Soalan:
Assalamualaikum Dato, saya ingin bertanya apakah kelebihan bertakbir ? Terima Kasih
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: “Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
(Surah al-Ra’d: 28)
Allah berfirman lagi :
وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ
Maksudnya: “Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.”
(Surah al-A’raf: 205)
Al-Tabari berkata: Firman-Nya, ‘وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ’ (“Janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai,”) ketika al-Quran dibacakan. Janganlah kamu tergolong orang yang lalai terhadap nasihat dan pelajaran, serta pelbagai keajaiban yang terkandung di dalamnya. Akan tetapi, renungkan dan fahamilah itu. Rasakanlah zikir kepada Allah di dalam hatimu, dan bersikap rendah diri dan takutlah terhadap kekuasaan Allah terhadapmu jika engkau bersikap lalai daripada hal itu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 11/927)
Di sana juga terdapat banyak hadith berkaitan galakan berzikir ini seperti hadith daripada Abu Musa R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”
Riwayat al-Bukhari (6407)
Daripada Abu al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، قَالَ مَكِّيٌّ: وَأَزْكَاهَا، عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ، فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ ” قَالُوا: وَذَلِكَ مَا هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: ذِكْرُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Tidakkah kamu ingin aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Kata Makki: Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan duit. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung lehermu. Para sahabat berkata: Apakah perkara itu (kami ingin mengetahuinya) wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Azza Wa Jalla.”
Riwayat Ahmad (27102). Syeikh Syu’aib al-Arna’uth menilai sanad hadith ini adalah sahih.
Berkait dengan persoalan di atas, menurut Imam al-‘Izz ibn Abd al-Salam, maksud takbir ialah lafaz pujian yang dipuji dengannya Tuhan dan diagungkan-Nya. (Lihat Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 2/66)
Firman Allah SWT:
وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ
Maksudnya: “Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!”
(Surah al-Muddatthir: 3)
Maksudnya, hendaklah kamu agungkan Tuhanmu dan disebut dengan kalimah Allahu Akbar (اللهُ أًكْبَرُ). Diriwayatkan juga bahawa tatkala turunnya ayat ini Rasulullah SAW terus menyeru “Allahu Akbar!” (اللهُ أًكْبَرُ). Maka Saidatina Khadijah R.Anha juga bertakbir dan dia amat sukacita dan yakin bahawa itu merupakan satu wahyu. (Lihat Kitab al-Inayah ‘ala al-Hidayah, 1/239)
Firman Allah SWT:
وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا
Maksudnya: “Dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakan-Nya dengan bersungguh-sungguh!”
(Surah al-Isra’: 111)
Menjawab bagi persoalan di atas, kami nyatakan di sini beberapa kelebihan berzikir dengan lafaz takbir:
- Pahala Amalan Seperti Melakukan Haji dan Umrah
Diriwayatkan daripada Abu Darda’ R.A, dia mengadu kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya dengan keuntungan mereka, mereka menunaikan haji dan kami tidak mengerjakan haji, mereka berjihad dan kami tidak berjihad, begitu dan seterusnya.” Lalu Baginda SAW bersabda:
أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إنْ أَخَذْتُمْ بِهِ جِئْتُمْ أَفْضَلَ مِمَّا يَجِيءُ بِهِ أَحَدٌ مِنْهُمْ؟ أَنْ تُكَبِّرُوا أَرْبَعًا وَثَلَاثِينَ، وَتُسَبِّحُوهُ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَأَنْ تَحْمَدُوهُ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ
Maksudnya: “Hendakkah kamu aku ajarkan sesuatu yang apabila kalian lakukannya, maka kamu telah melakukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dikerjakan (haji) oleh salah seorang dari mereka (orang-orang kaya)? Selepas solat, kamu bertakbir sebanyak 34 kali, bertabih sebanyak 33 kali, dan bertahmid sebanyak 33 kali.”
Riwayat al-Nasa’ie (9902)
Ganjaran pahala seperti yang diterangkan dalam hadith sekiranya berzikir dengan lafaz takbir diseratakan dengan lafaz tasbih dan tahmid.
- Ganjaran pahala yang memenuhi antara langit dan bumi
Diriwayatkan daripada seseorang daripada Bani Sulaim bahawa beliau berkata:
عدَّهنَّ رسولُ اللهِ ﷺ في يدي أو في يدِهِ التَّسبيحُ نصفُ الميزانِ والحمدُ للهِ يملؤُهُ والتَّكبيرُ يملَأُ ما بينَ السَّماءِ والأرضِ والصَّومُ نصفُ الصَّبرِ والطُّهورُ نصفُ الإيمانِ.
Maksudnya: Rasulullah SAW menghitungnya pada tanganku atau tangannya, “Bacaan Tasbih adalah setengah timbangan dan Alhamdulillah memenuhi timbangan tersebut, dan takbir memenuhi antara langit dan bumi, puasa adalah setengah kesabaran, dan bersuci adalah setengah keimanan.
Riwayat al-Tirmizi (3519). Syeikh Syu’aib Arnau’t menilai hadith ini sebagai Sahih Li Ghairih dalam Takhrij al-Musnad, hlm.23073
Justeru, suka untuk kami nasihati supaya sentiasa melazimi zikir kerana ia bukan sahaja dapat mententeramkan hati bahkan dijanjikan bagi sesiapa yang berzikir akan mendapat ganjaran yang amat besar.
Semoga kita menjadi hamba Allah yang sentiasa berzikir dan saya menutup dengan doa:
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”
Riwayat Abu Daud (1522), al-Nasa’ie (1303), Ahmad (22119), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (1/362) dan Ibn Hibban (2020)
Wallahua’lam
Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H