Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang guru taska dan ingin bertanya, jika saya ingin membuat penyampaian sirah Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S sempena Aidiladha ini dalam bentuk kad bergambar, adakah boleh saya menggunting bentuk seperti seorang lelaki dewasa tetapi tanpa wajah, sebagai simbol watak Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail? Mohon perhatian dan maklumbalas tentang kemusykilan ini, dan saya amat hargai apa sahaja maklumbalas. Makluman tambahan, guntingan adalah dalam bentuk kartun. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syabas saya ucapkan kerana ingin menyampaikan pengajaran agar ianya lebih berkesan. Uslub yang digunakan oleh pihak anda adalah amat baik kerana ia sejuzuk daripada cara yang memberi kefahaman lebih mudah kepada anak didik anda. Menjawab persoalan di atas, saya katakan bahawa sekadar tanpa wajah sebagai simbol atau watak Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail adalah dibolehkan. Ini sekadar taqrib al-zihni bagi memahami kisah penyembelihan dan korban dengan lebih berkesan.

Sementelahan pula, gambar yang anda potong itu tidak menepati rupa sebenar Nabi Ibrahim atau pun Nabi Ismail dan ia sebagai simbolik semata-mata. Yang penting, penyampaiannya berkenaan iktibar dan istifadah yang dapat diambil dari kisah tersebut oleh pelajar lebih mudah untuk difahami.

Justeru, kami harapkan kisah-kisah para nabi dapat diajar sebagai pengajaran dan panduan kepada kita semua. Semoga Allah SWT memberi kepada kita kebaikan hasil usaha untuk mendidik anak bangsa ke arah kebaikan dan kefahaman yang sebenar berkenaan dengan agama.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply