Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah terangkan secara ringkas siapakah Haman yang disebut dalam al-Quran? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, Allah SWT menyebutkan perkataan Haman dalam kitab-Nya pada enam tempat. Dua tempat daripadanya jelas menunjukkan bahawa Haman adalah salah seorang pengikut Firaun. Firman Allah SWT:

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَل لِّي صَرْحًا لَّعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَىٰ إِلَٰهِ مُوسَىٰ وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya:Dan Firaun pula berkata: ‘Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta.’

(Surah al-Qasas: 38)

Menurut al-Tabari, keangkuhan Firaun dan kekejian perangainya semakin terserlah apabila dia memerintahkan salah seorang menterinya, Haman untuk membakar tanah liat untuk dijadikan sebagai batu bata, bagi mendirikan sebuah bangunan yang tinggi dan istana yang menjulang. (Lihat Tafsir al-Tabari, 19/581). Perintah tersebut dikeluarkan agar Firaun dapat mencari keberadaan Allah SWT. Namun, pada hakikatnya, dia sebenarnya hanyalah berpura-pura dalam menunjukkan kesungguhan ingin mengetahui hakikat yang sebenar, sedangkan tujuannya adalah untuk mengejek dan mempersenda. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/238; Fi Zilal al-Quran, 5/2694). Maka, Haman pun mengumpulkan para pekerjanya, lalu mereka diperintahkan untuk membuat batu-bata. Seterusnya, kayu-kayu ditegakkan dan paku-paku dipasakkan. Akhirnya, terbinalah bangunan yang sangat tinggi, yang tidak pernah dibina sebelumnya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 13/288).

Begitu juga firman Allah SWT:

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ ابْنِ لِي صَرْحًا لَّعَلِّي أَبْلُغُ الْأَسْبَابَ

Maksudnya:Dan Firaun pula berkata: “Wahai Haman! Binalah untukku sebuah bangunan yang tinggi, semoga aku sampai ke jalan-jalan (yang aku hendak menujunya).”

(Surah Ghafir: 36)

Menurut Ibn Kathir, Firaun mengarahkan Haman, pembesar kerajaan Mesir, untuk membina bangunan yang besar dan tinggi mencakar langit. Firaun mahu membuktikan ia amat berkuasa berbanding Nabi Musa A.S. Menurut pendapat Sa‘id bin Jubair dan Abu Soleh, bangunan itu dibina untuk dinaiki Firaun. Kononnya Firaun mahu merentas pintu-pintu langit untuk melihat Allah SWT. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 40/1642; Tafsir al-Azhar, 24/140). Firaun nekad mahu membuktikan hanya dia yang berkuasa dan tiada tuhan pun di ruang langit. Di samping itu, motif terpenting pembinaan bangunan ini adalah untuk memperolok dan mengingkari seruan tauhid Nabi Musa A.S. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 12/441).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat banyak pendapat ahli tafsir dan para pengkaji mengenai perkataan Haman; adakah ia menunjukkan nama orang tertentu, atau ia merupakan gelaran yang diberikan kepada menteri raja atau timbalannya? Sebahagian mereka berpendapat, Haman adalah gelaran yang diberikan kepada pemangku raja atau menterinya, dan bukannya merujuk kepada nama orang tertentu. Oleh itu, perkataan Haman boleh digunakan untuk mana-mana pemangku Firaun atau raja lain daripada kalangan raja-raja bumi. (Lihat Mausu‘ah Mahasin al-Islam wa Radd Syubuhat al-Li’am, 6/254).

Hal ini juga adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn ‘Asyur dalam tafsirnya, aku berpendapat Haman bukanlah nama khas, tetapi lebih kepada gelaran yang diberikan seperti mana Firaun, Kisra, Qaisar dan Najasyi. Justeru, secara zahirnya Haman adalah gelaran yang diberikan kepada menteri raja Mesir pada zaman tersebut. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 20/72). Bahkan Urkhan Muhammad Ali ada menukilkan daripada Maurice Bucaille, seorang sarjana Muslim Perancis bahawa Batu Mesir Kuno, iaitu Batu Rasyid (Batu Rosetta) yang disimpan di Muzium Hofsburg di Vienna, ibu negara Austria, ada tertulis padanya, “Seseorang yang bernama Haman yang bertanggungjawab untuk pembinaan di Mesir, dan dia termasuk dalam mereka yang dekat dengan Firaun.”

Maurice Bucaille menceritakan lagi, seungguhnya Haman disebut dalam al-Quran sebagai ketua yang menguruskan hal-hal pembinaan dan pembangunan. Akan tetapi kitab suci Bible tidak menyebut apa-apa tentang Haman semasa pemerintahan Firaun. Aku menulis perkataan “Haman” dalam bahasa hieroglif (bahasa Mesir kuno), dan membentangkannya kepada salah seorang pakar dalam sejarah Mesir. Bagi mengelakkannya terpengaruh atau terkesan dengan apa-apa maklumat (yang ingin aku sampaikan), maka aku tidak menyebut kepadanya bahawa nama ini disebut dalam al-Quran, sebaliknya hanya memberitahunya bahawa ia ada disebut dalam dokumen Arab lama sejak abad ketujuh Masihi.

Lantas pakar sejarah tersebut menyebutkan bahawa adalah mustahil untuk perkataan ini muncul dalam mana-mana dokumen Arab pada abad ketujuh, kerana simbol penulisan dalam bahasa hieroglif belum lagi ditafsirkan pada masa itu. Untuk mengesahkan perkara ini, dia mengesyorkan supaya aku merujuk kepada “Dictionary of Personal names of the New Empire” oleh Allemand Rank. Aku merujuk ke dalam kamus itu dan mendapati bahawa nama ini ada disebutkan di sana, juga ditulis dalam bahasa hieroglif dan begitu juga dalam bahasa Jerman. Terdapat juga terjemahan bagi makna nama ini, iaitu “Ketua para pekerja pemecah batu (pembinaan).” Begitu juga nama atau gelaran ini diberikan pada masa itu kepada ketua yang bertanggungjawab menguruskan projek pembangunan dan pembinaan mega.[1]

Kedudukan Haman di sisi Firaun

Sebahagian ahli tafsir berpendapat bahawa Haman adalah salah seorang menteri kepada firaun. Di antaranya, Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat 38 Surah al-Qasas sebagaimana yang telah disebutkan di atas bahawa firaun telah memerintahkan menterinya, Haman dan juga pemimpin rakyatnya serta penasihat negaranya untuk membakarkan tanah liat buatnya, iaitu mengambil batu bata lalu mendirikan buatnya sebuah istana yang tersergam indah lagi menjulang tinggi. (Lihat Tafsir al-Quran al- ‘Azim, 6/214). Bahkan tidak kurang juga mereka yang berpendapat, Haman adalah menteri pertama kepada firaun. (Lihat Da‘wah al-Rusul ‘alaihim al-Salam oleh Ahmad Ghalwasy, hlm. 290).

Sementara itu, Syeikh al-Sya‘rawi pula ketika menafsirkan ayat 6 Surah al-Qasas iaitu firman Allah SWT:

وَنُمَكِّنَ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَنُرِيَ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا مِنْهُم مَّا كَانُوا يَحْذَرُونَ

Maksudnya:Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.”

(Surah al-Qasas: 6)

Beliau menyebutkan bahawa Haman ialah menteri Firaun. Oleh itu, pasti setiap daripada mereka memiliki barisan askar khusus selain daripada askar negeri secara umum. Hal ini sebagaimana kita katakan sekarang, pengawal persekutuan, pengawal diraja dan tentera. Ataupun Haman bertindak berdasarkan arahan Firaun. Hal ini kerana seorang raja tidak menjalankan urusannya kecuali melalui menteri-menterinya, dan dalam hal ini tentera pula menerima perintah atau arahan daripada Haman. Ataupun Haman mempunyai kekuasaan dan kedudukan yang tidak kurang pentingnya daripada kekuasaan Firaun, dan dia juga mungkin pernah mengangkat kepalanya dan menghadapi (melawan) firaun pada satu masa. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 17/10877).

Adakah Haman tenggelam bersama firaun?

Tidak dinyatakan dalam al-Quran mahupun dalam al-Sunnah bahawa Haman tenggelam bersama Firaun, kecuali berdasarkan apa yang dibincangkan terdahulu berkenaan kedudukan Haman di sisi Firaun. Haman adalah salah seorang tentera Firaun yang paling terkemuka dan termasuk dalam kalangan pengikut Firaun. Bahkan dia adalah menteri Firaun. Justeru, sama ada dia bersama Firaun pada hari dia mengekori (mengejar) Nabi Musa AS ataupun tidak.

Sesungguhnya al-Quran menyebutkan pada banyak tempat bahawasanya Firaun tenggelam bersama semua tenteranya. Firman Allah SWT:

فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ بِجُنُودِهِ فَغَشِيَهُم مِّنَ الْيَمِّ مَا غَشِيَهُمْ

Maksudnya:Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya.”

(Surah Taha: 78)

Menurut Dr. Solah al-Khalidi, dhamir (kata ganti nama) “هم” pada kalimah “فَغَشِيَهُم” dalam ayat di atas kembali kepada firaun dan tentera-tenteranya. Ini jelas menunjukkan bahawa firaun dan para tenteranya kesemuanya tenggelam. (Lihat al-Quran wa Naqd Mata‘in al-Ruhban, 1/79).

Oleh itu, berdasarkan kenyataan di atas, kita tetap tidak dapat memutuskan secara pasti bahawa Haman telah tenggelam bersama Firaun, melainkan jika kita menyatakan secara pasti bahawa dia adalah salah seorang daripada tentera Firaun yang mengikuti (mengejar) Nabi Musa AS, lalu semua tenteranya itu turut tenggelam bersamanya. Di sana terdapat juga kemungkinan yang lain bahawa tentera Firaun yang bersamanya ketika dia mengejar Nabi Musa AS, bukanlah semua tenteranya sama sekali, dan ini juga merupakan suatu sangkaan yang kuat (ghalib ‘ala zan).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa Haman bukanlah merujuk kepada nama orang tertentu, sebaliknya ia adalah gelaran yang diberikan kepada seseorang seperti mana gelaran firaun, kisra, qaisar dan najasyi, dan ia diberikan kepada seseorang yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pembangunan dan pembinaan. Oleh itu, Haman yang disebut dalam al-Quran adalah merujuk kepada salah seorang menteri Firaun yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pembinaan di Mesir ketika itu, dan dia juga termasuk dalam kalangan orang yang dekat dengan firaun.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://islamstory.com/ar/artical/24344/اسم-هامان-معجزة-قرآنية#. Diakses pada 7 Julai 2023.

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply