Soalan:
Apakah hukumnya orang yang menangguhkan ibadat hajinya kerana wang simpanan untuk ibadah tersebut digunakan untuk memberi hutang kepada orang yang memerlukan. Pada usia 39 tahun (tahun lepas) saya sudah berhenti kerja kerana hendak tumpukan perhatian kepada keluarga dan ada sedikit wang simpanan yang cukup untuk laksanakan ibadah haji di bawah muasasah.
Namun begitu, wang tersebut saya tidak cukup dalam akaun TH untuk membuat haji kerana saya memberi hutang kepada 6 orang (kawan, adik beradik, saudara mara) yang saya tahu mereka berpendapatan rendah dan bulanan hanya mampu bayar dalam RM 100-200 sahaja kerana kesempitan hidup. Saya juga memberi tangguh kerana faham kesusahan mereka. Secara purata Hutang tersebut ambil masa 2-3 tahun untuk di habiskan.
Saya tak ambil apa-apa bunga walaupun ada yang kata risiko inflasi. Saya gunakan konsep pinjam RM 5K, bayar juga RM 5K. Soalan saya, adakah saya dikira berdosa kerana tidak tunaikan haji lagi walaupun saya mampu? Saya takut dikategori sebagai orang yang ingkar perintah Allah.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”
Surah ali-Imran (97)
Lafaz ‘الاسْتِطَاعَةُ’ yakni berkemampuan, yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani semata-mata. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Lihat Al-Muhalla, 7/54; Subul al-Salam, 2/180)
Imam Ibn Kathir berkata: “Adapun الاسْتِطَاعَةُ (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/364)
Dan diriwayatkan hadith daripada Umar R.A, bahawa seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW seraya berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan.”
Riwayat al-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896)
Dapat difahami melalui hadith di atas, bahawa kadar kemampuan yang mewajibkan seseorang tersebut untuk mengerjakan haji adalah apabila dia mempunyai bekalan makanan dan juga kenderaan untuk pergi dan pulang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/457)
Maksud berkemampuan dengan sendirinya ialah:
- Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan.
- Mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik.
- Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.
- Sihat tubuh badan.
- Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj, 1/96; al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)
Berbalik kepada soalan yang di atas, kami nyatakan hukum mengerjakan haji bagi yang berkemampuan adalah wajib. Hal ini kerana ia merupakan rukun Islam yang kelima dan dituntut mengerjakannya walaupun sekali. Namun begitu, dalam situasi saudara, saudara terpaksa membantu keluarga yang susah disebabkan mereka berpendapatan rendah. Maka, dalam isu ini langkah saudara untuk menangguhkan dahulu haji bagi membantu keluarga yang susah adalah perbuatan yang mulia. Sabda Nabi SAW:
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي
Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.
Riwayat al-Tirmidhi (3895) dan hadith ini dinilai sebagai hasan sahih oleh al-Tirmidhi.
Bahkan, jika merujuk kepada maksud berkemampuan (isti’toah) itu sendiri juga, seseorang yang ingin mengerjakan haji perlu mengadakan perbelanjaan bagi dirinya dan orang yang ditanggungnya. Oleh itu, dalam isu ini ia tidak dikira berdosa/ melengah-lengahkan ibadat haji, kerana penangguhan tersebut bagi membantu ahli keluarga yang susah. Kami juga sarankan, pada masa yang akan datang, sekiranya saudara mempunyai rezeki lebih, maka laksanakan ibadat haji meskipun sekali.
Sesungguhnya, perbuatan saudara memberi pinjam kepada kaum keluarga dan rakan taulan adalah perbuatan yang terpuji. Saya pasti saudara akan ditolong oleh Allah SWT atas kebaikan saudara. Benarlah sabda Nabi SAW:
وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ
Maksudnya: Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya.
Riwayat Muslim (2699), Abu Dawud (4946), al-Tirmizi (1425), Ibn Majah (225) dan Ahmad (7427)
Akhirnya, dengan penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H