Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya terjumpa sebuah perkongsian di media sosial dan ingin mengetahui kesahihannya. Benarkah orang yang tidur selepas berwuduk itu rohnya berada di Arasy Allah dan sedang bersujud di depan Allah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Pertamanya, kami memuji sikap saudara yang bertanya kerana ingin memastikan kesahihan sesebuah perkongsian. Tidak syak lagi bahawa di antara sesuatu  yang baik dalam surat-menyurat, dan memasuki forum dan laman perbincangan seperti sosial media, adalah pengguna mengisi masa dan ruang tersebut dengan apa yang memberi manfaat kepadanya dan orang lain dalam urusan agama dan dunia. Dan inilah yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW kepada kita dalam setiap perkara.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

احْرِصْ على ما يَنْفَعُكَ

Maksudnya: “Berusahalah pada apa yang memberi manfaat kepadamu.”

Riwayat Muslim (26664)

Akan tetapi, niat yang ikhlas dan baik sahaja tidak mencukupi untuk kelangsungan hidup seorang hamba dalam mencapai kebaikan yang dia harapkan, sehinggalah dia menyertakan ke dalam hidupnya amalan salih yang bertepatan dengan tuntunan Rasulullah SAW dan hukum syara‘.

Apabila sesuatu perkongsian itu terkait dengan urusan ghaib dan ukhrawi, terkadang berlakunya percampuran maklumat yang mana sebahagian kita mungkin tidak cakna akan hal tersebut. Akhirnya, mereka yang menginginkan kebaikan ini pun bersegera membuat perkongsian dan mengajak manusia melakukan hal yang sama, dengan slogan: ‘sebarkan dapat pahala’. Benar, akan tetapi perlulah diyakini kesahihannya sebelum menyebarkan maklumat tersebut.

Hal ini kerana, dikhuatiri kita akan tersilap menisbahkan sesuatu kepada nama Rasulullah SAW sedangkan perkara tersebut tidaklah thabit daripada Baginda. Akhirnya, kita sendiri akan terjerumus ke dalam larangan yang telah disebutkan Rasulullah SAW. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقُوا الْحَدِيثَ عَنِّي إِلَّا مَا عَلِمْتُمْ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Bertaqwalah daripada berkata sesuatu daripadaku kecuali apa yang kalian tahu (ada ilmu tentang kesahihannya). Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Tirmizi (29651) dan Ahmad (2976)

Di dalam riwayat yang lain daripada al-Mughirah bin Syu‘bah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pendustaan di atas namaku bukanlah seperti pendustaan di atas nama orang lain,  siapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291)

Bahkan, perbuatan menyebarkan apa sahaja yang kita baca dan dengar tanpa memastikan kesasihannya dikira sebagai pendusta. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَفَى بالمَرْءِ كَذِبًا أنْ يُحَدِّثَ بكُلِّ ما سَمِعَ

Maksudnya: “Cukuplah seseorang itu dikira menipu apabila dia menyampaikan semua perkara yang dia dengari (tanpa tahu kesahihan berita tersebut).”

Riwayat Muslim (5)

Kembali kepada persoalan yang diajukan, kami datangkan terlebih dahulu teks hadith yang menyebutkan tentang roh bersujud kepada Allah SWT ketika seorang manusia itu tidur. Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru R.A, katanya:

الْأَرْوَاحُ تَعْرُجُ فِي مَنَامِهَا إِلَى السَّمَاءِ، فَتُؤْمَرُ بِالسُّجُودِ عِنْدَ الْعَرْشِ؛ فَمَنْ كَانَ طَاهِرًا، سَجَدَ عِنْدَ الْعَرْشِ، وَمَنْ لَيْسَ بِطَاهِرٍ، سَجَدَ بَعِيدًا عَنْ الْعَرْشِ

Maksudnya: “Roh-roh akan naik ke langit ketika sedang tidur, lalu diperintahkan untuk sujud di ‘Arasy. Barangsiapa yang bersuci (berwudhu’ sebelum tidur), rohnya akan sujud di ‘Arasy, dan siapa yang tidak bersuci, rohnya akan sujud jauh daripada ‘Arasy.”

Riwayat al-Bukhari (2439) di dalam kitabnya al-Tarikh al-Kabir (6/292)

Perlu diketahui bahawa bukanlah kesemua hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari adalah sahih, kecuali jika Imam al-Bukhari meriwayatkannya di dalam kitab sahih beliau. Adapun riwayat beliau di dalam al-Tarikh al-Kabir bukan bertujuan mengumpulkan sunnah dan sanad, bahkan ia adalah kitab ilal. Maka di dalam kitab tersebut, Imam al-Bukhari tidak hanya berpada dengan hadith-hadith yang sahih, akan tetapi terdapat juga riwayat yang tidak sahih.

Antaranya riwayat yang tidak sahih di sisi beliau adalah riwayat Abdullah bin ‘Amru R.A yang kami bawakan di atas. Imam al-Bukhari berkata selepas daripada beliau menyebutkan riwayat tersebut:

وَلَا أَرَاهُ يَصِحُّ

Maksudnya: “Aku tidak mendapati (riwayat) ini sahih.” (Lihat al-Tarikh al-Kabir, 6/292)

Jika kita katakan sekalipun bahawa riwayat ini sahih, ia bukanlah hadith yang diriwayatkan daripada sabda Rasulullah SAW, sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Bukhari dalam kitabnya al-Tarikh al-Kabir, bahkan ia merupakan athar Abdullah bin Amr bin Al-‘As R.Anhuma. Al-Baihaqi menjelaskan perkara ini di dalam Shu‘ab al-Iman (3/29): “Beginilah riwayat ini datang secara mauquf (riwayat itu terhenti pada sahabat).”

Antara perawi yang meriwayatkan athar ini adalah Ali bin Ghalib al-Fihri al-Qurasyi. Imam Ibn Hibban menyebutkan tentangnya di dalam kitab al-Majruhin bahawa dia merupakan seorang yang menetap di Mesir. Dia meriwayatkan daripada Wahib bin Abdullah, dan Yahya bin Ayyub meriwayatkan daripadanya. Dia banyak melakukan tadlis dalam periwayatannya sehinggakan dia meriwayatkan hadith-hadith yang munkar. Maka batal untuk berhujjah dengannya kerana tidak diketahui sama ada dia mendengar apa yang diriwayatkan olehnya daripada orang lain. (Lihat al-Majruhin, 2/111)

Perbahasan ini berkaitan dengan perkara ghaib, ia tidak boleh dinilai dengan pendapat seseorang dan ijtihad semata-mata, malah ia mestilah berpandukan dalil dan hujjah daripada syara‘.

Kami katakan, cukuplah kita mengambil riwayat atau hadith tentang kelebihan berwudhu’ seperti yang diriwayatkan daripada al-Barra’ bin ‘Azib R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَتَيتَ مَضْجَعَكَ فَتَوضَّأْ وضُوءَكَ لِلصَّلاةِ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلى شِقِّكَ الأَيمَنِ، وقلْ: اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نفِسي إِلَيكَ، وَفَوَّضتُ أَمري إِلَيْكَ، وَأَلَجَأْتُ ظَهرِي إِلَيْكَ، رغبةً ورهْبَةً إِلَيْكَ، لامَلجأَ ولا مَنجي مِنْكَ إِلاَّ إِليكَ، آمنتُ بِكِتَابِكَ الذِي أَنزَلْت، وَبِنَبِيِّكَ الذِي أَرْسَلتَ، فَإِنْ مِتَّ. مِتَّ عَلَى الفِطرةِ، واجْعَلهُنَّ آخِرَ مَا تَقُولُ

Maksudnya: Apabila kamu datang ke tempat pembaringan, hendaklah kamu berwudhuk seperti wuduk solat, kemudian berbaring atas lambung kanan, dan berdoalah:Ya Allah, aku serahkan diriku pada-Mu, dan aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku sandarkan belakangku kepada-Mu dengan penuh rasa harap dan takut kepada-Mu. Tiada tempat bersandar dan selamat selain daripada-Mu. Aku beriman dengan kitab-Mu yang Kamu turunkan, dan nabi-Mu yang Kamu utuskan.’ Sekiranya kamu mati nescaya kamu mati di atas fitrah (islam), dan jadikanlah rangkuman doa ini sebagai akhir apa yang kamu baca.

Riwayat al-Bukhari (6311), Muslim (2810), al-Tirmizi (3574) dan Abu Dawud (65046)

Imam al-Tirmizi berkata selepas beliau meriwayatkan hadith di atas: “Aku tidak mengetahui hadith tentang kelebihan wudhu’ sebelum tidur melainkan pada hadith ini.” (Lihat al-Jami‘ al-Kabir, 5/534)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan yang telah kami bawakan, dapat kita ambil maklum tentang status kesahihan perkongsian di sosial media seperti yang disebutkan di atas, bahawa ianya adalah tidak sahih seperti mana yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari. Bahkan terdapat perawi yang meriwayatkan athar Abdullah bin Amru R.Anhuma yang dikritik periwayatannya oleh Ibn Hibban.

Adapun hadith yang sahih berkaitan dengan berwudhu’ sebelum tidur adalah seperti yang diriwayatkan daripada al-Barra’ bin ‘Azib R.A.

Akhir kalam, kami menasihatkan agar kita sentiasa beramal dengan hadith dan riwayat yang sahih daripada Rasulullah SAW serta sahabat Baginda. Diriwayatkan daripada ‘Irbadh bin Sariyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ

Maksudnya: “Maka hendaklah kalian mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin yang diberikan petunjuk, gigitlah sunnah-sunnah tersebut dengan gigi geraham (berpegang dengan kuat).”

Riwayat Abu Dawud (4607), al-Tirmizi (2676), Ibn Majah (42) dan Ahmad (17144)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply