Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kakak ipar saya telah berkahwin lain setelah abang saya meninggal. Dia telah melahirkan 3 orang anak bersama suami baru. Setelah beberapa tahun tak berjumpa, saya melihat salah seorang anak bersama suami baru sangat seiras dengan anak bongsunya bersama arwah abang saya. 

Perlukah saya membuat ujian DNA untuk memastikan anak buah saya itu adalah darah daging saya? Atau menganggap keirasan mereka hanyalah kebetulan? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kerana kecaknaan saudara terhadap anak buah. Berkenaan dengan persoalan DNA, ianya tidak diperlukan kerana Rasulullah SAW bersabda:

Hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ، وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

Maksudnya: ““(Nasab) anak adalah kepada pemilik tempat tidur (iaitu suami melalui perkahwinan yang sah) sedangkan (hukuman) bagi penzina adalah batu (rejam).”

Riwayat al-Bukhari (6818) dan Muslim (1458)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Tajuk bab yang dikemukakan oleh Imam al-Bukhari mengisyaraykan bahawa Imam al-Bukhari menguatkan pendapat yang mentakwilkan hajar (batu) di sini adalah batu yang digunakan untuk merejam penzina. Maksudnya, rejam disyariatkan bagi penzina dengan syaratnya, dan bukan bererti setiap yang berzina hendaklah direjam. (Lihat Fath al-Bari, 33/233)

Nas di atas jelas menunjukkan setelah mana kakak ipar anda telah berkahwin secara sah dengan suaminya yang baru, maka anak tersebut dikira anaknya. Begitu juga, anak bongsu tersebut lahir semasa kakak ipar anda bersama dengan abang anda dalam ikatan perkahwinan yang sah, ketika anak bongsunya dilahirkan. 

Adapun sifat keserupaan ramai berpendapat, seorang anak boleh serupa dengan ibu atau bapa atau bapa saudara, atauk, nenek, dari kedua-dua belah pihak atau tidak serupa dengan mana-mana pihak. Inilah yang kita imani dan yakini kerana Allah SWT Maha Berkuasa atas sesuatu. 

Keduanya, jika dibuka ruang seperti itu ia akan membawa kepada ramainya yang bersifat tidak puas hati dan sudah tentu ia menatijahkan suasana yang tidak baik dalam masyarakat yang penuh dengan syak wasangka sehingga membawa kepada pergaduhan dan pertelingkahan.

Syor dan cadangan saya agar didiklah anak-anak saudara anda jika sekiranya di bawah jagaan anda dengan sebaiknya. Berilah kepadanya kasih sayang kerana mereka adalah anak yatim dan usahakanlah untuk menyambung silaturrahim kerana ia akan memberi banyak kebaikan dalam kehidupan berumahtangga dan kekeluargaan.

Akhir kalam marilah kita berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply