Soalan:
Assalamualaikum Dato’, Maaf bertanya, Jika seseorang anak perempuan itu ingin bernikah bolehkah bapa susuannya mewalikan anak susuannya itu? walaupun bapa kandungnya masih hidup?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya’ri bahawa Rasulullah SAW bersabda :
لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ
Maksudnya: Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.
Riwayat al-Tirmizi (1102)
Hadith ini menunjukkan bahawa seorang perempuan tidak dibolehkan melakukkan akad nikah untuk dirinya sendiri melainkan walinya dan tidak boleh juga dia melakukan akad nikah untuk perempuan lain. Yang demikian merupakan pandangan ulama seperti Imam al-Syafi’I, Sufyan al-Thauri, Imam Ahmad dan Abu Ishak. (Lihat al-Tamhid, 12/21 ).
Diriwayat juga daripada ‘Aisyah katanya, Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا المَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا،
Maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika ia menggaulinya maka ia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan dari kemaluannya.”
Riwayat Tarmizi (1102)
Dalam susunan atau tertib wali perempuan yang sah mengikut Hukum Syara’ adalah seperti berikut:
- Bapa Kandung.
- Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
- Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
- Adik Beradik Lelaki Sebapa.
- Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
- Anak Saudara Lelaki Sebapa.
- Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
- Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
- Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
- Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
- Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
- Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
- Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
- Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
- Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
- Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
- Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
- Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
- Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
- Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
- Wali Hakim.
(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/61)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini, ayah susuan tidak boleh mewalikan anak susuan dalam pernikahan. Ini kerana ayah susuan bukanlah dari kalangan ‘asabah iaitu saudara terdekat sebagaimana yang telah kami nyatakan di atas.
Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan: “Kaum kerabat yang tiada pertalian ‘asabah (dari sebelah bapa) tidak mempunyai kuasa menjadi wali, seperti adik beradik lelaki seibu, bapa saudara sebelah ibu, bapa saudara kepada ibu, datuk sebelah ibu dan lain-lain. Inilah pandangan yang disebutkan oleh Imam Ahmad dalam banyak tempat, dan ia merupakan pandangan Imam Syafi‘ie dan salah satu daripada dua Riwayat Imam Abu Hanifah.” (Lihat al-Mughni, 7/16)
Adapun ayah susuan dia bukanlah dari kalangan nasab maka, dia juga tidak boleh dijadikan wali dalam pernikahan.[1]
Justeru kami katakan di sini supaya, bertanya para ulama dalam memahami tertib wali dan menyemak dahulu wali yang layak sebelum melakukan ikatan perkahwinan. Ini kerana suatu ikatan perkahwinan tidak sah melainkan dengan wali yang sah.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang jelas dan sahih dalam memahami syariat Islam. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H