Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum seseorang bersumpah dengan meletakkan tangan di atas mushaf al-Quran?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan jawapan ini dengan pengertian sumpah.
Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان). Ia merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Dari segi bahasa, bererti kekuasaan. Firman Allah SWT:
لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ
Maksudnya: “Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami.”
(Surah al-Haqqah: 45)
Perkataan yamin juga, bermaksud tangan kanan kerana terdapat kekuatan tenaga pada tangan tersebut. Begitu juga, ia bermaksud dengan sesuatu yang dimuliakan. Hal ini adalah kerana orang Arab apabila bersumpah mereka berpegangan tangan kanan.
Pada dasarnya, ia bermaksud tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab biasanya mengangkat tangan kanan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 7/105)
Manakala pada istilah, ia bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Hal ini dilakukan dengan dengan menggunakan salah satu di antara huruf sumpah ba’ (ب), waw (و), atau ta’ (ت) (dalam bahasa Arab). Iaitu dengan menyebut billahi (بِاللهِ), wallahi (وَاللهِ) atau tallahi (تَاللهِ) yang membawa maksud ‘demi Allah’. (Lihat al-Qaul al-Mufid, 2/213 dan Taudhih al-Ahkam, 7/105)
Dalam menjawab persoalan di atas, bersumpah dengan meletakkan tangan di atas mushaf al-Quran, pada asasnya, tidak ada dinukilkan daripada Rasulullah SAW dan para sahabat. Al-Hattab berkata:
وَأَمَّا التَّغْلِيظُ بِالتَّحْلِيفِ عَلَى الْمُصْحَفِ فَقَالَ ابْنُ الْعَرَبِيِّ هُوَ بِدْعَةٌ لَمْ يَرِدْ عَنْ أَحَدٍ مِنْ الصَّحَابَةِ وَقَدْ أَجَازَهُ الشَّافِعِيَّةُ
Maksudnya: “Dan adapun masalah menguatkan sumpah dengan meminta melakukannya bersama mushaf, kata Ibn al-‘Arabi: ‘Ini adalah bid’ah yang tidak ada panduan daripada seorang sahabat Nabi pun, sementara mazhab al-Syafi’i membolehkannya.” (Lihat Mawahib al-Jalil, 6/217)
Ini merupakan satu perkara yang diadakan untuk menguatkan sumpah, agar dapat lebih mengekang kezaliman dan menakutkan pelakunya daripada berbohong.
Dalam kalangan al-Syafi’iyyah, disunatkan meletakkan al-Quran dalam dakapannya sebagai penguat atau pengukuh kepada sumpah.
Imam al-Nawawi berkata:
وَاسْتَحَبَّ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ أَنْ يُقْرَأَ عَلَى الْحَالِفِ (إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا) الْآيَةَ، وَأَنْ يُحْضَرَ الْمُصْحَفُ، وَيُوضَعَ فِي حِجْرِ الْحَالِفِ،
Maksudnya: (Imam) al-Syafi’i mensunatkan (agar) dibaca kepada orang yang akan bersumpah, (ayat al-Quran): ‘إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا’ (Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka..) [Surah Ali Imran: 77[1]] dan (mensunatkan agar) dibawa mushaf (al-Quran) dan diletakkan dalam dakapan orang yang akan bersumpah.” (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 12/31)
Hal ini bagi memperkukuhkan sumpah yang dilakukan, serta mendatangkan perasaan gerun untuk berbohong ketika bersumpah. Syeikh Abu Bakr Syata al-Dimyati al-Bakri berkata:
التَّغْلِيظُ أَنْ يُوضَعَ الْمُصْحَفَ فِي حِجْرِهِ وَيطلع لَهُ سُورَةَ بَرَاءَةٍ، وَيُقَالُ لَهُ: ضَعْ يَدَكَ عَلَى ذَلِكَ، وَيُقْرَأُ قَوْلَهُ تَعَالَى: * (إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ) * الْآيَةَ.
Maksudnya: Pengukuhan (sumpah dilakukan dengan) diletakkan mushaf dalam dakapannya (orang yang mahu bersumpah), dan dibuka kepadanya surah Bara’ah (al-Taubah), dan dikatakan kepadanya, “Letakkan tanganmu di atasnya (surah al-Taubah),” dan dibaca kepadanya firman Allah SWT (dalam surah Ali Imran, ayat 77, iaitu): ‘إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ’ (sehingga akhir ayat). (Lihat I’anatu al-Talibin ‘ala Halli Alfaz Fath al-Mu’in, 4/364)
Justeru, kami nyatakan bahawa terdapat khilaf dalam masalah ini. Berdasarkan nas, sumpah dilakukan dengan nama Allah sahaja. Akan tetapi, meletakkan tangan di atas mushaf adalah dianggap sebagai penguat.
Satu perkara lagi, hendaklah kita tidak iktiqad untuk meniru agama lain.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.
[1] Ayat ini, secara lengkapnya seperti berikut:
إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَٰئِكَ لَا خَلَاقَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلَا يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” [Surah Ali Imran: 77]
Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H