Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar ada lembu korban harganya cukup mahal dikatakan pada tahun ini lembu korban yang paling mahal adalah lembu wagyu dengan nilai hampir RM120 ribu. Begitu juga dengan lembu Brahman dan angus. Adakah ia disunatkan untuk korban dengan lembu tersebut atau dengan lembu-lembu yang lain?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّـهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ  فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّۖ  كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Hajj: 36)

Ayat ini menunjukkan bahawa mereka yang melakukan sembelihan korban dan memilih binatang besar lagi gemuk sudah pasti termasuk dalam golongan yang membesarkan syiar Allah SWT. Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ia sebagai tanda dan lambang kebesaran agama Allah dengan melaksanakan ibadat korban tersebut.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 17/296)

Berkenaan dengan sembelihan binatang korban, yang afdhal adalah yang gemuk, besar, cantik, bertanduk, banyak dagingnya, sedap mata memandang, warna putih, dan beberapa kategori yang disebut oleh fuqaha yang telah kami bahaskan beberapa kali. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mu’min.”

(Surah al-Hajj:32)

Sebahagian ulama menafsirkan makna يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ dengan maksud mencari binatang korban yang gemuk dan lagi sedap mata memandang yang sempurna segala sifat-sifatnya seperti bertanduk, warna yang menarik dan lain-lain lagi.  

Kami takrifkan dahulu maksud lembu-lembu yang kami nyatakan di atas:

Lembu wagyu  adalah salah satu daripada empat baka lembu daging yang dikembangkan di Jepun. Di beberapa kawasan di Jepun, daging wagyu dihantar dengan membawa nama kawasan. Beberapa contohnya adalah daging lembu Matsusaka, daging lembu Kobe, daging lembu Yonezawa, daging lembu Mishima, daging lembu Ōmi, dan daging lembu Sanda. Lembu wagyu ini berasal dari Jepun, yang paling popular di Kobe, di sebuah wilayah bernama Hyogo.

Japanese Wagyu Beef: Essential Guide to Japan's Gourmet Steak | LIVE JAPAN travel guide

Lembu ni ada sijil lahir dan ada nama masing-masing yang menyatakan baka, tempat lahir, jantina, pemilik dan nombor pengenalannya. Terdapat empat jenis wagyu: Hitam Jepun (Kuroge Washu), Perang Jepun Akage Washu atau Akaushi), Tanpa Tanduk Jepun , dan Tanduk Pendek Jepun .Jenis Hitam Jepun membentuk 90% daripada semua ternakan yang dibela di Jepun. 

Hirisan Daging lembu wagyu Matsusaka bergred tinggi (daging seksyen rusuk), menunjukkan ciri-ciri kemarmaran 

Wagyu - Japanese Beef | MATCHA - JAPAN TRAVEL WEB MAGAZINE

Strain Hitam Jepun termasuk Tottori, Tajima, Shimane dan Okayama. Perang Jepun, juga dikenali sebagai Merah Jepun, adalah baka utama lain; termasuk Kochi dan Kumamoto. Tanduk Pendek Jepun membentuk kurang daripada satu peratus daripada semua lembu di Jepun. daging ni sangat lembut dan apabila dimasak, lapisannya akan cair dan apa saja dimasak ia akan menyerap dalam daging. Ada yang kata daging ini lebih sihat berbanding daging lembu yang lain.

Lembu Brahman ialah baka lembu kacukan zebuine-taurine Amerika. Ia dibiakkan di Amerika Syarikat dari 1885 daripada lembu yang berasal dari India, diimport pada pelbagai masa dari United Kingdom, dari India dan dari Brazil. Ini terutamanya saham Gir, Guzerá dan Nelore, dengan beberapa Indu-Brasil, Lembah Krishna dan Ongole. 

Ilmu Untuk Ternakan Ruminan: Lembu Baka Brahman

Brahman mempunyai toleransi yang tinggi terhadap haba, cahaya matahari dan kelembapan, dan rintangan yang baik terhadap parasit. Ia telah dieksport ke banyak negara, terutamanya di kawasan tropika; di Australia ia adalah baka lembu yang paling banyak. Ia telah digunakan dalam penciptaan pelbagai kacukan taurine-indicine, beberapa daripadanya – seperti Brangus dan Brahmousin – ditubuhkan sebagai baka yang berasingan. Majoriti kebanyakan baka ini mempunyai bonggol besar di bahagian atas belakang iaitu antara leher dengan bahagian belakang.

Www.SeluasLautan.Com: Lembu Baka Brahman

Kebanyakan baka ini bervariasi dari kelabu muda atau merah maroon hingga hampir kehitaman.Baka yang umurnya hampir matang biasanya lebih gelap daripada lembu muda yang lain dan boleh dilihat pada kawasan gelap di leher, bahu dan paha bawah. Mereka memiliki bulu yang pendek, tebal, berkilat/berminyak yang mencerminkan banyak sinar matahari dan kulit berpigmen hitam, sehingga dapat merumput di bawah sinaran matahari tanpa menghadapi sebarang masalah.

Tanduk mereka melengkung ke atas dan kadang-kadang condong sikit ke belakang dan mereka mempunyai telinga yang capang menghala ke kanan dan kiri. Lembu ini juga mempunyai banyak kulit yang longgar yang supaya dapat menyumbang kepada kemampuannya untuk menahan cuaca panas terik dengan meningkatkan luas permukaan badan yang terdedah kepada suhu sejuk. Mempunyai peningkatan jumlah kelenjar peluh dan kemampuan untuk berpeluh secara bebas. Baka ini juga dapat menghasilkan rembesan minyak dari kelenjar yang berbau, yang mempunyai bau khas supaya dapat membantu menjauhkan serangga dari tubuhnya. Brahman adalah baka yang berukuran pertengahan diantara baka daging lembu yang terbesar di dunia.

Lembu Angus – Istilah Angus tidak bermakna bahawa daging lembu itu adalah organik, semula jadi, atau gred yang lebih tinggi daripada mana-mana jenis daging lembu lain. Angus adalah nama baka lembu yang dibiakkan secara khusus daripada lembu asli Scotland oleh seorang lelaki bernama Hugh Watson pada pertengahan abad ke-19. Adalah dipercayai bahawa hampir semua lembu Black Angus yang hidup hari ini datang daripada hasil percubaan Watson untuk memaksimumkan kulit hitam haiwan ini. Pada tahun 1870-an lembu ini dibawa ke Amerika Syarikat dan menjelang 1880-an, Persatuan Angus Amerika telah diasaskan.

Keturunan Aberdeen Angus: penerangan dan ciri, pembiakan dan penjagaanLembu sado RM25k seekor

Terdapat Angus Hitam dan Merah, tetapi Angus Merah tidak diiktiraf oleh Persatuan Angus Amerika dan merupakan baka yang lebih jarang. (Malah, penternak tidak dibenarkan mendaftarkan lembu Angus Merah mereka dengan Persatuan Angus Amerika.) Angus Hitam, atau lebih biasa, Angus, ialah baka bersembunyi hitam tanpa tanduk (juga dirujuk sebagai polled). Baka Angus mempunyai beberapa kelebihan dalam kualiti dan pengeluaran daging, dan ia dengan cepat menjadi stok pembiakan yang digemari untuk mengurangkan masalah pembiakan berlebihan dalam barisan lembu lain. Oleh kerana itu, dan populariti umum Angus oleh penternak, ia telah menjadi baka paling popular di Amerika Syarikat.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa yang paling afdhal adalah paling banyak dagingnya, besar di samping manfaat yang banyak kepada orang ramai dan fakir miskin. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor jantan kibasy (kambing biri-biri) putih kehitaman lagi bertanduk, Baginda menyembelih keduanya dengan tangannya, lalu mengucapkan basmallah serta bertakbir, dan Baginda meletakkan kakinya di antara leher dan badan kedua haiwan tersebut “

Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966)

Maksud “أَمْلَحَيْنِ” daripada الْأَمْلَحُ (amlah) menurut Ibn  al-‘Arabi  ialah putih bersih sementara al-Asma’i menyatakan putih bertompok warna kehitaman. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/120) Sebahagian pendapat ulama lain menyatakan warna putih lebih banyak daripada hitam dan atasnya warna merah. (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raud Thalib, 1/534)

Sementara Imam al-Munawi menyatakan الْأَمْلَحُ (amlah) ialah  warna  putih dan hitam yang mana putihnya lagi banyak atau disebut  الأغبر (aghbar) atau warna hitam di celah bulunya   dan warna putihnya bersih seperti garam   atau atasnya warna kemerahan. Pemilihan sifat warna haiwan tersebut kerana elok penampilannya atau kerana banyak lemak dan dagingnya. Justeru itu, orang yang melaksanakan ibadah korban mestilah memilih jenis haiwan yang paling terbaik, sempurna fizikalnya dan paling gemuk. (Lihat Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ Shaghir, 5/227)

Sementara Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyatakan pemilihan haiwan korban mengikut  keutamaan warna :

اسْتِحْبَابُ اسْتِحْسَانِ لَوْنِ الْأُضْحِيَّةِ وَقَدْ أَجْمَعُوا عَلَيْهِ قَالَ أَصْحَابُنَا أَفْضَلُهَا الْبَيْضَاءُ ثُمَّ الصَّفْرَاءُ ثُمَّ الْغَبْرَاءُ وَهِيَ الَّتِي لَا يَصْفُو بَيَاضُهَا ثُمَّ الْبَلْقَاءُ وَهِيَ الَّتِي بَعْضُهَا أَبْيَضُ وَبَعْضُهَا أَسْوَدُ ثم السوداء

“Fuqaha mazhab Syafi’i menyatakan sunat memilih haiwan korban berdasarkan warna yang terbaik dan mereka bersepakat tentang perkara itu. Menurut ulama kami bahwa warna yang paling afdal haiwan sembelihan korban ialah putih, kemudian warna kuning, seterusnya warna kelabu iaitu tidak putih bersih, kemudian warna al-balqa’ iaitu sebahagian warna putih dan sebahagian warna hitam (belang) kemudian warna  hitam. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 13/120)

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

دَمُ عفراءَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ دَمِ سَوداوين

Maksudnya: “Darah binatang korban yang kulitnya berwarna kelabu lebih aku sukai berbanding dua ekor yang berwarna hitam”

Riwayat Ahmad

Warna الْعَفْرَاءُ ialah warna putih yang tidak terang, maka warna putih lebih afdal daripada warna lain. Selain warna putih juga masih sah dijadikan haiwan korban seperti yang dinyatakan dalam hadis Bukhari sembelihan haiwan kibasy yang berwarna amlah “أَمْلَح” / aghbarالأغبر (lebih banyak putih  dari hitam). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/421)

Sementara itu, fuqaha al-Bujairimi menambah warna merah dalam sususan keutaman pemilihan warna haiwan korban:

وَأَفْضَلُهَا الْبَيْضَاءُ ثُمَّ الصَّفْرَاءُ ثُمَّ الْعَفْرَاءُ ثُمَّ الْحَمْرَاءُ ثُمَّ الْبَلْقَاءُ ثُمَّ السَّوْدَاءُ

Mengutamakan haiwan korban berwarna putih, kemudian kuning, kelabu, merah, seterusnya warna belang putih hitam dan hitam.” (Lihat Hasiyah al-Bujairimi ‘ala Syarah Minhaj, 4/297)

Kami tarjihkan dalam isu ini bahawa yang paling afdhal adalah memberi paling banyak manfaat kepada paling ramai orang fakir miskin dan yang berkeperluan. Justeru, dengan nilai RM120 ribu jika dibeli lembu dengan harga 7 ribu setiap ekor boleh membeli hampir 17 ekor lembu. Kalau setiap ekor beratnya 150 kg, dikali dengan 17 bersamaan dengan 2571 kg dan ini jika sekiranya kita bahagi kepada fakir miskin sekilo setiap orang, kita telah menampung hampir 2571 orang. Tidak termasuk tulang dan perut serta organ dalaman yang lain. Dalam hal ini, carilah yang gemuk, yang besar tapi tidak teramat mahal.

Semoga dengan fiqh aulawiyyat yang kita fahami atau keutamaan akan memberikan impak yang lebih besar dan luas serta banyak kepada khalayak masyarakat. Sementelahan lagi pada zaman kini tekanan ekonomi serta kos dan harga barang yang meningkat amat perlu diberikan kecaknaan untuk menampung sejuzuk daripada bebanan yang dihadapi oleh golongan fakir miskin dan mereka yang berkeperluan.

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply