Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri dan Selamat Hari Raya Aidiladha. Saya ingin bertanya tentang daging korban. Saya menerima daging korban daripada jiran. Tetapi saya tak makan daging merah (lembu/kambing/biri-biri) kerana beberapa faktor. Soalan saya, bolehkah saya gunakan daging korban ini untuk makanan kucing saya kerana kucing saya makan daging mentah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Maksudnya: “Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
(Surah al-Hajj: 28)
Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, maka sebutlah nama Allah SWT atas sembelihan-sembelihan tersebut, makanlah sebahagian daripadanya, dan gunakan sebahagian yang lain untuk memberi makan kepada kepada orang yang mengalami kesusahan dan kefakiran. Perintah untuk ikut memakan daging haiwan sembelihan itu kerana masyarakat jahiliyyah menghindarkan daripada memakan haiwan korban mereka. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/186).
Seterusnya, cara pengagihan daging korban boleh dibahagikan kepada beberapa cara, di antaranya:
- Disunatkan bagi orang yang melakukan korban untuk memakan 1/3 daripada daging korban tersebut (mengambilnya) dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.
- Atau, orang yang melakukan korban boleh mengambil 1/3 daripada daging korban, mengagihkan 1/3 daripadanya kepada golongan fakir miskin, dan 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya atau selainnya — seperti saudara-mara atau jiran-tetangga. Akan tetapi jika dia menyedekahkan 2/3 daripadanya kepada golongan fakir miskin adalah lebih baik (afdhal). Dan diharuskan juga untuk dia mengagihkan kadar daging korban yang disedekahkan itu kepada seorang miskin.
- Namun cara yang paling baik (afdhal) ialah, seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat. Hal ini kerana perbuatan menyedekahkan keseluruhan daging tersebut adalah lebih dekat dengan sifat taqwa kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri. Manakala, memakan sedikit daripada daging tersebut pula sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW.
Kemudian, jika haiwan korban tersebut merupakan korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka dia tidak boleh memakan sebahagian daripada dagingnya sebagaimana al-Hady (الهَدْيُ) yang dinazarkan dan wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin. Jika sekiranya seseorang itu telah memakan daripadanya, hendaklah dia mengeluarkan sejumlah wang mengikut kadar yang telah dimakannya tersebut. Selain itu, tidak perlu untuk dia menyembelih lagi haiwan yang lain sebagai ganti kepada bahagian yang telah dimakan tersebut. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/484-485).
Secara umumnya para ulama membezakan antara golongan fakir dan golongan kaya berkenaan hukum daging yang diberikan kepada mereka. Dr. Nidhal Sultan menyebutkan, orang kaya yang diberikan daging korban sebagai hadiah, tidak boleh untuk menjualnya, kerana ia diberikan kepada mereka dalam bentuk sebagai makanan (untuk dimakan), bukannya sebagai hak milik. Adapun orang miskin, mereka boleh menjual apa-apa yang mereka kumpulkan daripada daging dan kulit korban. Hal ini kerana ia diberikan kepada mereka sebagai hak milik.[1]
Begitu juga Syeikh Abd al-Rahman Ba ‘Alawi turut menyebutkan, bagi golongan fakir, (dibenarkan) membelanjakan bahagian korban yang diterimanya walaupun seperti menjual barang diterima kerana telah menjadi miliknya. Berbeza dengan golongan kaya, maka tidak dibenarkan untuk melakukan perkara seperti menjualnya, namun dia boleh menggunakan bahagian korban yang diberikan itu dengan cara dimakan, disedekah, menjamu tetamu walaupun mereka kaya. Ini kerana, kedudukannya adalah seperti orang yang melakukan korban.” (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 319).
Kesimpulannya
Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat tidak mengapa untuk seseorang yang diberikan daging korban untuk memberi daging korban itu kepada haiwan peliharaannya seperti kucing sebagai makanan. Hal ini kerana daging korban yang diberikan itu, sudah menjadi miliknya. Jika dia dalam kalangan golongan kaya, dia boleh melakukan apa sahaja dengan daging tersebut seperti memakannya, menjamu orang makan dan seumpamanya melainkan menjualnya. Namun, jika termasuk dalam golongan fakir, dia boleh menjual daging korban tersebut kerana mungkin dengan itu, mereka dapat membeli keperluan lain yang boleh meringankan beban dan tanggungan mereka seperti beras, susu anak, bahan asas memasak dan sebagainya.
Sekalipun begitu, kami berpendapat sebaik-baiknya atau adalah lebih baik menggunakan daging korban yang diberikan itu — meskipun dia tidak memakannya — untuk menjamu orang lain seperti ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan lain-lain makan. Mudah-mudahan ada keberkatan di situ, di samping mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan ukhuwwah sesama insan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Article.aspx?ArticleId=307. Diakses pada 4 Julai 2023.
Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H