Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mengajukan soalan berkaitan hukum sekiranya berlaku situasi apabila kakak berkahwin dan tinggal serumah ibubapa. Ada ketika ibu ayah dan kakak tiada di rumah, hanya tinggal abang ipar saya dan anak-anak beliau berusia 14 tahun dan 3 tahun di rumah sahaja. Kadangkala ibu ayah dan kakak tidak sempat balik bermalam di rumah. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Islam meletakkan batas-batas pergaulan yang perlu dijaga antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
(Surah al-Nur: 30-31)
Antara batasan pergaulan yang perlu dijaga ialah tidak boleh berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi tanpa ditemani oleh mahram bagi lelaki atau perempuan tersebut. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Maksudnya: Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan (yang ajnabi) melainkan yang bersama-sama perempuan tersebut mahramnya.
Riwayat Muslim (1341)
Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebutkan bahawa apabila seorang lelaki dan perempuan yang ajnabi duduk bersama dan tiada orang yang ketiga bersama-sama mereka, maka perbuatan tersebut adalah haram dengan ijma’ para ulama’. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/109)
Begitu juga dalam satu hadith yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رجلٌ بامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثاَلثهُمَا الشَيْطَان
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa tidak sesekali bersunyi-sunyian seorang lelaki ajnabi dengan seorang wanita ajnabiyah kecuali datang yang ketiga di antara mereka berdua iaitu syaitan.”
Riwayat al-Tirmizi (2165)
Justeru itu, perbuatan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi tanpa ditemani orang ketiga adalah haram dan dikira sebagai khalwat.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa secara asasnya, lebih baik banyak rumah berbanding ramainya orang dalam satu-satu buah rumah. Selain itu, terdapat juga satu kaedah Islam yang mengarahkan seseorang Muslim itu agar memelihara dirinya daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan timbulnya salah faham terhadap dirinya sendiri:
اتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar R.A:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Lihat Kasyfu al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas, 1/44)
Berdasarkan kepada kaedah di atas, kita disuruh untuk menjauhi sebarang perkara yang boleh mendatangkan fitnah sama ada terhadap diri sendiri, dan lebih-lebih lagi terhadap nama baik agama.
Semoga Allah SWT memelihara kita daripada sebarang bentuk fitnah. Amin.
Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H