Soalan:

Assalamualaikum Dato’, saya ingin bertanya bolehkah kita mendoakan orang bukan Islam yang mendoakan kebaikan untuk kita dan bolehkah kita mendoakan kebaikan buat mereka yang bukan islam ?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah al-Ghafir:60)

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya.

(Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Diriwayatkan oleh al-Nu’man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: “Berdoa itu adalah suatu ibadah.”

Riwayat Abu Dawud (1439),Tarmizi(2969) dan Ibn Majah (3828)

Mendoakan kepada Non Muslim

Secara asasnya, fiqh al-ta’ayush dan muwatanah terbina di atas prinsip dan dasar Islam yang menyeru kepada kesejahteraan dan keamanan. Maka, mendoakan kebaikan untuk non Muslim seperti mendapat kesejahteraan kesihatan, anak, harta adalah dibolehkan selagimana non Muslim tersebut bukan dari kalangan mereka yang memusuhi Islam. Allah SWT berfirman:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٨﴾ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

(Surah al-Mumtahanah: 8-9)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, Allah SWT tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang yang lemah di antara mereka. Allah hanya melarang kamu bersahabat dengan orang-orang yang telah melancarkan permusuhan terhadap kamu, kemudian mereka memerangi dan mengusir kamu dan membantu mengusir kamu. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 8/135)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Tufail bin Amir pernah datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu mengenai penderhakaan yang dilakukan oleh kaumnya. Tufail berkata:

إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhya suku Daus telah bermaksiat dan enggan menerima Islam. Doakanlah keburukan untuk mereka.”

Nabi SAW sebaliknya kemudian berdoa:

اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah, berilah petunjuk kepada suku Daus dan datangkanlah mereka (ke Madinah).”

Riwayat al-Bukhari (2937) dan Muslim (2524)

Imam al-Bukhari telah meletakkan tajuk bab untuk hadis ini dalam kitab sahihnya dengan: “بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ(Bab mendoakan kebaikan untuk orang musyrik dalam bentuk permohonan hidayah supaya dapat melembutkan hati mereka).

Imam Nawawi berkata: “Jika seseorang memberi ucapan penghormatan kepada kafir zimmi dengan ucapan selain ucapan salam, maka al-Mutawalli dan al-Rafi’i membolehkan perkara ini. Misalnya, seseorang mengucapkan kepada non Muslim ‘semoga Allah memberi hidayah untukmu’ dan ‘semoga Allah memberi nikmat kepadamu di pagi ini’, maka itu tidak ada masalah.” ( Lihat al-Majmu’, 4/607-608)

Diriwayatkan Juga daripada Sa’id Bin Jubair bahawa Ibn A’bbas R.anhuma berkata :

لَوْ قَالَ لِي فِرْعَوْنُ: بَارَكَ اللَّهُ فِيكَ، قُلْتُ: وَفِيكَ، وَفِرْعَوْنُ قَدْ مَاتَ

Maksudnya :  Sekiranya Firaun berkata kepadaku, Semoga Allah SWT memberkatimu aku akan menjawab : Dan kepadamu jua. Sesungguhnya firaun itu telah mati. (Lihat al-Adab al-Mufrad,Hlm.838)

Menjawab bagi persoalan di atas, setelah meneliti pandangan ulama dapat kami nyatakan di sini bahawa dibolehkah untuk kaum muslimin mendoakan kebaikan kepada non muslim khususnya berdoa supaya diberikan hidayah kepadanya selagimana dia tidak memusuhi islam. Begitu juga sebaliknya. Ini selari dengan firman Allah SWT seperti yang telah dinyatakan di atas. Diriwayatkan juga daripada Abu Basrah al-Ghifari bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِنِّي رَاكِبٌ غَدًا إِلَى يَهُودَ، فَلاَ تَبْدَأُوهُمْ بِالسَّلاَمِ، فَإِذَا سَلَّمُوا عَلَيْكُمْ فَقُولُوا‏:‏ وَعَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku akan pergi kepada Yahudi esok. Janganlah kamu memulai memberi salam kepada orang Yahudi. Namun sekiranya mereka memulai memberi salam, maka katakanlah: Wa ‘alaikum.”  

Riwayat Ahamad (28236)

Begitu juga telah dinyatakan bahawa doa orang yang dizalami tiada hijab walaupun dia bukan merupakan orang islam sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.anhuma bahawa Rasulullah SAW berdabda :

اتَّقِ دَعْوَةَ الـمَظْلُومِ، فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Maksudnya: “Dan berhati-hatilah kepada doa orang yang dizalimi kerana tidak ada penghalang antara doanya dengan Allah SWT.

Riwayat al-Tirmizi (2014)

Termasuklah dalam kalangan yang dizalimi itu orang bukan Islam kerana tidak disyaratkan bahawa yang dizalimi itu hanya daripada kalangan orang Islam. Bahkan terdapat dalam riwayat daripada Anas bin Malik R.A, dengan lafaz tambahan:

وَإِنْ كَانَ كَافِرًا

Maksudnya: “Sekalipun orang kafir.

Riwayat Ahmad (12549); al-Mubarakfuri menukilkan daripada al-Munawi di dalam al-Taisir bahawa sanadnya dinilai sahih. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/131)

Justeru, kami nyatakan di sini bahawa  Allah SWT tidak melarang umat Islam untuk berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi orang Islam. Bahkan Allah SWT tidak menghalang umat Islam menyalurkan kebaikan kepada mereka seperti mendoakan hidayah kepada mereka.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dan sentiasa menunjukkan kita ke arah jalan yang diredhai-Nya serta kebenaran yang dapat kita ikutinya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply