Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri, boleh ceritakan berkenaan kisah kaum Thamud? Apakah azab yang ditimpa ke atas mereka?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَٰكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ ‎﴿١١١﴾‏

Maksudnya : Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.

(Surah Yusuf : 111 )

Kisah Kaum Thamud

Firman Allah SWT  yang menceritakan tentang kisah kaum Thamud :

كَذَّبَتْ ثَمُودُ الْمُرْسَلِينَ ‎﴿١٤١﴾‏ إِذْ قَالَ لَهُمْ أَخُوهُمْ صَالِحٌ أَلَا تَتَّقُونَ ‎﴿١٤٢﴾‏ إِنِّي لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ ‎﴿١٤٣﴾‏ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ ‎﴿١٤٤﴾‏ وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۖ إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ ‎﴿١٤٥﴾‏ أَتُتْرَكُونَ فِي مَا هَاهُنَا آمِنِينَ ‎﴿١٤٦﴾‏ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ ‎﴿١٤٧﴾‏ وَزُرُوعٍ وَنَخْلٍ طَلْعُهَا هَضِيمٌ ‎﴿١٤٨﴾‏ وَتَنْحِتُونَ مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا فَارِهِينَ ‎﴿١٤٩﴾‏ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ ‎﴿١٥٠﴾‏ وَلَا تُطِيعُوا أَمْرَ الْمُسْرِفِينَ ‎﴿١٥١﴾الَّذِينَ يُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ ‎﴿١٥٢﴾‏ قَالُوا إِنَّمَا أَنتَ مِنَ الْمُسَحَّرِينَ ‎﴿١٥٣﴾‏ مَا أَنتَ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُنَا فَأْتِ بِآيَةٍ إِن كُنتَ مِنَ الصَّادِقِينَ ‎﴿١٥٤﴾‏ قَالَ هَٰذِهِ نَاقَةٌ لَّهَا شِرْبٌ وَلَكُمْ شِرْبُ يَوْمٍ مَّعْلُومٍ ‎﴿١٥٥﴾‏ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابُ يَوْمٍ عَظِيمٍ ‎﴿١٥٦﴾‏ فَعَقَرُوهَا فَأَصْبَحُوا نَادِمِينَ ‎﴿١٥٧﴾‏ فَأَخَذَهُمُ الْعَذَابُ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً ۖ وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ ‎﴿١٥٨﴾‏ وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ ‎﴿١٥٩﴾

Maksudnya(Demikian juga) kaum Thamud telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka), Ketika saudara mereka – Nabi Soleh, berkata kepada mereka: “Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.  “Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu. “Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku. “Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam. “Adakah (kamu fikir), bahawa kamu akan dibiarkan sentiasa bersenang-senang dalam nikmat-nikmat yang ada di dunia ini? –  “Di dalam taman-taman (yang indah permai), dan matair-matair (yang mengalir), “Dan kebun-kebun tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang buah mayangnya halus lembut?  “Dan kamu memahat sebahagian dari gunung-ganang sebagai tempat tinggal – dengan bijak dan bersungguh-sungguh?  “Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku; “Dan janganlah kamu taati perintah orang-orang yang melampaui batas, – “Iaitu orang-orang yang melakukan kerosakan di bumi dan tidak membuat kebaikan”. Mereka menjawab: “Sesungguhnya engkau ini hanyalah salah seorang dari golongan yang kena sihir!  “Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau dari orang-orang yang benar”. Nabi Soleh berkata: “Ini adalah seekor unta betina, (di antara cara-cara hidupnya ialah) air kamu hendaklah menjadi bahagian minumnya sehari, dan bahagian kamu sehari, menurut giliran yang tertentu.  “Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (jika kamu menyakitinya) maka akibatnya kamu akan dibinasakan oleh azab seksa hari yang besar (huru-haranya)”. Akhirnya mereka menikam mati unta itu, kemudian mereka menyesal (setelah melihat kedatangan bala bencana). Lalu mereka ditimpa azab yang membinasakan. Sesungguhnya peristiwa yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.  Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. 

(Surah al-Syuara’ : 141-159)

Allah SWT telah mengutuskan Nabi Soleh AS untuk berdakwah kepada kaum Baginda iaitu Thamud. Mereka merupakan kaum berbangsa Arab yang mendiami suatu kawasan kota al-Hijr, yang terletak di antara Makkah dan tanah Syam. Mereka hidup selepas zaman Nabi Hud AS dan sebelum zaman Nabi Ibrahim AS. (Lihat Tafsir Ibn Kathir,  6/155.)

Orang-orang Quraisy Makkah mengetahui kawasan yang menjadi tempat tinggal Kaum Thamud ini kerana mereka dapat melihat kesan-kesannya semasa perjalanan perniagaan mereka ke tanah Syam pada setiap musim panas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 19/90).

Di dalam ayat 141-159 Surah al-Syu‘ara’ ini, Allah SWT menerangkan bahawa Kaum Thamud telah mendustakan dakwah rasul yang diutuskan kepada mereka iaitu Nabi Soleh AS. Ungkapan dialog pada permulaan kisah Nabi Soleh AS ini di dalam ayat 142-145 adalah sebagaimana ungkapan dialog bagi kisah Nabi Nuh AS dan Nabi Hud AS yang diceritakan sebelum ini. Ia merupakan suatu penegasan terhadap kesatuan risalah yang dibawa oleh para Nabi dan persamaan watak setiap kaum yang mendustakan risalah tersebut.

Kelebihan, Kekakayaan Dan  Kemahiran Kaum Thamud

Thamud merupakan kaum yang telah dilimpahkan oleh Allah SWT dengan kekayaan dan kemakmuran pelbagai nikmat dunia. Mereka dikurniakan tanah ladang yang subur serta mengeluarkan sumber air. Ia memberikan hasil buah-buahan dan makanan yang melimpah ruah dan berkualiti. Mereka juga dikurniakan penguasaan kejuruteraan dan teknologi untuk memahat gunung untuk dijadikan sebagai rumah. Bahkan mereka turut memakmurkan kota mereka dengan membina istana-istana di kawasan tanah yang rata, sebagaimana yang dijelaskan Allah SWT di dalam firman-Nya :

وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَ مِن بَعْدِ عَادٍ وَبَوَّأَكُمْ فِي الْأَرْضِ تَتَّخِذُونَ مِن سُهُولِهَا قُصُورًا وَتَنْحِتُونَ الْجِبَالَ بُيُوتًا ۖ فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ ‎﴿٧٤﴾‏

Maksudnya : Dan ingatlah wahai kaum! Ketika Tuhan menjadikan kamu khalifah-khalifah setelah kaum `Ad dan menempatkan kamu di bumi. Di tempat yang datar kamu dirikan istana-istana dan di bukit-bukit kamu pahat menjadi rumah. Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu sewenang-wenangnya membuat kerosakan di muka bumi.

(Surah al-A’raf: 74)

Allah SWT menyatakan bahawa Nabi Soleh A.S menyampaikan nasihat kepada kaumnya dan meminta mereka supaya mengingati nikmat-nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Mereka telah dijadikan sebagai pengganti kepada kaum ‘Ad yang telah binasa dan mereka telah diberikan pelbagai kemudahan di bumi. Mereka dimudahkan untuk membina istana di tanah yang rata dan memahat rumah di kawasan pergunungan. Nabi Soleh A.S menasihati kaumnya supaya mengingati nikmat Allah dan tidak melakukan kerosakan dan dosa di bumi. (Lihat Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran, 12/541; al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/239)

Kelazatan nikmat kemewahan ini menjadikan mereka hidup aman tenteram sehingga mereka menjadi kufur dan menyangka bahawa kemewahan hidup mereka akan kekal bagi mereka dan hari pembalasan tidak mungkin akan berlaku. Lantas Nabi Soleh AS menempelak sikap mereka dan menyedarkan kelalaian mereka sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya: “Adakah kamu menyangka akan dibiarkan tinggal di dunia ini selama-lamanya dengan aman?” (Surah al-Syu‘ara’: 146)

Meskipun Kaum Thamud dikurniakan ilmu dan kepakaran dalam mengukir dan memahat bukit dan gunung untuk dijadikan kediaman, namun Baginda turut mengecam perbuatan tersebut yang dilakukan dengan tujuan dengan menunjukkan kesombongan dan keangkuhan mereka.

Pembesar Kaum Thamud

Nabi Soleh AS juga turut memberi peringatan kepada kaumnya supaya mereka tidak tunduk patuh kepada orang-orang yang melampau di kalangan pemimpin dan pembesar yang sering mempersona dan sentiasa mengajak kepada penyembahan berhala, kemaksiatan, kejahatan dan kemewahan melampau sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya: “Dan janganlah kamu semua taat terhadap perintah golongan pelampau. Iaitu golongan yang hanya melakukan kerosakan di bumi dan tidak pernah melakukan kebaikan.” (Surah al-Syu‘ara’: 151-152)

Allah SWT menjelaskan bahawa pemimpin dan pembesar Thamud tersebut ialah seramai sembilan orang dan mereka sentiasa dahaga melakukan kejahatan dan tidak melakukan sebarang kebaikan walau sekelumit pun. Ia sebagaimana yang disebut di dalam firman-Nya:

وَكَانَ فِي الْمَدِينَةِ تِسْعَةُ رَهْطٍ يُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ ‎﴿٤٨﴾

Maksudnya : Di bandar itu terdapat sembilan orang lelaki yang terang-terangan melakukan kerosakan di muka bumi dan mereka langsung tidak melakukan kebaikan.

(Surah al-Naml: 48)

Namun peringatan dan seruan dakwah Nabi Soleh AS tidak diterima oleh kaum Baginda dan mereka menolaknya dengan memberikan  alasan iaitu:

Mereka menuduh Nabi Soleh AS sebagai orang gila yang terkena sihir yang tidak perlu didengar pendapat dan nasihatnya.

Mereka menyangkal status kenabian Nabi Soleh AS dengan menyatakan bahawa Baginda hanyalah manusia biasa seperti mereka yang tidak mungkin menerima sebarang wahyu dan menjadi nabi yang diutuskan.

Ini sebagaimana yang telah diceritakan dalam surah al-‘Araf :

لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ ‎﴿٥٩﴾‏ قَالَ الْمَلَأُ مِن قَوْمِهِ إِنَّا لَنَرَاكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ‎﴿٦٠﴾ قَالَ يَا قَوْمِ لَيْسَ بِي ضَلَالَةٌ وَلَٰكِنِّي رَسُولٌ مِّن رَّبِّ الْعَالَمِينَ ‎﴿٦١﴾‏

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)”  Ketua-ketua dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampakmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.  Nabi Nuh menjawab: “Wahai KaumKu! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam. 

(Surah al-A’raf 59-61)

Unta Sebagai Bukti Mukjizat Kenabian Nabi Soleh AS

Lantaran mereka tidak percaya terhadap seruan dakwah tersebut, kaum Thamud mencabar Baginda untuk mendatangkan bukti mukjizat yang menyokong kebenaran wahyu yang dibawa olehnya. Bagi menjawab cabaran mereka, Allah SWT menjadikan bagi Nabi Soleh AS seekor unta betina sebagai mukjizat yang menjadi bukti kebenaran risalah Baginda.

Ibnu Kathir menyatakan : Nabi Soleh diberikan mukjizat unta yang luar biasa seperti diminta oleh kaumnya sebagai bukti kerasulan Baginda . Nabi Soleh AS mengingatkan mereka supaya membiarkan unta itu dan tidak mengganggu keselamatannya. Jika mereka enggan mematuhi larangan tersebut ,mereka akan ditimpa azab (Lihat Tafsir Quran al-‘Azim 3/440)

Nabi Soleh AS telah menetapkan kepada kaumnya dua perkara berkaitan unta betina tersebut iaitu:

Penggiliran dalam menggunakan sumber air mereka, iaitu unta tersebut mempunyai giliran sehari untuk mendapatkan air minuman dan mereka pula mempunyai giliran pada hari yang berikutnya untuk menggunakannya. Solah al-Khalidi menjelaskan bahawa bukti kemukjizatan unta betina ini ialah ia mampu untuk minum dan menghabiskan keseluruhan air yang menjadi sumber kepada kaum Thamud dalam satu hari dan ia tidak berbaki untuk kaum Thamud dan ternakan mereka. (Lihat Al-Qasas al-Qur`ani, 1/279-280.)

Azab Yang Menimpa Kaum Thamud

Larangan menyakiti dan membunuh unta tersebut dan ancaman azab Allah SWT akan menimpa mereka sekiranya mereka menyakiti dan membunuhnya. (Lihat Tafsir al-Razi, 24/525).

Namun selepas beberapa ketika, golongan yang sentiasa melakukan kejahatan dan tidak melakukan sebarang kebaikan daripada kaum Thamud mengingkari dan melanggar syarat tersebut dengan bertindak biadab merancang untuk membunuh unta itu. Mereka menghantar seorang yang paling jahat di kalangan mereka lalu dia melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh Nabi Soleh AS. Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya :

إِذِ انبَعَثَ أَشْقَاهَا 

Maksudnya : Ketika mana orang yang paling celaka dalam kalangan kaum itu dihantar untuk membunuh unta.

(Surah al-Shams: 12)

Meskipun pembunuhan unta betina tersebut dilakukan hanya salah seorang daripada mereka, namun di dalam ayat 157 surah ini, Allah SWT menisbahkan pembunuhan tersebut kepada mereka semua kerana mereka bersekongkol dan redha dengan pembunuhan itu. ( Lihat Al-Qasas al-Qur`ani, 1/287).

Lalu mereka menyesal kerana mereka mengetahui bahawa azab Allah SWT akan menimpa mereka dengan segera kerana perbuatan tersebut. Mereka ditimpa azab gempa bumi yang dahsyat dan disambar petir yang menghancurkan mereka semua sehingga kota tempat tinggal mereka hancur seolah-olah ia tidak pernah didiami sesiapa pun.

Nabi Soleh AS meninggalkan kaumnya dengan arahan Allah. Sebelum Baginda telah berusaha sedaya upaya memberi nasihat dan peringatan, namun mereka tetap menolak usaha dakwah Baginda. Nabi Soleh AS telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna, Baginda telah menyampaikan agama Allah kepada mereka, namun mereka enggan untuk menerimanaya. Nabi Soleh AS telah menunaikan arahan Allah SWT dan nasihat kepada kaumnya namun mereka tidak suka orang yang memberi nasihat. (Lihat al-Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.295)

Ternyata kekayaan serta kesombongan mereka tidak mampu menghalang azab tersebut. Sesungguhnya pada kisah keangkuhan, kebebalan serta kebiadaban kaum Thamud terhadap Nabi Soleh AS terdapat bukti pengajaran yang amat besar, namun ramai manusia yang masih ingkar dan tidak beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya. (Lihat Tafsir al Bayan, hlm.751-753)

Justeru, para rasul sentiasa berusaha untuk menyampaikan dakwah dan nasihat kepada manusia, agar mereka beriman dan sedar. Maka, beruntunglah dan berbahagialah mereka yang menerima dakwah Rasulullah SAW.

Semoga dengan kisah-kisah Rasul dan Kaum-kaum terdahulu dapat memberi kita pedoman dan pengajaran dalam meneruskan kehidupan seharian.

Wallahua’lam

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply