Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya, saya ada baca surah Ali Imran ayat 90: Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang yang sesat. 

Lepas itu saya ada baca surah al-Nisa ayat 137: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar. 

Saya ada masalah dengan akidah saya sekarang ni. Sekarang ni saya 80% percaya Islam dan 20% tidak percaya. Masalah ini dari hari Isnin 24 Mei lagi sampai ke hari ini. Kadang saya percaya Islam sepenuhnya dan kemudian ragu-ragu kembali ketika untuk cuba berhenti berfikir perkara yang ada tuhan selain Allah. Kadang-kadang saya percaya kepada perintah Allah yang lain dan meragukan keesaan Allah.

Kiranya adakah saya meragukan keesaan Allah tapi saya mempercayai perintah yang lain itu sepenuhnya dikira beriman kemudian kafir berkali-kali? Dan perbuatan saya yang beriman sepenuhnya dan kemudian ragu-ragu kembali tu yang dikira sebagai iman dan kafir berkali kali tu tidak akan diampuni oleh allah berdasarkan surah ali imran ayat 90 dan an nisa ayat 137? Tolong jelaskan kebenaran islam kepada saya tuan sebab saya berfikiran sekarang kemungkinan besar tiada tuhan selain allah(macam saya bagitahu tadi 80% percaya 20% tidak). Ini berdasarkan kisah yang saya baca dalam al quran bagaimana adam dikeluarkan dari syurga disebabkan tipu daya syaitan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بَعْدَ إِيمَانِهِمْ ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الضَّالُّونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang yang sesat.

Surah Ali-Imran (90)

Allah SWT selaku Tuhan Yang Maha Pengampun dan Maha Pengasih masih membuka peluang buat mereka yang kembali kepada-Nya biarpun pernah bergelumang dengan noda kekufuran. Syaratnya ialah bertaubat daripada dosa dan meninggalkan sebarang kekufuran. Taubat juga diperlukan dalam bentuk melakukan perkara-perkara baik yang dianjurkan Islam dan sentiasa memperbaiki diri. Malang sekali bagi orang kafir dan ahli kitab yang mati tanpa bertaubat. Jika mereka mengungkapkan taubat ketika sakaratul maut, sekali-kali tidak diterima taubat kerana tidak bertaubat semasa masih hidup segar. Allah SWT menilai golongan ini mati kafir yang nyata. Seandainya mereka menyediakan tebusan berupa emas sepenuh bumi untuk bebas daripada seksaan nescaya tetap ditolak. Mereka bakal menderita tanpa sebarang pertolongan di akhirat. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/77)

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا ثُمَّ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا لَّمْ يَكُنِ اللَّهُ لِيَغْفِرَ لَهُمْ وَلَا لِيَهْدِيَهُمْ سَبِيلًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.”

Surah al-Nisa’ (137)

Dalam ayat di atas, Allah SWT mendatangkan perkhabaran bahawa jika orang kafir mahu beriman maka dia akan diampunkan. Namun jika dia kembali kafir, kekafirannya yang terdahulu tidak akan diampunkan. Mereka tenggelam dalam kekafiran dan mati dalam keadaan kafir serta tidak mendapat petunjuk kepada kebaikan. Dengan makna lain, orang yang berulang kali murtad dan nyata semakin bertambah kekafirannya tidak lagi cenderung untuk memahami hakikat keimanan. Mereka tidak akan sesekali mendapat pengampunan, rahmat dan redha Allah SWT Allah SWT akan menghukum mereka dengan azab yang sangat pedih di Akhirat kelak. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/582)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan iman merupakan kepercayaan yang penuh atau keyakinan yang teguh bukan hanya sebahagian. Ia bersifat 100%. Iman ini merangkumi padanya 3 perkara; iaitu iqrar dengan lisan, tasdiq dengan hati dan amal dengan anggota badan. Iman ini hendaklah sentiasa dipupuk dan diperkuatkan dengan pembelajaran ilmu serta makrifah yang sebenar melalui pengajian daripada tuan-tuan guru dan masyaikh. 

Dalam isu saudara, saya nyatakan bukan maksud seperti yang saudara katakan tetapi kemungkinan iman saudara menurun dengan sebab lemahnya keyakinan dan kurangnya kefahaman kepada Allah SWT. 

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan di dalam Fath al-Bari menukilkan kata kata Imam al-Syafie R.A :

الإِيْمَانُ قَوْلٌ وَعَمَلٌ يَزِيْدُ وَيَنْقُصُ

Maksudnya: “Iman itu adalah kata kata dan amalan, ia boleh bertambah dan berkurangan.”

Iaitu iman boleh bertambah dan juga berkurangan, dia bertambah jika melakukan ketaatan dengan penuh keikhlasan dan berkurangan dengan sebab maksiat serta melakukan pelbagai perkara yang lagha serta hilangnya keikhlasan. Bagi permasalahan saudara, hendaklah mmebuang sebrang bentuk ragu-ragu kerana ia merupakan permainan syaitan yang sentiasa mengsyakkan kita. 

Benarlah sebuah hadith menyebut:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْتِي أَحَدَكُمْ، فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ السَّمَاءَ؟ فَيَقُولُ: اللهُ عَزَّ وَجَلَّ، فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ الْأَرْضَ؟ فَيَقُولُ: اللهُ، فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ اللهَ؟ فَإِذَا أَحَسَّ أَحَدُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ ، فَلْيَقُلْ: آمَنْتُ بِاللهِ وَبِرُسُلِهِ.

Maksudnya: “Syaitan datang kepada seorang kamu dan berkata siapa yang menciptakan langit? SIapakah yang menciptakan bumi? SIapakah yang menciptakan bukit bukau dan gunung ganang? Kemudian dia bertanya, siapakah yang menciptakan Allah? JIka ini berlaku katakanlah: Aku beriman kepada dan senyap.”

Riwayat Muslim (134), Ahmad (26246), Ibn ‘Asim dalam al-Sunnah (648) dan Ibn Hibban (150)

Saya titipkan di sini cara untuk meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah SWT:

  • Belajar dan tuntutlah ilmu terutamanya dalam isu iman dan akidah atau ilmu tauhid.
  • Cubalah mentadabbur al-Quran al-Karim dengan sebaik mungkin kerana inilah perintah Allah SWT.
  • Peliharalah solat dalam waktunya seboleh-bolehnya di awal waktu berjemaah di masjid atau surau dan menunaikan solat-solat sunat qabliyyah dan ba’diyyah.
  • Selalulah berdampingan dengan orang-orang soleh dan juga yang mempunyai ilmu kerana kedua-duanya itu akan membentuk keperibadian dan meningkatkan kefahaman ilmu kita. 
  • Sentiasa istiqamah dalam melaksanakan titah perintah Allah SWT sama ada yang wajib atau yang sunat seperti solat, zikir, bacaan al-Quran dan lain-lain. 
  • Memahami tipu daya iblis dan syaitan yang sentiasa cuba merosakkan kita dan menyimpangkan kita dari jalan kebenaran. Antara buku yang terbaik untuk ditelaah dalam isu ini ialah Talbis Iblis yang dikaryakan oleh Imam Ibnu al-Jauzi.
  • Ingatlah janji kita dengan Allah SWT untuk mentaati-Nya dan tidak menyembah selain daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

Surah Yasin (60)

  • Sentiasalah munajat dan berdoa kepada Allah SWT agar ditetapkan iman dan ketaatan antaranya sebagai mana yang diajar oleh Rasulullah SAW:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan-lah hatiku di atas agama-Mu.”

Riwayat Imam Ahmad (26618), (12107), al-Tirmizi (3522), (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)

  • Belajar mengenali alam serta tadabbur kerana ia adalah ciptaan Allah SWT. Firman Allah SWT:

أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ ‎﴿١٧﴾‏ وَإِلَى السَّمَاءِ كَيْفَ رُفِعَتْ ‎﴿١٨﴾‏ وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ ‎﴿١٩﴾‏ وَإِلَى الْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ ‎﴿٢٠﴾‏ فَذَكِّرْ إِنَّمَا أَنتَ مُذَكِّرٌ ‎﴿٢١﴾

Maksudnya: “(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan? Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.

Surah al-Ghasyiyah (17-21)

Akhir kalam, saya berdoa kepada Allah SWT moga-moga kita semua sentiasa diberi taufiq dan hidayah dan ditunjukkan kepada kita jalan yang sebenar:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply