ibn Kathir mengatakan di dalam tafsirnya, Allah SWT menceritakan di dalam surah al-Zumar ayat 23 perihal orang-orang yang bahagia, iaitu mereka yang diberi petunjuk dengan al-Quran dan mendapat manfaat apabila mendengarnya. Kemudian Allah SWT menyebut pula perihal orang-orang yang malang, iaitu mereka yang enggan mengambil manfaat dengan mendengar bacaan al-Quran, akan tetapi mendengar tiupan seruling dan nyanyian berserta alat lagu, seperti tafsiran Ibn Mas‘ud bagi surah Luqman ayat 6 katanya: “Demi Allah yang dimaksudkan adalah lagu.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/295)

Diriwayatkan juga daripada Abu Malik al-Asy‘ariy R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيَكونَنَّ مِن أُمَّتي أقْوامٌ، يَسْتَحِلُّونَ الحِرَ والحَرِيرَ، والخَمْرَ والمَعازِفَ

Maksudnya: “Akan ada di antara umatku, satu  kaum yang menghalalkan zina, sutera (untuk lelaki), arak dan alat musik.”

Riwayat al-Bukhari (5590)

Dan di dalam riwayat lain daripada Abu Malik al-Asy‘ariy R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ يَخْسِفُ اللَّهُ بِهِمُ الأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ

Maksudnya: “Manusia daripada kalangan umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama selain arak, alat muzik akan dimainkan untuk mereka dan penyanyi wanita menyanyi untuk mereka. Allah SWT akan menjadikan bumi menelan mereka dan menukar mereka menjadi monyet dan babi.”

Riwayat Abu Dawud (3688), Ahmad (22900) Ibn Majah (4020)

2) Pandangan yang Membolehkan

Ini merupakan pandangan Ibn Hazm, beliau mengambil hadith Nabi SAW berkenaan niat untuk menentukan hukum halal dan haram amalan seseorang:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: Sesungguhnya semua perbuatan itu harus disertai dengan niat dan tiap-tiap orang akan dinilai menurut niatnya.

Riwayat al-Bukhari (1)

Jadi barangsiapa mendengar nyanyian dengan niat untuk bermaksiat kepada Allah SWT, maka jelas dia adalah fasiq, dan ini termasuk semua perkara selain nyanyian. Begitu juga barangsiapa berniat untuk menghiburkan hati supaya dia mampu berbakti kepada Allah SWT dan lebih bersemangat dalam berbuat kebajikan, maka dia adalah orang yang taat dan berbuat baik dan perbuatannya pun termasuk perbuatan yang benar. Dan barangsiapa tidak berniat untuk taat kepada Allah dan tidak juga untuk bermaksiat, maka perbuatannya itu dianggap laghwun sahaja yang diharuskan. (Lihat al-Muhalla bi al-Athar, 7/567)

Syeikh Sulaiman al-Jamal pula menyatakan bahawa nyanyian tanpa alat muzik adalah makruh, meskipun nyanyian itu dinyanyikan oleh ajnabi atau golongan amrad (remaja lelaki yang kurang sifat kelakian). Namun jika dikhuatiri timbulnya fitnah atau melibatkan pandangan mata yang diharamkan, maka nyanyian tersebut menjadi haram. Adapun nyanyian ibu untuk menenangkan anaknya atau untuk melajukan pergerakan unta yang ditunggang seperti amalan orang Arab, maka tiada keraguan akan keharusannya.

Beliau memetik pandangan Imam al-Ghazali yang menyatakan, setiap nyanyian bergantung kepada niat. Jika bertujuan maksiat dihukumkan maksiat (haram), dan jika tidak berniat apa-apa, maka ia dikira sebagai al-lahwu yang dimaafkan. Manakala nyanyian yang disertai alat muzik, maka ia dikira haram. (Lihat Hasyiyah Jamal ‘ala Syarh Minhaj al-Tullab, 5/380)

Imam al-Ghazali juga hanya mengharamkan dua alat muzik yang menjadi syi’ar kepada peminum arak, iaitu alawtar (sejenis alat muzik bertali) dan al-mizmar (sejenis seruling), maka ianya haram. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/272) 

Antara hujjah mereka yang membolehkan mendengar lagu adalah hadith daripada ‘Aisyah R.Anha, dia berkata:

أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ ﷺ:‏ يَا عَائِشَةُ مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ

Maksudnya: “‘Aisyah R.Anha mempersiapkan seorang wanita untuk dinikahi seorang lelaki. Rasulullah SAW pun bersabda: “Wahai ‘Aisyah, tidak adakah sebarang hiburan dalam majlis perkahwinan ini? Sesungguhnya kaum Ansar amat menyukai hiburan.”

Riwayat al-Bukhari (5162)

Diriwayatkan juga hadith daripada Anas bin Malik R.A katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ مَرَّ بِبَعْضِ الْمَدِينَةِ فَإِذَا هُوَ بِجَوَارٍ يَضْرِبْنَ بِدُفِّهِنَّ وَيَتَغَنَّيْنَ وَيَقُلْنَ نَحْنُ جَوَارٍ مِنْ بَنِي النَّجَّارِ يَا حَبَّذَا مُحَمَّدٌ مِنْ جَارِ ‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ ‏ “‏ يَعْلَمُ اللَّهُ إِنِّي لأُحِبُّكُنَّ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW berjalan di sekitar Madinah al-Munawwarah, dan Baginda SAW melihat beberapa orang gadis memukul gendang sambil menyanyi: Kami gadis dari Bani Najjjar, betapa bertuahnya memiliki jiran seperti Muhammad. Nabi SAW pun bersabda: Allah SWT Mengetahui betapa aku sangat mencintai kalian.

Riwayat Ibn Majah (1899)

Diriwayatkan juga daripada ‘Aisyah R.Anha, beliau menceritakan bahawa Abu Bakar R.A datang melawatnya pada suatu hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, dan Rasulullah SAW ketika itu turut ada bersama. Ketika itu, terdapat 2 orang penyanyi wanita Ansar bersama ‘Aisyah wanita yang sedang menyanyikan lagu kaum Ansar tentang hari Bu’ath. Maka Abu Bakar pun berkata: “seruling syaitan”, sebanyak dua kali. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَإِنَّ عِيدَنَا هَذَا الْيَوْمُ

Maksudnya: “Biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari perayaan, dan hari ini merupakan hari raya bagi kita.”

Riwayat al-Bukhari (3931) dan Muslim (892)

Ini juga merupakan pandangan dikeluarkan oleh beberapa ulama’ kontemporari dan institusi fatwa. Antaranya Fatwa Dar al-Iftaa’ Misriyyah[1], Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi, Syeikh Ali Jum‘ah, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Juda‘i, dan lain-lain.

Berdasarkan kajian terhadap hujjah dan fatwa-fatwa yang disebutkan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 telah mengeluarkan fatwa berkenaan lagu dengan beberapa syarat yang perlu diteliti:

  • Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus.
  • Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram.
  • Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

Memahami kandungan lagu tersebut terlebih dahulu adalah penting bagi memastikan tiada sebarang unsur lucah, khurafat, syirik, megarut dan tidak ada akhlak. Sekiranya terdapat unsur-unsur yang disebutkan, maka hukumnya adalah haram.

Selepas kami memerhatikan lirik lagu Mary on A Cross, kami mengatakan bahawa haram hukumnya mendengar lagu tersebut atas sebab-sebab yang berikut:

  • Lagu ini mempunyai unsur syirik yang banyak mengulang-ulang pengagungan terhadap Maryam A.S, ibu kepada Nabi Isa A.S. Sebagai contoh: Holy Mary.
  • Ia juga terdapat unsur biadap dan syirik terhadap Maryam A.S, sedangkan Allah SWT telah memuliakan beliau di dalam al-Quran. Sebagai contoh: Mary on a cross.
  • Lagu ini juga mengandungi unsur lucah yang secara jelas memaksudkan hubungan seksual. Sebagai contoh: If you choose to run away with me, I will tickle you internally.
  • Lagu sebegini juga tidaklah menambahkan keimanan seseorang atau semangatnya untuk menegakkan agama Allah SWT. Ia hanyalah sebuah lagu yang melalaikan dan tidak memberikan sebarang faedah kepada pendengar, bahkan mendorongnya ke arah kemaksiatan yang telah jelas pengharamannya oleh syara‘.

Berkenaan isu sama ada jatuh murtad atau tidak jika mendengar lagu ini, jika orang yang mendengar hanya sekadar suka-suka tanpa beriman dengan lirik-lirik yang berunsur syirik itu, maka tidak jatuh murtad.

Akan tetapi, sekiranya dia mengimani setiap lirik berunsur syirik yang dinyanyikan di dalam lagu, kami khuatiri akan gugur iman seseorang itu dan mengakibatkannya terkeluar daripada agama Islam.

Kami nasihatkan agar berhati-hati apabila melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan iman kita atau mendorong ke arah kekufuran. Ingatlah bahawa seseorang itu boleh jatuh murtad apabila berbuat syirik, dan syirik merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. Ini berdasarkan firman-Nya:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

(Surah al-Nisa’: 116)

Wallahu a‘lam

[1] Lihat http://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11420. Diakses pada 28 Jun 2023. 

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply