Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak minta nasihat, saya sedang dalam proses pengagihan harta pusaka dan menguruskan harta sepencarian bagi bapa saya. Untuk harta sepencarian jika semua ahli keluarga dah bersetuju untuk 50% bagi bahagian ayah saya, adakah itu valid ataupun kami masih perlu rujuk mahkamah syariah untuk dapatkan % bahagian ayah saya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/284-286), antara lain menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.

Menjawab persoalan di atas, kami tegaskan bahawa apa yang Allah putuskan sudah tentu mempunyai hikmah tersendiri. Terkadang-kadang tercapai oleh akal kita dan kadang-kadang di luar jangkauan akal kita. Justeru, amat perlu seseorang memahami apa yang telah diputuskan oleh Allah SWT. Seafdalnya dan sewajarnya bahagikanlah harta pusaka mengikut hukum faraidh. Kecualilah semuanya redha.

Akan tetapi, dalam kes yang saudara bentangkan kepada kami, sefahaman kami harta sepencarian yang diberikan kepada bapa sebanyak 50% menunjukkan bahawa berlaku kerjasama dan syer harta dalam usaha sesuatu perniagaan atau pekerjaan. Kalaulah ini maksudnya, bermakna tindakan saudara dengan persetujuan semua keluarga yang berhak menerima pusaka memberikan kepada bapa saudar 50% adalah dibolehkan. Justeru, bagilah secara pusaka yang baki. Semoga keluarga saudara tetap teguh dan sentiasa mengeratkan hubungan silaturrahim tanpa memutuskannya.

Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنَ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلَنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply