Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sebaik-baik doa adalah doa hari Arafah, jadi bolehkah saya minta penjelasan sama ada waktu berdoa itu perlu mengikut waktu wukuf di Arafah di Arab Saudi, atau pada 9 Zulhijjah mengikut waktu tempatan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Kami mulakan dengan hadith yang dengan yang menyebutkan kelebihan berdoa pada hari Arafah. Ia diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.”

Riwayat al-Tirmizi (3509)

Diriwayatkan juga di dalam hadith yang lain daripada Talhah bin Ubaidillah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَفْضَلُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَأَفْضَلُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

Maksudnya: “Doa yang paling afdhal adalah doa pada hari arafah, dan doa yang paling afdhal adalah doa yang aku dan para nabi-nabi sebelumku bacakan: ‘Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu’.”

Riwayat al-Tirmizi (3585), al-Baihaqi (8651) dan Malik di dalam al-Muwatta’ (1/214)

Menjawab persoalan di atas,  kami nyatakan terlebih dahulu bahawa kelebihan hari Arafah adalah untuk semua. Hal ini telah thabit daripada amalan para Salaf, mereka membolehkan al-Ta‘rif iaitu berhimpun dalam masjid bagi berdoa dan berzikir kepada Allah pada hari Arafah.  

Ibn Qudamah al-Maqdisi menukilkan pendapat al-Qadhi bahawa tidak mengapa melakukan al-Ta‘rif iaitu berhimpun pada waktu petang hari Arafah di tempat selain padang Arafah. Begitu juga al-Athram menyebutkan, dia bertanya kepada Imam Ahmad berkenaan perbuatan berhimpun di tempat selain ‘Arafah di masjid-masjid pada hari ‘Arafah. Imam Ahmad menjawab: “Aku berharap perbuatan ini tidak mengapa kerana ia telah dilakukan oleh ramai orang.”

Selain itu, al-Athram juga meriwayatkan daripada al-Hasan bahawa orang pertama yang melakukan perbuatan ini di Basrah ialah Ibn Abbas. Manakala Imam Ahmad pula meyebutkan bahawa orang pertama yang melakukan perbuatan ini ialah Ibn Abbas dan ‘Amr bin Huraith. Selain daripada itu, al-Hasan, Bakr dan Muhammad bin Wasi‘ menyebutkan, dahulu mereka berkumpul di masjid pada hari Arafah.

Tambahan lagi Imam Ahmad berkata, tidak mengapa dengan perbuatan tersebut kerana ia adalah doa dan zikrullah. Kemudian, ditanyakan kepadanya, adakah dia melakukannya? Dia menjawab: “Adapun aku tidak melakukannya.” Begitu juga diriwayatkan daripada Yahya bin Ma‘in bahawasanya dia hadir bersama orang ramai pada petang hari Arafah. (Lihat al-Mughni, 3/295)

Berkenaan waktu yang dimustajabkan berdoa pula, sekiranya seseorang itu berada di Malaysia, maka dia boleh berdoa bermula daripada masuknya 9 Zulhijjah mengikut waktu tempatan. Sekiranya dia berada di Arab Saudi, maka dia perlu mengikut waktu wukuf di Arafah berdasarkan waktu tempatan di sana. Ia bermula selepas tergelincirnya matahari pada waktu Zohor sehinggalah terbenamnya matahari pada waktu Maghrib.

Berdoa ini juga termasuklah di dalam amalan soleh yang boleh kita lakukan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Telah datang daripada Nabi SAW tentang kelebihan ibadah pada hari tersebut sehingga Baginda mmemuliakanny6a lebih daripada berjihad. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ؟ قَالُوا: وَلَا الْجِهَادُ؟ قَالَ: وَلَا الْجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ

Maksudnya: “Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih baik daripada amalan pada 10 hari ini. Para sahabat bertanya: Walaupun Jihad? Baginda menjawab: Tidak juga Jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi.”

Riwayat al-Bukhari (696)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedeqah dan haji, dan himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain. (Lihat  Fath al-Bari, 2/460)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang telah kami sebutkan, jelas daripada umum kisah para Salaf bahawa mereka yang tidak melakukan haji dan berada di negara lain juga digalakkan untuk memperbanyakkan berdoa pada hari Arafah.

Waktu berdoa bagi mereka yang tidak melakukan haji dan berada di negara lain adalah bermula daripada masuknya 9 Zulhijjah.  Manakala bagi mereka yang melakukan haji, waktunya antara masuknya tergelincirnya matahari waktu Zohor dan terbenamnya matahari waktu Maghrib.

Akan tetapi, sekiranya mampu untuk berdoa pada waktu yang sama dengan waktu wuquf bagi mereka melakukan haji, maka itu lebih baik.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا دُعَاءَنَا إِنَّكَ أَنْتَ السَمِيعُ العَلِيمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, Engkau perkenankanlah permintaan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Menedengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply