Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah hukum suami yang suka ugut isteri dengan talak, dan ugutan itu lebih daripada 3 kali? Dia melakukannya ketika dalam keadaan waras, bukan dalam pengaruh marah dan sebagainya.

Sekiranya suami berkata akan jatuh talak sekiranya saya bawa masuk mana-mana lelaki ke dalam rumah kami adakah mahram, saudara mara lelaki, dan ipar biras lelaki saya termasuk dalam mana-mana lelaki yang dikatakan suami? Sebagai staf kerajaan saya sedia maklum tidak boleh memakai inai ketika bekerja, sekiranya suami ugut jika tidak pakai inai maka jatuh talak, adakah saya perlu patuh suami? Apa yang perlu saya lakukan dengan ugutan-ugutan sebegini? Saya mohon bantuan dan pencerahan.  Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan perbincangan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A:

ثَلَاثٌ جَدُّهنَّ جَدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِكَاحُ، وَالطَلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya juga dianggap bersungguh-sungguh: nikah, cerai, rujuk semula.”

Riwayat Abu Daud (2194)

Hadith di atas menjelaskan larangan untuk mengambil ringan dalam tiga perkara di atas. Hal ini kerana hukum gurauan di dalam tiga perkara itu adalah seperti hukum asal perkara tersebut tanpa mengira niat untuk bergurau.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili berkata, gurauan dan jenaka tidak termasuk dalam syarat orang yang dipaksa untuk mentalakkan isterinya.  Sekiranya dibuat oleh suami yang sudah baligh, berakal dan tidak dipaksa mana-mana pihak, maka lafaz talak yang dilafazkan adalah dikira, dan jatuh talak mengikut apa yang disebutkan. Gurauan dan jenakanya ditak dikira sebagai keuzuran untuk tidak terjatuhnya talak. (Lihat al-Mu‘tamad, 4/ 157)

Sebagai seorang muslim yang beriman dengan Allah SWT dan Rasul-Nya, kita perlu tahu bahawa talak ini adalah salah satu daripada hukuman-hukuman Allah SWT yang juga merupakan salah satu kaedah untuk memperbaiki suatu hubungan tersebut. Kuasa talak ini tidak boleh sewenag-wenangnya digunakan kecuali jika hubungan antara suami isteri telah membarah dan tidak mampu lagi diharmonikan atau diteruskan. Adapun menjadikannya sebagai alat untuk mengugut isteri, maka ini adalah satu perbubatan yang tidak baik dan salah. Bahkan Allah SWT memerintahkan untuk berbuat baik  

Sekiranya suami tersebut mengugut dengan cara melafazkan talak sarih bersyarat, seperti dia berkata kepada isterinya: “Jika bawa masuk mana-mana lelaki ke dalam rumah, awak tertalak” atau “Jika awak tidak pakai inai, saya ceraikan awak”, maka jatuh talak tersebut. Para ulama’ berhujjah dengan firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ

Maksudnya : “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Ayat ini bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung   (التنجيز)  mahupun  tidak langsung tergantung (التعليق). Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak ke atas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta’liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya. Perkataan yang digunakan bagi pensyaratan ta‘liq adalah  jika, apabila, kalau dan seumpamanya.  (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adilatuhu, 7/447)

Mereka juga berhujjah dengan sabda Rasulullah SAW:

الْمُسْلِمُونَ عند شُرُوطِهِمْ

Maksudnya :  “Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Riwayat al-Hakim (1352)

Imam al-Syirazi pula menyatakan, jika penceraian diikat dengan syarat yang bukanlah suatu hal yang mustahil seperti masuk ke rumah atau datangnya bulan, maka ia tergantung pada menepati syarat tersebut. Jika syarat tersebut dipenuhi, maka berlakulah penceraian, dan jika syarat tersebut tidak terpenuhi, maka tidak berlakulah penceraian. (Lihat al-Muhazzab Fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 3/21)

Pada situasi yang lain, jika suami tersebut mengugut dengan cara melafazkan cerai secara kinayah (kiasan), maka perlu diketahui terlebih dahulu adakah dia benar-benar berniat untuk menceraikan isterinya atau sekadar ugutan. Sekiranya hanya sekadar ugutan, maka tidak jatuh talak. Dan jika dia memang berniat menceraikan isterinya, maka jatuh talak.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daaripada Umar bin Al-Khattab R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌إِنَّمَا ‌الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya:Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.

Riwayat Al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Ini juga berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:

الْأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Hukum suatu perkara itu bergantung kepada niat.”

Difahami juga daripada kaedah di atas, perlu diambil kira jika sekiranya larangan membawa masuk mana-mana lelaki tersebut merujuk kepada selain daripada mahram. 

Syeikh Abdul Aziz bin Baz mengatakan bahawa, tidak terjatuh talak melainkan jika memang suami berniat untuk menceraikan. Dan dia perlu membayar kafarah seperti kafarah orang yang bersumpah,[1] seperti mana dalam firman Allah SWT:

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ

Maksudnya: “Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang 

tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari.”

(Surah al-Ma’idah: 89)

Ini juga merupakan pandangan yang dipegang oleh Syeikh al-Islam Ibn  Taimiyyah, beliau menyatakan bahawa ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan ulama’ 4 mazhab, dan beginilah yang difatwakan oleh beberapa mufti pada zaman tersebut. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 33/ 132)

Hal yang demikian kerana suami yang mengugut isteri dengan talak ini seakan bersumpah untuk menceraikan isteri mereka jika isteri mereka melakukan sesuatu yang mereka letakkan sebagai syarat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَلَفَ عَلَى يَمِينٍ، فَرَأَى غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا، فَلْيَأْتِ الَّذِي هُوَ خَيْرٌ، وَلْيُكَفِّرْ عَنْ يَمِينِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersumpah dan mendapati sesuatu yang lain lebih baik daripadanya, hendaklah dia membawa yang lebih baik, dan hendaklah dia menebus sumpahnya.”

Riwayat Muslim (1650)

Kesimpulan

Kami katakan, suami yang baik dan mithali adalah suami yang memahami keadaan isterinya dan mementingkan maslahahnya, tidak terburu-buru membuat keputusan membuta tuli tanpa perbincangan yang matang dan berfikiran terbuka.

Bagi pasangan suami isteri juga, janganlah kita jadikan pandangan dan penilaian kita terhadap pasangan hidup kita dengan kanta mata seekor lalat, yang sering melihat keburukan dan tidak memandang kebaikannya. Ingatlah bahawa Allah memerintahkan setiap dari kita untuk bergaul dengan cara yang baik dengan isteri mereka, begitu juga dengan suami.

Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Masudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

(Surah al-Nisa’: 19)

Akhir kalam, marilah kita berdoa dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/19350/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%AA%D8%AE%D9%88%D9%8A%D9%81-%D8%A7%D9%84%D8%B2%D9%88%D8%AC%D8%A9-%D8%A8%D8%A7%D9%84%D8%B7%D9%84%D8%A7%D9%82. Diakses pada 10 Julai 2023.

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply