Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum memakan daging kambing atau haiwan halal yang diberi minum arak sehingga ia mabuk? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya — yakni makan dan ambil manfaat daripadanya, — bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk — yakni kotor dan jijik — seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu — yakni untuk dimakan dan diambil manfaatnya — adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Ibn al-Qasim pernah menyebutkan mengenai burung yang diburu dengan arak, lalu burung itu datang, kemudian meminumnya sehingga mabuk. Maka, tidak mengapa memakannya. Perkara ini telah dinukilkan oleh Ibn Rusyd al-Jadd dalam al-Bayan wa al-Tahsil (3/318) dan beliau mengesahkannya. (Lihat juga Mawahib al-Jalil, 1/92). Bahkan dalam al-Jami‘ li Masa’il al-Mudawwanah (5/789), dinukilkan perkara itu daripada Imam Malik sendiri. Ibn al-Mawwaz menyatakan, sesungguhnya Imam Malik menyebutkan berkenaan haiwan buruan yang diburu dengan arak untuk memabukkannya bahawa tidak mengapa dengannya (yakni untuk memakannya).

Begitu juga al-Sarakhsi turut menyebutkan, jika seseorang memberi minum kambing dengan arak, kemudian kambing itu disembelih pada waktu itu, maka tidak mengapa dengan dagingnya (yakni untuk memakannya). Demikianlah juga jika seseorang memerah susu daripadanya, tidak mengapa untuk meminum susu tersebut. Hal ini kerana arak itu telah tercerna (berubah) dengan sampainya ke dalam perut, dan ia tidak memberi kesan kepada dagingnya mahupun kepada susunya. Ia dalam bentuk arak (yang dihukumkan sebagai najis), jika ia dalam keadaannya (yang asal). Oleh sebab itu, tidak mengapa untuk memakan dagingnya dan meminum susunya. (Lihat al-Mabsut, 24/28).

Al-Jassas dalam Syarh Mukhtasar al-Tahawi (6/393) menjelaskan lagi, sesiapa yang memiliki kambing lalu ia meminum arak, kemudian ia disembelih pada waktu itu, maka tidak haram dagingnya untuk dimakan dengan sebab tersebut. Hal ini kerana kedudukannya sama seperti najis di sebelahnya, atau di sebelah ususnya, maka dagingnya tidak rosak dengan sebab itu, sebagaimana jika ia minum air yang bernajis. Hal ini juga adalah sebagaimana daging dan susu tidak menjadi najis disebabkan oleh berdekatan (berada bersebelahan) darah dan najis. Firman Allah SWT:

مِن بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِّلشَّارِبِينَ

Maksudnya:yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

(Surah al-Nahl: 66)

Di samping itu, Badruddin al-‘Aini juga ada menyebutkan bahawa tidak boleh memberi minum arak kepada haiwan. Namun, jika seseorang tetap memberi minum arak kepada kambing, lalu kambing itu disembelih pada waktu itu, maka boleh untuk memakan dagingnya kerana arak yang diminum oleh kambing tersebut tidak memberi kesan pada dagingnya. Begitu juga sekiranya ia berterusan meminum arak sehingga menjadikan bau arak dapat dihidu dari kerongkongnya, maka jika binatang itu adalah unta, maka hendaklah mengkuarantinnya selama sebulan (dengan memberinya makanan bersih), kemudian barulah dimakan (disembelih). Jika ia adalah lembu, hendaklah mengkuarantinnya selama 20 hari dan jika ia adalah ayam, hendaklah mengkuarantinnya selama 3 hari. (Lihat al-Banayah Syarh al-Hidayah, 12/357).

Ibn Qudamah menyatakan, jika kebanyakan makanan haiwan itu adalah najis, maka haram untuk memakan dagingnya dan meminum susunya. Akan tetapi al-Hasan memberi kelonggaran (rukhsah) pada daging dan susunya (yakni untuk dimakan dan diminum) kerana haiwan tidak menjadi najis disebabkan oleh ia memakan benda-benda najis. Dalilnya, peminum arak tidak dihukumkan najis anggotanya, begitu juga orang kafir yang memakan babi dan benda-benda haram tidak menjadikan luarannya najis. Seterusnya, Ibn Qudamah mengkritik pendapat al-Hasan tersebut dengan menyebutkan, adapun bagi peminum arak, arak itu bukanlah kebanyakan makanannya, sebaliknya (kebanyakannya) dia memakan benda-benda yang bersih. Begitulah juga orang kafir pada kebanyakan makanannya (adalah bersih dan suci). (Lihat al-Mughni, 9/413-414).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa memakan daging mahupun meminum susu haiwan halal yang diberi minum arak kerana arak itu bukanlah makanan utama dan kebanyakannya, sebaliknya kebanyakan makanannya adalah suci dan bersih. Justeru, ia tidak menjejaskan daging mahupun susunya.

Namun, jika arak merupakan minuman atau makanan kebanyakannya sehingga menyebabkan dagingnya berubah atau terdapat kesan padanya, maka ketika itu hukumnya adalah seperti mana hukum haiwan jallalah.[1] Berkenaan haiwan jallalah, kami berpendapat bahawa hukum memakan daging haiwan jallalah adalah makruh dan bukannya haram kerana ia adalah perkara yang mendatang (bukan kekal pada zat), yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Lebih-lebih lagi, haiwan jallalah yang dagingnya berubah — disebabkan memakan najis atau tinggal dalam air najis — boleh kembali kepada asal dengan cara mengkuarantinnya dan memberinya makanan yang bersih dalam satu tempoh, sebelum menyembelih dan memakannya. Maka, ketika ini hukumnya tidak lagi menjadi makruh. Pendapat ini juga adalah selari dengan pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i.

Kami juga mengambil kesempatan di sini untuk mengesyorkan, sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada khilaf — sama ada mereka yang menghukumkan sebagai makruh atau haram — agar haiwan jallalah itu dikuarantin terlebih dahulu sama ada dengan dikurung, diasingkan atau seumpamanya dan diberi makanan yang baik sehingga hilang kesan najis tersebut. Pada asasnya, ‘illah (sebab) bagi ketidakharusan memakan haiwan jallalah adalah kerana ia memakan najis dan kotoran sehingga memberi kesan kepada dirinya. Justeru, jika ‘illah itu hilang, maka hilanglah larangan daripada memakan haiwan tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah:

إِذَا زَالَتِ العِلَّةُ زَالَ الحُكْمُ

Maksudnya:Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”

Manakala bagi tempoh pengkuarantinan pula, kami nyatakan bahawa tiada tempoh tertentu bagi proses pengkuarantinan dan tempoh memberinya makanan yang bersih. Akan tetapi ia berdasarkan kepada adat setempat dan sangkaan yang kuat bahawa perubahan pada daging tersebut dan baunya yang busuk itu telah hilang.

Penjelasan lanjut berkenaan haiwan jallalah bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #506 Memakan Ikan Keli yang Dipancing dari Kolam Najis,[2] #508 Tempoh Kuarantin Haiwan Jallalah[3] dan #510 Memberi Ikan Ternakan Makanan Berunsurkan Najis.[4]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Jallalah ialah haiwan yang mana makanannya adalah najis dan seumpamanya, yang terdiri daripada tahi dan benda-benda kotor. (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, 1/165; Lisan al-‘Arab, 11/119; Sunan Abi Daud, 3/336).

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/506-memakan-ikan-keli-yang-dipancing-dari-kolam-najis/. Diakses pada 6 Julai 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/508-tempoh-kuarantin-haiwan-jallalah/. Diakses pada 6 Julai 2023.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/510-memberi-ikan-ternakan-makanan-berunsurkan-najis/. Diakses pada 6 Julai 2023.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply