Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan dan harap ustaz dapat membantu. Arwah ayah saya ada meninggalkan 10 ekar ladang sawit, adakah anaknya seramai 4 orang berhak ke atas hasil sawit berikut? Sebab sekarang hasil sawit itu ibu saya yang terima sepenuhnya. Mohon penjelasan ustaz. Terima kasih. Harap ustaz sihat sentiasa.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”                

(Surah al-Nisa’: 7)

Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/284-286), antara lain menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.

Kami katakan apabila berlaku kematian, maka hendaklah harta pusaka dibahagikan selepas selesai segala urusan hutang si mati, wasiat dan lain-lain. Itulah yang terbaik dan sepatutnya. 

Berkenaan dengan tanah 10 ekar ladang sawit yang itu perlu dirunding dahulu dengan ibu. Terutamanya, ibu mengetahui duduk perkara sebenar status tanah 10 ekar itu. Boleh jadi bapa anda memberi kepada ibu anda dan mengharapkan ia dapat membantu ibu anda ketika ketiadaannya. 

Keduanya, anda juga perlu mengetahui dapatan 10 ekar ladang sawit tersebut berlaku semasa kedua-duanya dalam perkahwinan yang mungkin jatuh bangun kehidupan dirasai bersama. Justeru, harta tersebut sebelum dibahagi pusaka perlulah juga dilihat dari sudut harta sepencarian di mana ibu anda berhak sebahagian daripada harta tersebut sebelum difaraidkannya. 

Ketiga, suka saya nyatakan jika adik-beradik boleh memberi hak masing-masing kepada ibu sementara dia hidup untuk keselesaan dalam kehidupannya maka, itu adalah langkah yang terbaik dan teramsuk dalam birrul walidain

Mutakhir ini, ramai orang mengabaikan hak ibu masing-masing dek kerana kesibukan dengan tugasan masing-masing. Hal ini sudah tentu menyukarkan bagi si ibu untuk menanggung nafkahnya dan memohon bantuan daripada anak-anaknya. Kita perlu ingat bahawa apabila ayah meninggal dunia, tanggungjawab menajga ibu kembali kepada anak-anaknya sama ada nafkah dan pelbagai tuntutan kehidupan yang lain. Justeru, bawa bincanglah dengan adik-beradik dan berbaktilah kepada ibu anda selagi hayat dikandung badan, kerana ini peluang untuk meraih pahala dengan sebanyak-banyaknya.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: ““Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Surah al-Isra’ (24)

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply