Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Nak tanya, apa hukum menyebut nama-nama pembuat korban sebelum menyembelih haiwan korban? Adakah ada sandaran dalil dalam masalah ini? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِكَبْشٍ أَقْرَنَ يَطَأُ فِي سَوَادٍ، وَيَبْرُكُ فِي سَوَادٍ، وَيَنْظُرُ فِي سَوَادٍ، فَأُتِيَ بِهِ لِيُضَحِّيَ بِهِ، فَقَالَ لَهَا: “يَا عَائِشَةُ، هَلُمِّي الْمُدْيَةَ”، ثُمَّ قَالَ: “اشْحَذِيهَا بِحَجَرٍ”، فَفَعَلَتْ: ثُمَّ أَخَذَهَا، وَأَخَذَ الْكَبْشَ فَأَضْجَعَهُ، ثُمَّ ذَبَحَهُ، ثُمَّ قَالَ: “بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ”، ثُمَّ ضَحَّى بِهِ

Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW mengarahkan (untuk dilakukan korban) seekor kambing biri-biri bertanduk yang hitam kaki, perut dan sekitar matanya. Lalu kambing itu dibawa kepada Baginda untuk dilakukan korban. Baginda SAW bersabda: “Wahai Aisyah! Bawalah pisau.” Kemudian Baginda SAW bersabda: “Asahlah ia dengan batu (agar lebih tajam).” Lalu aku (Aisyah) melakukannya. Kemudian Baginda mengambil pisau itu dan mengambil kambing biri-biri tersebut, lalu dibaringkan untuk disembelih. Kemudian Baginda menyebut: ‘بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ’ (Dengan nama Allah. Ya Allah, terimalah daripada Muhammad, kaum keluarga Muhammad dan umat Muhammad). Kemudian, Baginda pun mengorbankannya.”

Riwayat Muslim (1967) dan Abu Daud (2792)

Dalam riwayat lain, daripada Jabir bin ‘Abdillah R.A, katanya:

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْأَضْحَى بِالْمُصَلَّى، فَلَمَّا قَضَى خُطْبَتَهُ نَزَلَ مِنْ مِنْبَرِهِ وأُتِيَ بِكَبْشٍ فَذَبَحَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ، وَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، هَذَا عَنِّي، وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي

Maksudnya: “Aku menyaksikan pelaksanaan korban bersama Rasulullah SAW di musollah (lapangan solat Hari Raya). Apabila Baginda selesai menyampaikan khutbah, Baginda turun dari Minbar, lalu dibawa kepada Baginda seekor biri-biri. Maka, Baginda pun menyembelihnya dengan tangan Baginda dengan menyebut: ‘بِسْمِ اللَّهِ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، هَذَا عَنِّي، وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي’ (Dengan nama Allah. Allah Maha Besar. Ini daripadaku dan daripada sesiapa yang tidak melakukan korban dari kalangan umatku.)

Riwayat Abu Daud (2810), al-Tirmizi (1521) dan Ahmad (14895). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sahih li ghairihi dalam takhrij al-Musnad.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa sunat bagi penyembelih korban untuk menyebut nama bagi orang yang melakukan  ibadah korban sebelum melakukan sembelihan. Contohnya, dia menyebut: “Ya Allah, terimalah daripada si fulan, dan si fulan.”

Meskipun begitu, menyebut nama-nama orang yang melakukan ibadah korban sebelum menyembelih tidaklah termasuk syarat sah korban. Sebaliknya, ia adalah sesuatu yang sunat untuk dilakukan seperti yang telah disebutkan.

Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadat yang kita lakukan. Amin.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply