Soalan:

Assalamualaikum, taqaballahu minna wa minkum. Saya ingin bertanya adakah terdapat dalil bahawa takbir hari raya dilakukan secara jemaah, atau secara individu ?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyatakan : Hendaklah bersyukur kepada Allah Ta’ala ketika telah menyempurnakan ibadah puasa  dengan pertolonganNYA. Allah SWT memberi  kemudahan  kepada hamba-hamba-Nya dalam melaksanakan ibadah kepadanya. Hendaklah Bertakbir ketika berakhirnya (bulan Ramadan), dan ketika melihat hilal Syawal sehingga berakhirnya khutbah hari raya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman.Halm.86)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيْرِ

Maksudnya: “Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (4373) Imam al-Sakhawi di, dalam al-Maqasid al-Hasanah (281) menyatakan bahawa sanad hadith ini dhaif

Jenis-Jenis Takbir Raya

Ulama membahagikan takbir raya kepada dua jenis; Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad.

  1. Takbir Mursal: Ia juga disebut Takbir Mutlak, kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat. Justeru, apabila tenggelam matahari pada malam Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri sehingga takbiratulihram Solat Hari Raya, kita disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa. Para ulama menetapkan bahawa perlaksanaan Takbir Mursal bagi Hari Raya Aidilfitri lebih ditekankan berbanding Hari Raya Aidiladha.
  2. Takbir Muqayyad: Perlaksaanan takbir ini terikat dengan perlaksanaan solat-solat maktubah (solat fardhu lima waktu). Oleh itu, apabila masuk waktu bertakbir Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk bertakbir selepas setiap kali solat fardhu. Takbir Muqayyad ini hanya berlaku bagi Hari Raya Aidiladha dan tidak disunatkan pada malam Hari Raya Aidilftri melainkan Takbir Mursal sahaja yang juga lebih ditekankan bagi Aidilfitri.

Daripada Ali dan Ammar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW:

كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ

Maksudnya: “Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.”

Riwayat al-Hakim ( 1111) dengan sanad yang sahih.

Takbir ini hendaklah dilakukan secara jahar (bacaan nyaring) sebagai syiar kaum Muslimin. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie,1/559;  al-Taqrirat al-Sadidah, hlm.347).

Menjawab bagi persoalan di atas, mengumandangkan takbir  di hari raya merupakan salah satu daripada syiar islam.  Ia membezakan umat Islam dengan umat-umat  sebelum ini. Takbir Mutlak dan Muqayyad pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha merupakan sunnah yang sentiasa dilakukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT sebagaimana yang telah diterangkan di atas. Ia boleh dilakukan secara berjemaah atau secara bersendirian. Ini berdasarkan apa yang telah diriwayatkan daripada Ummu a’tiah beliau berkata :

كُنّا نُؤْمَرُ أنْ نَخْرُجَ يَومَ العِيدِ حتّى نُخْرِجَ البِكْرَ مِن خِدْرِها، حتّى نُخْرِجَ الحُيَّضَ، فَيَكُنَّ خَلْفَ النّاسِ، فيُكَبِّرْنَ بتَكْبِيرِهِمْ، ويَدْعُونَ بدُعائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذلكَ اليَومِ وطُهْرَتَهُ

Maksudnya: “Pada hari aidilfitri kami diperintahkan untuk keluar sehingga kami mengajak para gadis dan juga para wanita yang sedang haid. Mereka ditempatkan di belakang barisan saf kaum muslimin serta mengucapkan takbir mengikut  takbir mereka, dan berdoa mengikut doa mereka dengan mengharap keberkatan dan kesucian di hari raya tersebut.”

Riwayat Bukhari(971)

Imam al-Syafi’i menyatakan : Apabila melihat hilal Syawal, aku lebih suka sekiranya umat islam mengumandangkan takbir secara berjamaah atau sendirian  baik di masjid, di pasar, di jalan-jalan, di rumah-rumah, baik mereka sedang bermusafir  atau mereka yang tinggal di tempat mana pun, dan dalam segala keadaan apa pun. Mereka harus mengucapkan takbir tersebut, dan terus mengucapkannya sehingga  mereka ke masjid untuk menunaikan solat hari raya. Mereka juga harus mengucapkan takbir  ketika imam keluar untuk solat. Demikian pula, aku menyukai agar takbir dikumandangkan pada malam Hari Raya Aidiladha bagi mereka yang tidak melaksanakan haji. Adapun para jemaah haji, mereka disunatkan untuk bertalbiyah. (Lihat al-Umm,1/264)

Fatwa Dar al-Ifta al-Misriyyah menyatakan : Takbir berjamaah dengan suara bersama adalah sunnah. Walaupun tidak ada bukti yang jelas yang melarangnya, maka tidak ada halangan terhadapnya dan tidak ada apa-apa masalah yang timbul daripadanya. Tidak ada juga yang boleh mendakwa bahawa zikir secara berjamaah lebih berpahala dan lebih disukai oleh Allah. Tetapi ia merupakan pelaksanaan yang terbukti ada di dalam sunnah dan athar para sahabat yang mulia. Oleh itu, tidak boleh  mengingkari kepada orang yang melakukannya. Antara alamat disyariatkan bertakbir secara berjamaah adalah  penyebaran amalan ini di antara generasi ke generasi Islam tanpa adanya penolakan.[1]

Justeru, kami katakan takbir hari raya boleh dilakukan secara berjmaah atau bersendirian kerana ia merupakan sunnah yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.

Semoga Allah memberi kefahaman  yang jelas dalam melaksanakan ibadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa. Ameen.

Wallahua’lam

[1] https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2956

Diakses pada 5 Julai 2023

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply