Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya inginkan penjelasan berkaitan dengan pembelian rumah yang dilelong oleh pihak bank yang mana harganya lebih murah dan bidaan harga akan dilakukan sekiranya terdapat lebih daripada seorang yang berminat untuk membeli rumah tersebut. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut Kamus Dewan Bahasa, lelong didefinisikan sebagai penjualan di hadapan khalayak ramai dengan harga beratas-atasan oleh pembeli-pembelinya.
Majlis Penasihat Syariah (MPS), dalam mesyuarat ke-10 pada 16–17 Oktober 1997, membincangkan kaedah bai` muzayadah dan telah memutuskan bahawa kaedah ini diharuskan menurut perspektif perundangan Islam. Dengan keputusan tersebut, kaedah ini boleh dijadikan sebagai satu rujukan untuk membentuk sesuatu instrumen dalam pasaran modal Islam di Malaysia. (Lihat Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, hlm. 32)
Kami nukilkan berkenaan dengan jual beli secara lelong atau Bai’ Muzayadah sebagaimana yang disebut dalam Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (hlm. 32-34) :
Bai` muzayadah merupakan tindakan penjual menawarkan barangan jualan di pasaran, kemudian diikuti permintaan beberapa orang pembeli yang berlumba-lumba menawarkan bayaran lebih tinggi. Proses ini berakhir dengan penjual menjual barangan tersebut kepada sesiapa yang menawarkan harga tertinggi. Dalam erti kata lain, jual beli ini adalah sama dengan jual beli secara lelong. Nama-nama lain bagi kaedah ini yang telah digunakan oleh fuqaha silam ialah bai` fuqara’, bai` man kasadat bidha`atuhu, bai` mahawij dan bai` mafalis. (Lihat Mu`jam al-Mustalahat, hlm. 245–246)
Konsep bai` muzayadah adalah relevan dalam banyak isu pasaran modal Islam, khususnya yang berkaitan dengan tindakan peserta pasaran mengambil keuntungan hasil daripada perbezaan harga. Ia juga menjadi hujah untuk mengharuskan spekulasi, selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Syariah.
Bai` muzayadah ialah bentuk jual beli yang telah wujud dan digunakan dalam sistem muamalat sejak sekian lama. Konsep jual beli ini menjadi topik perbahasan fuqaha silam dalam menentukan statusnya. Justeru, dalam menilai status jual beli ini dari sudut Syariah, pandangan fuqaha silam telah dikaji.
Terdapat nas berkenaan amalan mengharuskan bai` muzayadah, antaranya sebagaimana Imam al-Bukhari yang telah meletakkan satu topik khusus dengan tajuk بَابُ بَيْعِ المُزَايَدَةِ (Jual Beli Secara Lelongan/Bidaan) dan telah meriwayatkan pandangan `Ata’, katanya:
أَدْرَكْتُ النَّاسَ لَا يَرَوْنَ بَأْسًا بِبَيْعِ الْمَغَانِمِ فِيمَنْ يَزِيدُ
Maksudnya: Aku mendapati bahawa orang ramai berpandangan tidak mengapa menjual rampasan perang kepada orang yang dapat membayarnya dengan harga lebih.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/753)
Imam al-Bukhari kemudiannya meriwayat hadith daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma:
أَنَّ رَجُلًا أَعْتَقَ غُلاَمًا لَهُ عَنْ دُبُرٍ، فَاحْتَاجَ، فَأَخَذَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَنْ يَشْتَرِيهِ مِنِّي». فَاشْتَرَاهُ نُعَيْمُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بِكَذَا وَكَذَا فَدَفَعَهُ إِلَيْهِ.
Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki membebaskan seorang hamba miliknya (dengan syarat) setelah dia meninggal dunia. Kemudian dia memerlukan wang, Nabi SAW mengambil hamba itu lalu bersabda: “Siapakah yang mahu membelinya (hamba ini) daripadaku?” Nu‘aim bin Abdullah membelinya dengan harga sekian dan sekian, Nabi SAW menyerahkan hamba itu kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (2141)
Selain itu, diriwayatkan daripada Anas R.A:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَاعَ حِلْسًا وَقَدَحًا، وَقَالَ: مَنْ يَشْتَرِي هَذَا الْحِلْسَ وَالْقَدَحَ»؟ فَقَالَ رَجُلٌ: أَخَذْتُهُمَا بِدِرْهَمٍ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ؟ مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ؟ فَأَعْطَاهُ رَجُلٌ دِرْهَمَيْنِ، فَبَاعَهُمَا مِنْهُ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW menjual hamparan dan bekas air dengan bertanya: “Siapakah yang mahu membeli hamparan dan bekas air ini?” Seseorang berkata: “Saya ingin membeli keduanya dengan harga satu dirham.” Nabi SAW bertanya lagi: Siapakah yang mahu menambah lebih daripada satu dirham?” Lalu seorang lelaku menyerahkan dua dirham kepada Rasulullah dan baginda pun menjual kedua benda itu kepadanya.
Riwayat al-Tirmizi (1218) dan al-Nasaie (4518)
Imam al-Tirmizi berkata selepasa meriwayatkan hadith ini: Hadith ini adalah hadith hasan, kami tidak mengetahui hadith ini kecuali daripada hadithal-Akhdar bin ‘Ajlan. Dan Abdullah Al-Hanafi, yang meriwayatkannya daripada Anas, adalah Abu Bakr Al-Hanafi. Pendapat ini diamalkan oleh sebahagian ulama’, mereka tidak melihat masalah dengan jualan bagi orang yang mengambil keuntungan dalam rampasan perang (al-Ghanaim) dan harta warisan (al-Mawarith). (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/504)
Terdapat dua pandangan fuqaha dalam menentukan hukum bai` muzayadah. Sebahagian besar fuqaha silam berpandangan, ia diharuskan oleh syariah manakala sebilangan kecil pula tidak mengharuskannya. Sebab utama perbezaan pendapat tersebut ialah interpretasi terhadap hadith Nabi SAW yang melarang membuat tawaran pembelian atas pembelian orang lain (سَوْم عَلَى سَوْمِ أَخِيهِ – saum `ala saum akhihi). (Lihat Bidayah al-Mujtahid, 2/270–271).
Berikut merupakan pendapat berkenaan dengan bai` muzayadah:
- Al-Kasani, salah seorang fuqaha Mazhab Hanafi, telah menyebut bahawa bai` muzayadah tidaklah ditegah kerana Nabi SAW. sendiri mempraktikkannya. (Lihat Bada’i` al-Sana’i`, 5/232).
- Ibnu Humam, juga salah seorang fuqaha Mazhab Hanafi, mengharuskan kaedah jual beli tersebut dengan alasan yang sama. (Lihat Takmilah Fath al-Qadir, 6/479)
- Ibnu Juzay, salah seorang fuqaha Mazhab Maliki, mengharuskan kaedah ini kerana ia berbeza dengan jual beli saum ‘ala saum akhihi yang ditegah, dan tidak wujud unsur tidak adil dalam memilih barangan. (Lihat al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlm. 175)
- Ibnu Qudamah, salah seorang fuqaha Mazhab Hanbali, telah menyebut bai` muzayadah diharuskan secara ijma bersandarkan kepada amalan Nabi SAW. (Lihat al-Mughni, 4/302.)
Selain itu, keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami pada sidangnya yang kedelapan di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam dari 1-7 Muharram 1414 H bersamaan 21-27 Jun 1993, telah memutuskan:
- Akad Muzayadah ialah akad jual beli yang bergantung pada undangan atau penulisan bagi mereka yang ingin menyertai lelongan dan dilakukan dengan persetujuan penjual.
- Akad Muzayadah terbahagi kepada beberapa jenis bergantung kepada tujuannya, seperti penjualan dan sewa, dan tergantung pada sifatnya, dan bersifat pilihan seperti lelongan biasa antara individu, atau wajib seperti lelongan yang diwajibkan oleh pengadilan, dan diperlukan secara umum dan khusus, serta lembaga pemerintah dan individu.
- Prosedur yang digunakan dalam perjanjian lelongan, baik secara tertulis, penetapan, dan aturan pihak pengurusan atau undang-undang, tidak boleh bertentangan dengan ketentuan syariat Islam.
- Permintaan jaminan daripada mereka yang ingin menyertai dalam lelongan adalah sah secara syarak, dan setiap peserta yang tidak memenangkan tawaran harus mengembalikan jaminan kepadanya, dan jaminan kewangan dikira dari harga kepada pemenang transaksi.
- Tidak ada masalah dalam syarak dalam mengutip kos pendaftaran – iaitu nilai buku persyaratan, dengan batas yang tidak melebihi nilai sebenarnya – kerana ia dianggap sebagai harga.
- Penipuan adalah haram, dan beberapa bentuk penipuan antara lain:
- Menaikkan harga barang bagi mereka yang tidak berniat membelinya untuk menggoda pembeli dengan kenaikan harga.
- Berpura-pura menyukai barang dan mengaku memiliki pengetahuan tentangnya bagi mereka yang tidak berniat membeli, lalu memuji barang tersebut untuk mendorong pembeli menaikkan harganya.
- Pemilik barang, atau agen, membuat dakwaan palsu bahawa harga tertentu telah dibayarkan atas barang tersebut untuk menipu para penawar.
- Dalam bentuk moden penipuan, penggunaan media pendengaran, visual, dan tulisan yang mencantumkan deskripsi yang tinggi yang tidak mewakili kenyataan atau menaikkan harga untuk menggoda pembeli dan mempengaruhinya untuk melakukan transaksi.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa jual beli secara lelongan adalah diharuskan sebagaimana perbahasan di atas.
Namun begitu, isu lelongan rumah ini perlu diteliti dengan baik, kerana kadang-kadang ia boleh menyebabkan kerugian kepada pemilik rumah sehingga menyebabkan mereka terpaksa lari dan hilang tempat tinggal. Hal ini kerana rumah yang bakal dilelong oleh bank memberikan beberapa kesan yang buruk, antaranya:
- Pemilik rumah tidak dapat mengawal harga rumahnya kerana ia dikawal sepenuhnya oleh bank dan boleh jadi harga lelongan itu dibawah pasaran sebenar.
- Berkemungkinan harga bidaan rumah itu tidak tinggi dan menyebabkan pemilik rumah akan rugi.
- Kos sampingan untuk lelong rumah juga tinggi seperti kos guaman dan seumpamanya.
- Harga rumah yang dilelong itu turun dengan banyak sekiranya harga lelongan tidak mendapat sambutan.
- Pemilik rumah ada kemungkinan untuk diisytihar muflis, sekiranya rumah itu dijual dengan harga yang rendah yang tidak cukup untuk menampung hutang pemilik rumah.
Justeru, dalam hal ini, kami mencadangkan supaya pihak yang terlibat boleh merujuk dan mendapatkan nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menyelesaikan isu hutang rumah ini supaya rumahnya tidak dilelong. AKPK ini ialah sebuah agensi di bawah Bank Negara Malaysia bagi membantu individu mengendalikan situasi kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak. Aktiviti utama agensi ini ialah: Pendidikan Kewangan, Kaunseling Kewangan dan Program Pengurusan Kredit.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H