Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum seorang abang menyekat pengeluaran harta adik beradiknya sendiri yang sudah baligh? Adakah dibolehkan walhal adik beradiknya tidak redha?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Pertamanya, perlu diketahui bahawa antara orang yang termasuk di dalam senarai wali yang menggantikan bapanya dan datuknya selepas pemergian mereka dalam membimbing dan memelihara keluarga adalah orang yang menerima wasiat atau qadhi. Hak perwalian ini disebutkan oleh ulama’ sebagai wilayah (الوِلَايَةُ), dan ia secara umumnya terbahagi kepada dua:

  • Wilayah al-Nafs (وِلَايَةُ النَفْسِ): Kekuasaan atas urusan anak di bawah umur atau seumpamanya, yang berkaitan dengan dirinya dan nyawanya. Sebagai contoh: perkahwinan, pendidikan, perubatan, pekerjaan, dan seumpamanya. Dan ini meliputi penguatkuasaan sesuatu perkara ke atas mereka sama ada mereka ingin atau enggan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/168)
  • Wilayah al-Mal (وِلَايَةُ المَالِ): Kekuasaan seseorang ke atas harta orang lain. Sebagai contoh: Kekuasaan bapa atau datuk ke atas harta anak cucu mereka yang masuh kecil. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/156)

Manakala bagi abang, tidak termasuk di kalangan wali yang telah ditetapkan oleh syara‘ kecuali jika bapa atau datuknya mewasiatkan kepadanya untuk mengambil tanggungjawab membimbing dan memelihara keluarga.

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari mengatakan bahawa ibu dan kaum kerabat terkeluar daripada senarai mereka yang diberikan hak perwalian kecuali jika disertakan dengan wasiat. Imam al-Bujairi ketika mensyarahkan maksud ‘kaum kerabat’ tersebut dengan mengatakan, mereka adalah abang dan pakcik atau selain mereka. (Lihat Hashiyah al-Bujairimi, 2/442)

Bahkan, hak perwalian yang diberikan oleh syara‘ kepada bapa, datuk dan selain mereka hanyalah pada tempoh anak tersebut belum mencapai usia mumayyiz (tahu membezakan yang baik dan yang buruk). Dr Wahbah al-Zuhaili telah membahagikan al-ahliyyah (keahlian dalam melakukan sesuatu) kepada beberapa fasa, antaranya:

  • Fasa Mumayyiz: Fasa ini bermula daripada masuknya usia 7 tahun sehingga anak tersebut akil baligh dan berakal (mampu berfikir), ketika mana dia mampu membezakan antara baik dan buruk, yang memberi manfaat dan memberi mudharat, dan dapat memahami perbualan secara umumnya.
  • Fasa Baligh: Ia bermula daripada akil baligh sehingga mencapai usia al-Rushd (matang). Para ulama’ bersepakat bahawa mereka telah dipertanggungjawab dengan kesemua taklifan syara‘.
  • Fasa al-Rushd (matang): Fasa ini merupakan tahap al-ahliyyah yang paling sempurna. (Lihat al-Fiqh al-islami wa Adillatuhu, 4/2968-2970)

Al-Khatib al-Syirbini menyifatkan mereka yang mencapai fasa al-Rushd (matang) ini adalah mereka yang telah baligh, baik agamanya dan pandai menguruskan hartanya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/332)

Sekiranya adik beradik tersebut belum mencapai fasa mumayyiz, maka tindakan mereka membuat pengeluaran harta dengan sendiri bagi sebarang tujuan muamalat adalah tidak sah. Seorang abang perlu memberitahu bapanya atau datuknya, atau mendapatkan keizinan daripada mereka untuk menghalang perbuatan tersebut agar adik beradiknya tidak tersilap menggunakan harta mereka.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ قِيَامًا وَارْزُقُوهُمْ فِيهَا وَاكْسُوهُمْ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

(Surah al-Nisa’: 5)

Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa tidak diharuskan memberikan harta kepada golongan safih (orang yang tidak mampu menguruskan harta) dan juga mereka yang masih belum baligh (kanak-kanak). (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/27)

Manakala, pada ketika adik beradik tersebut telah mencapai fasa baligh atau al-rushd, maka abang tersebut tidak mempunyai hak untuk menghalang mereka daripada mengeluarkan harta mereka bagi tujuan muamalat. Allah SWT telah berfirman pada ayat berikutnya:

وَابْتَلُوا الْيَتَامَىٰ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغُوا النِّكَاحَ فَإِنْ آنَسْتُم مِّنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ ۖ

Maksudnya:Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka matang (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya), maka serahkanlah kepada mereka hartanya.”

(Surah al-Nisa’:6)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat (فَإِنْ آنَسْتُم مِّنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ), beliau menukilkan kalam Sa‘id bin Jubair, katanya: “Yakni, baik kefahaman agama mereka dan berkebolehan memelihara harta.” Beginilah yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, al-Hasan al-Basri, dan ramai lagi ulama’ lain. Dan beginilah pandangan para fuqaha’ apabila seorang kanak-kanak itu baik pemahaman agamanya dan mampu memelihara harta, maka diberikan kepada mereka harta mereka yang dahulunya di bawah penjagaan walinya dengan cara yang betul. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/189)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan yang kami bawakan, kami katakan bahawa seorang abang tidak mempunyai hak untuk menghalang adik beradiknya yang telah baligh daripada menggunakan harta milik mereka. Hal ini kerana apa yang merupakan milik mereka adalah hak mutlak mereka setelah baligh, tiada sesiapa yang boleh menggunakannya melainkan dengan redha dan keizinan daripada mereka.

Dalam situasi adik beradik tersebut belum mencapai usia baligh atau belum mampu menguruskan harta dengan baik, bapa dan datuk adalah orang yang bertanggungjawab memelihara dan menguruskan harta anak cucu mereka dengan cara yang dibenarkan oleh syara‘. Manakala abang tersebut perlu mendapatkan wasiat amanah daripada bapa atau datuknya dahulu sebelum dia memiliki hak untuk menghalang adik beradiknya daripada tersilap menguruskan harta mereka.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply