Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini tular video berkenaan seseorang yang menggoreng telur buaya, lalu dimakan. Soalan saya, bukankah buaya haram dimakan, jadi adakah telurnya juga haram dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).
Buaya adalah haiwan yang membiak melalui bertelur
Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:
الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ
Maksudnya: “Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).
Terlebih dahulu sebenarnya kami pernah membahaskan berkenaan hukum makan buaya dalam ruangan Ahkam Syar‘iyyah. Secara ringkasnya, kami berpendapat bahawa buaya termasuk dalam jenis haiwan yang haram untuk dimakan sebagaimana pendapat jumhur ulama. Hal ini disebabkan oleh dua sebab iaitu kerana ia dianggap sebagai haiwan yang dianggap jijik, dan haiwan yang memburu dengan taringnya. Malah ada sebahagian ulama mengharamkannya kerana ia adalah haiwan yang hidup dua alam. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).
Telur buaya
Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan di sana terdapat dalam kalangan ulama yang mengharuskan untuk memakannya. Ini merupakan pendapat mazhab Maliki dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. (Lihat Bulghah al-Salik li Aqrab al-Masalik, 2/182; al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 27/227).
Penjelasan lanjut mengenai hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1123: Memakan Daging Buaya.[1]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, berkenaan hukum memakan telur buaya pula, kami bahagikan perbahasan kepada dua. Pertamanya, jika buaya termasuk dalam jenis haiwan yang halal dimakan, maka telurnya juga tidak syak lagi adalah suci dan halal dimakan. Perkara ini bertepatan dengan kaedah:
التَّابِعُ تَابِعٌ
Maksudnya: “(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).
Justeru, berdasarkan kaedah di atas, jika buaya termasuk dalam jenis haiwan air yang halal bangkainya, maka kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan seluruh bahagian-bahagian anggotanya seperti dagingnya, kulitnya, ekornya, matanya dan lain-lain, termasuklah telurnya selagi mana ia bukan najis dan tidak memudaratkan.
Keduanya, sekalipun buaya dihukumkan sebagai haiwan yang haram untuk dimakan dagingnya, namun telurnya tetap dihukumkan sebagai halal untuk dimakan menurut pendapat yang sahih. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa telur daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci secara ijmak. Manakala telur daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya pula, padanya terdapat dua pendapat. Pendapat yang kuat dalam hal ini adalah ia dikira suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/555). Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi dengan mengatakan bahawa terdapat khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kehalalan memakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya. Dinyatakan di dalam kitab al-Majmu‘, jika kita katakan bahawa telur itu dikira suci — dan ia adalah pendapat yang rajih — maka dihalalkan untuk memakannya tanpa sebarang khilaf kerana telur adalah suci dan tidak dianggap jijik. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/158).
Selain itu, al-Qalyubi juga ada menyebutkan bahawa semua jenis telur itu adalah suci, sekalipun ia berasal daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya. Begitu juga sekalipun ia telah berubah menjadi darah di mana jika dieramkan, pasti ia akan menetas. Akan tetapi diharamkan untuk memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/82). Tambahan lagi, Syeikh Nawawi al-Jawi juga ada menyatakan bahawa apabila telur sudah rosak, hingga tidak boleh lagi berkembang untuk menetas, maka ia dianggap sebagai najis. Demikianlah juga telur haiwan daripada bangkai — turut dikira sebagai najis. Adapun selain daripada semua itu, telur tersebut dikira sebagai suci dan boleh dimakan, meskipun daripada haiwan yang tidak dimakan dagingnya seperti burung hida’ah (sejenis burung helang), burung gagak, burung helang, burung hantu, buaya, penyu dan seumpamanya kecuali telur ular. (Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 39).
Hal ini kerana telur ular itu memudaratkan pemakannya. Al-Dimyati ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa menurut pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i, telur haiwan dikira suci sepertimana air mani, sekalipun ia berasal daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya daripada jenis haiwan yang suci, selagi mana ia tidak memudaratkan. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/104). Begitu juga Syeikh al-Jamal dalam hasyiahnya turut menyatakan bahawa telur burung hida’ (sejenis burung helang), telur burung helang, telur burung gagak, telur burung hantu, telur penyu, telur buaya adalah halal untuk dimakan. (Lihat Hasyiah al-Jamal, 1/176).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kita dapat rumuskan bahawa semua jenis telur adalah halal dan harus untuk dimakan termasuklah telur buaya, melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan sebaliknya seperti ia memberi mudarat kepada pemakannya dan seumpamanya. Maka ia menepati kaedah fiqh:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/1123-memakan-daging-buaya/. Diakses pada 29 Mei 2023.
Bertarikh: 11 Julai 2023 bersamaan 22 Zulhijjah 1444 H