Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada pertanyaan berkaitan hukum keadaan ini. Seorang makcik menjalankan perniagaan dan tiba satu ketika perniagaannya rugi dan memerlukan dana tambahan. Makcik ini meminta pertolongan anak saudaranya untuk mendapatkan dana sebanyak RM10K. Anak saudara menggunakan wang daripada Tabung Hajinya.
Dan oleh kerana anak saudara perlu mengeluarkan wang di dalam Tabung Haji dan tidak mendapat dividen, makcik ini mempelawa untuk memberi imbuhan sebanyak RM250 atau RM300 sebagai ganti dividen tabung haji yang tidak diperolehi oleh anak saudara. Selepas 3 tahun, makcik ini membayar semula semua RM10K kepada anak saudara.
Soalan saya, adakah wang imbuhan itu dikira riba atau dividen?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
Surah al-Maidah (2)
Dalam menjawab persoalan saudara, kami berpendapat ia tidak termasuk dalam kategori riba jika tiada padanya akad lebih atau syarat yang telah ditetapkan seperti 10 ribu yang saya bagi pnjam ini hendaklah anda ganti secara tetap RM250/RM300 setahun kerana benefit yang kami dapati ketika menyimpan dalam Tabung haji. Kalau ada seperti ini hukumnya riba kerana membayar lebih daripada yang sebenarnya yang dikenali sebagai riba fadhl.
Amalan melebihkan jumlah bayaran hutang ketika membayar hutang adalah suatu amalan mulia dan ditunjukkan sendiri oleh Baginda Nabi SAW. Ini dapat dilihat daripada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Ibn Abdullah R.Anhuma:
كَانَ لِي عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم دَيْنٌ فَقَضَانِي وَزَادَنِي
Maksudnya: “Baginda SAW berhutang kepadaku, lala Baginda membayarnya dan melebihkan bayaran kepadaku.”
Riwayat Bukhari (443) dan Muslim (715)
Imam al-Nawawi menyebut adalah disunatkan kepada penghutang untuk melebihkan nilai bayaran hutang semasa melangsaikan hutang tersebut. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/228)
Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Rafie’ R.A, Nabi SAW bersabda:
فَإِنَّ مِنْ خِيَارِ النَّاسِ أَحْسَنَهُمْ قَضَاءً
Maksudnya: “Manusia yang terbaik ialah manusia yang terbaik membayar hutangnya.”
Riwayat al-Bukhari (2392) Muslim (1600) dan Abu Daud (3345)
Justeru, saya katakan cara seperti ini juga mengikut sunnah dan digalakkan dan ia dibolehkan sebagai mana yang telah kami nyatakan. Semoga hubungan kekeluargaan saudara makin akrab.
Kami akhiri dengan doa
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Surah al-Baqarah (201)
Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H