#2175: Hukum Sembelihan Binatang Dengan Cara Stunning

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada mendengar sebahagian negara yang kita import daging darinya menggunakan sembelihan secara stunning. Boleh terangkan kepada kami caranya dan hukum penyembelihan tersebut?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami definisikan terlebih dahulu proses stunning tersebut. 

Undang-undang Kesatuan Eropah semasa menyatakan bahawa semua haiwan yang diternak untuk proses pengeluaran makanan mesti melalui proses stunning (kejutan menggunakan elektrik, gas, atau pistol setrum) sebelum dibunuh atau disembelih.

Persekutuan Doktor Veterinar Eropah mengambil pendirian pada tahun 2002 bahawa “amalan menyembelih haiwan tanpa proses stunning sebelum ini tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan”, dan isu ini menjadi semakin penting bagi pejuang kebajikan haiwan, dan untuk ahli politik. Tetapi beberapa pengecualian boleh dilakukan untuk pengamalan agama tertentu.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِآيَاتِهِ مُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Maka makanlah daripada (sembelihan haiwan-haiwan halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.” 

Surah al-An’am (118)

Penyembelihan yang berpandukan syariat hendaklah mematuhi syarat-syarat berikut:

  • Haiwan itu adalah halal dimakan
  • Haiwan itu dipotong lehernya dengan alat yang tajam
  • Terputus urat halkum (salur pernafasan) dan urat mari’ (salur makanan)
  • Orang yang menyembelih itu Islam atau ahli kitab, dan dia tidak menyebut selain daripada nama Allah SWT

Kami nyatakan di sini beberapa jenis kaedah stunning.

  • Pertama adalah kaedah stunning mekanikal atau nama lainnya Pneumatic Percussive Stunning. Ia boleh didefinisikan sebagai satu kaedah yang menggunakan alat berbentuk seperti cendawan untuk memengsankan haiwan sembelihan. Antara syarat kaedah ini diterima dalam Islam ialah memastikan alat yang digunakan tidak memecahkan tengkorak haiwan, hanya sekadar menyebabkan haiwan pengsan sahaja.
  • Kaedah kedua ialah stunning elektrik adalah satu kaedah yang menggunakan arus elektrik perlahan kepada haiwan sebelum di sembelih. Kaedah ini akan menyebabkan haiwan yang terkena kejutan elektrik ini menjadi lali dan pengsan seketika. Kadar arus elektrik adalah sentiasa dalam kawalan dan peratusan yang telah di tetapkan.
  • Kaedah ketiga ialah stunning angin menggunakan kuasa angin untuk menjadikan haiwan sembelihan pengsan seketika. Hendaklah dipastikan tekanan angin yang dikenakan kepada haiwan tidak menyebabkan kematian, hanya menyebabkan pengsan sahaja.
  • Keempat ialah Pelalian Water Stunner. Kaedah ini menggunakan air untuk membantu proses penyembelihan. Air berfungsi untuk melemahkan kondisi binatang sebelum ia melalui proses sembelihan. Antara contoh binatang yang biasa melalui proses ini ialah ayam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa:

  1. Kaedah stunning jenis Penetrative Captive Bolt dan Non Penetrative Captive Bolt (Mushroom Head Gun) adalah haram dan tidak dibenarkan kerana ia boleh menyebabkan kematian haiwan.
  2. Hanya kaedah Kejutan Elektrik (Electrical Stunning) sahaja dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut: 
  3. Stunner yang digunakan adalah jenis kejutan di kepala sahaja (head only stunner
  4. Kekuatan arus elektrik hendaklah dikawal (tidak boleh melebihi had yang ditetapkan) iaitu antara 0.75 empere untuk kambing, 2.0 ampere untuk lembu dan tempoh masa aliran elektrik ialah antara 3-6 saat; dan 
  5. Perlu dikawalselia oleh petugas muslim yang bertauliah.
  6. Kaedah Waterbath Stunning untuk ayam dan itik (poultry) adalah diharuskan dengan syarat:
  7. Kekuatan arus elektrik adalah dikawal supaya tidak mematikan haiwan; dan
  8. Perlu dikawalselia oleh petugas muslim yang bertauliah.
  9. Penggunaan dadah dan karbon dioksida dalam prosedur sembelihan adalah diharuskan dengan syarat tidak menyeksa atau mematikan haiwan tersebut.

Syor dan Cadangan

Memandangkan penggunaan stunning dalam keempat-empat kaedah adalah berlawanan dengan sifat sembelihan dalam Islam, makanya saya mengesyorkan beberapa perkara bagi penambahbaikan:

  • Kaji dan selidik berkenaan dengan jenis yang pertama iaitu stunning mekanikal terutamanya isu apakah tengkorak tidak retak, pecah atau berlaku pendarahan otak. Ini kerana, hentakan yang kuat boleh mencederakan dari segi dalaman otaknya. Apakah terdapat kemungkinan jika distunning dengan cara ini kemudian tidak disembelih lembu atau haiwan tersebut boleh mati dalam tempoh beberapa ketika? Dapatan daripada x-ray atau imbasan pada otak seperti MRI dapat melihat dengan jelas kesannya. Jika sekiranya cara ini boleh menyebabkan kecederaan parah pada otak, maka sudah tentu binatang seperti ini mengalami dua kali sakit. Pertama, sakit stunning dan kedua sakit sembelihan. Persoalannya, di mana ihsan dan rahmah yang disebut dalam hadith yang masyhur ketika sembelih?
  • Secara peribadi, saya lebih setuju dengan tiga jenis yang lain, kerana risikonya jauh lebih ringan berbanding yang pertama. 
  • Ketiga, perlunya penyembelih yang ramai yang profesional dari kalangan Muslim agar dapat menghilangkan sebarang bentuk keraguan.
  • Keempat, kaedah SYCUT yang membabitkan kamera pengesan ringkas akan berjaya memantau setiap tahap proses yang berlaku dalam rumah penyembelihan. Dan yang lebih unik lagi ialah sistem ini boleh diakses online kerana segala pemantauan adalah bersambung terus kepada akses internet dan sistem data. Menurut laporan ketua Penyelidik SYCUT UTM Profesor Datin Dr Rubiah Yusof berkata, projek SYCUT ini adalah hasil titik peluh lapan orang penyelidik daripada Pusat Kecemerlangan CAIRO UTM. Projek yang mengambil masa dua tahun untuk dibangunkan ini mampu menjimatkan masa pemantauan proses penyembelihan dalam jangka masa yang berlipat kali ganda singkat. Dengan penghasilan teknologi ini ia mampu meningkatkan imej produk halal dan menjadi perintis kepada pemantauan produk halal di dunia. (Lihat artikel Teknologi Penyembelihan untuk Industri Halal di Malaysia oleh Muhammad Fathi Yusof, Siti Norlina Muhamad, Muizzah Azmi, dan Nur Fadhilah Mat Hanip)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan agar berbuat baik terhadap segala sesuatu. Jika kalian hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang terbaik. Jika kalian hendak menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kalian menajamkan pisaunya dan mengistirahatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Maksud “فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ” (mengistirahatkan sembelihannya) sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi adalah, antaranya: 

  • Menajamkan pisau sehingga haiwan cepat untuk disembelih.
  • Tidak boleh menyembelih haiwan, kemudian ditonton oleh haiwan yang lain.
  • Tidak boleh melewat-lewatkan haiwan yang akan disembelih di tempat penyembelihan. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 13/98)

Saya katakan sudah sampai masanya pihak bertanggungjawab yang diberi autoriti halal untuk membangunkan teknologi yang benar-benar mematuhi syariat. Persaingan di dunia sekarang ini berasaskan kepada kepantasan, profesional, bersih, suci, efisien, dan high integrity. Semuanya itu, diajar dalam agama Islam.

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *