Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kakak saya ada beri ucapan hari jadi kepada suaminya dan ada panggilan seperti bergurau. Dia berkata “Selamat hari jadi wahai abang sulungku yang chubby…” Walhal itu suaminya.  Adakah dikira sebagai zihar atau bagaimana? Perlukah dia membayar kafarah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

 

Definisi Zihar

Dari segi bahasa, zihar (ظِهَار) adalah kata terbitan (masdar) yang berasal daripada kata kerja bahasa arab ‘za ha ra’ (ظَاهَرَ) dalam ungkapan ‘zahara min imra’atihi’ (ظَاهَرَ مِن َامْرَأتِهِ) yang bermaksud ‘menziharkan isterinya’. Dalam aplikasi sebenar, zihar merujuk kepada perkataan seseorang suami terhadap isterinya:“Anti kazahri ummi” (أنْتِ كَظَهْرِ أمِّي) yang bermaksud: “Engkau seperti belakang ibuku.”

Dari segi istilah, zihar ditakrifkan sebagai perkataan suami menyamakan isterinya yang belum tertalak secara bain dengan wanita yang mahram muabbad (selamanya) kepadanya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, hlm. 448)

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْكُمْ مِنْ نِسَائِهِمْ مَا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ ۖ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلَّا اللَّائِي وَلَدْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنْكَرًا مِنَ الْقَوْلِ وَزُورًا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ

Maksudnya:Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka dari kalangan kamu bahawanya mereka itu (para isteri) diserupakan sebagai ibu-ibu mereka (dari sudut keharaman). Sesungguhnya ibu-ibu mereka itu tidaklah melainkan yang mengandungkan mereka. Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

 Surah al-Mujadilah (2)

Imam Ibn Kathir menyatakan dalam tafsirnya, asal zihar adalah dari kalimah al-zahr (bahagian belakang). Hal ini kerena, golongan jahiliyyah apabila mereka saling menziharkan isteri mereka, dia akan berkata kepada isterinya: ‘’Kamu ke atas diriku sama seperti bahagian belakang ibuku’’. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/42)

Kaffarah Zihar

Kafarrah bagi seseorang yang melakukan zihar adalah seperti berikut:

Pertama: Bebaskan seorang hamba.

Kedua: Sekiranya tidak ada, perlu berpuasa dua bulan secara berturutan.

Ketiga: Sekiranya tidak mampu, perlu beri makan kepada 60 orang miskin. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/149)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan zihar hanya terjadi apabila si suami menyamakannya dengan perempuan yang haram baginya berkahwin selamanya seperti ibu, adik dan seumpamanya. Oleh itu, dalam isu ini tidak terjadinya zihar apabila si isteri menyamakannya dengan abang sulung dan tidak perlu membayar kafarah.

Kami merasakan bahawa panggilan tersebut lebih kepada pengiktirafan dan penghormatan seorang isteri kepada suaminya. Dia tidaklah termasuk dalam zihar kerana tasybih tersebut tidak kepada anggota yang zahir seperti belakang atau wajah dan lain-lain.

Begitu juga, penisbahan tersebut masih dalam bentuk kinayah atau tidak jelas. Walaupun begitu, kami nasihatkan kepada pasangan suami isteri agar jangan bermudah-mudahan menyamakan atau menyerupakan pasangan masing-masing dengan anggota badan kaum keluarga sendiri seperti ibu, kayak, abang, ayah dan lain-lain kerana walaupun ia bukan zihar tetapi dibimbangi terjatuh kepada zihar yang disebut dalam bahasa fiqh sebagai musyabihat al-talaq (perkara-perkara yang menyerupai talak)

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply