Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru telah tular sebuah video yang menunjukkan seseorang memakan mata lembu yang disembelih secara mentah-mentah. Lalu timbul soalan, adakah mata lembu boleh dimakan mentah-mentah? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya — yakni makan dan ambil manfaat daripadanya, — bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk — yakni kotor dan jijik — seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu — yakni untuk dimakan dan diambil manfaatnya — adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa tidak ada sesuatupun daripada bahagian anggota haiwan halal yang disembelih menjadi najis disebabkan oleh sembelihan yang dilakukan. Sebaliknya, kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis. (Lihat al-Bayan, 1/80). Bahkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/153) ada dinukilkan bahawa tidak syak lagi, sembelihan yang dilakukan pada haiwan yang halal dimakan, menunjukkan bahawa haiwan itu harus untuk dimakan secara keseluruhannya — yakni meliputi seluruh bahagian atau anggotanya yang lain selagi mana tiada nas dalil yang menyatakan sebaliknya.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, al-Hattab ada menukilkan daripada al-Mudawwanah bahawa semua yang disandarkan kepada daging yang terdiri daripada lemak, hati, perut, jantung, paru-paru, limpa, ginjal, halkum, testis, kaki haiwan yang tiada daging, kepala dan seumpamanya, adalah sebagaimana hukum daging — yakni halal dimakan. (Lihat Mawahib al-Jalil, 4/349).

Kesimpulannya:

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa mata lembu yang disembelih adalah halal untuk dimakan sebagaimana bahagian-bahagian lain. Hal ini kerana sembelihan yang dilakukan ke atas haiwan yang halal dimakan, turut menghalalkan semua bahagian anggota haiwan tersebut dan harus untuk kita mengambil manfaat dengannya selagi mana bukan najis dan tidak memudaratkan. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Dalam erti kata lain, semua bahagian-bahagian haiwan itu adalah cabang atau sebahagian daripada haiwan yang disembelih tersebut. Justeru, hukum yang sama turut terpakai ke atas bahagian-bahagian tersebut — yakni halal dimakan.

Seterusnya berkenaan cara memakannya secara mentah-mentah, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa hukum memakan mata lembu secara mentah adalah makruh, jika ia tidak memudaratkan pemakannya. Namun, jika ia boleh memudaratkan kesihatan serta boleh membawa kepada keracunan makanan, maka hukumnya adalah haram. Firman Allah:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).

Hal ini kerana menurut ahli al-Ikhtisas dan pakar kesihatan, kebiasaannya bahagian haiwan yang mentah (belum dimasak) terdedah atau mengandungi bakteria seperti E.coli, Listeria monocytogenes dan Campylobacer yang mungkin menyebabkan simptom loya, muntah, cirit birit, demam dan sakit kepala. Bahkan memakannya secara mentah boleh mendatangkan bahaya dan penyakit bawaan makanan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply