Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah terdapat doa khusus untuk ibu mengandung yang mana kandungannya terdapat masalah kesihatan. Terima kasih untuk perkongsian.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: Dan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu”.

(Surah al-Ghafir: 60)

Antara tujuan berdoa adalah untuk menjauhkan diri daripada sesuatu yang tidak diingini, bahkan ia merupakan salah satu ikhtiar terkuat bagi seseorang hamba kerana tidak ada sesiapa yang mempunyai kuasa untuk menolak sesuatu keburukan melainkan dengan izin Allah SWT. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا غُلَامُ، إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: اِحْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظُكَ، اِحْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اَللَّهَ، وَإِذَا اِسْتَعِنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاَللَّهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ، لَمْ يَنْفَعُوكَ إلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَك، وَإِنْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوك بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوك إلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ

Maksudnya: “Wahai anak muda, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat; Peliharalah Allah, nescaya dia akan memeliharamu. Peliharalah Allah, nescaya kau akan dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau meminta sesuatu, maka mintalah kepada-Nya. Jika engkau memohon pertolongan, mohonlah dari-Nya. Ketahuilah, sekiranya umat ini berhimpun untuk memberikan manfaat kepadamu, mereka tidak dapat memberi manfaat kepadamu melainkan perkara itu telah tertulis untukmu. Dan jika mereka berhimpun untuk mendatangkan kemudharatan kepadamu, kemudharatan itu tidak akan menimpa ke atasmu, melainkan ianya sememangnya telah tertulis terdahulu akan berlaku ke atasmu. Telah terangkat qalam dari catitan dan telah kering suhuf (lembaran).”

Riwayat al-Tirmizi (2516)

Tidak semestinya Allah SWT akan mengabulkan permintaan hambanya secara terus setiap kali mereka berdoa, akan tetapi Allah SWT akan mengabulkan doa hambanya mengikut kehendaknya.

Dalam beberapa keadaan, apabila doa seorang hamba itu lewat dikabulkan, maka tepuklah dada dan tanya diri. Apakah yang kita hajatkan itu bertentangan dengan hukum syara‘ atau tidak, adakah kepercayaan kita dan kebergantungan serta pengharapan kita kepada Allah SWT sangat kuat atau sangat lemah ketika berdoa, atau mungkin kita pernah melakukan sesuatu perkara yang menjadi asbab Allah SWT lambat memakbulkan doa kita.

Jika kita hajatkan sesuatu yang bertentangan dengan hukum syara‘, maka jelas menunjukkan bentuk permusuhan tehadap Allah SWT. Jika kepercayaan dan kebergantungan kita kepada Allah SWT lemah, ia diibaratkan seperti busur yang lendut, anak panah tidak dapat meluncur ke sasaran dengan kencang. Dan mereka yang pernah melakukan sesuatu yang haram seperti makan makanan yang haram, maka Bagai mana mungkin Allah SWT mengabulkan doanya.

Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالْإِجَابَةِ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مَنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لَاهٍ

Maksudnya: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kalian yakin bahawa Allah akan memakbulkannya, dan ketahuilah bahawa Allah tidak memakbulkan doa yang datang daripada hati mereka yang lalai lagi alpa”

Riwayat al-Tirmizi (3479)

Dan diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أشْعَثَ أغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّماءِ: يا رَبِّ يا رَبِّ، ومَطْعَمُهُ حَرامٌ، ومَشْرَبُهُ حَرامٌ، ومَلْبَسُهُ حَرامٌ، وغُذِّيَ بِالحَرامِ، فَأنّى يُسْتَجابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya: “(Rasulullah SAW) menyebutkan ada seseorang yang bermusafir perjalanan jauh di mana keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit seraya berkata: Ya Tuhanku, Ya Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan keperluannya dipenuhi dari sesuatu yang haram, maka bagaimana (ingin dikabulkan doanya)?”

Riwayat Muslim (1015)

Kembali kepada soalan yang diajukan, kami tidak mendapati doa yang thabit daripada Rasulullah SAW secara khusus untuk ibu yang mengandung bacakan kepada kandungannya. Akan tetapi, fiqh berdoa itu amatlah luas, berdoalah dengan apa jua yang kita kehendaki kebaikan dengannya.

Antara cara yang boleh dilakukan agar doa kita mustajab adalah berdoa dengan penuh harapan dan yakin, sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT agar permintaan kita dikabulkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut.”

(Surah al-Anbiya’: 90)

Cara lainnya adalah dengan memulakan doa dengan pujian-pujian kepada Allah SWT sebagai bentuk adab untuk meminta sesuatu daripada-Nya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Fudhalah bin ‘Abid R.A, ketika mana Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki berdoa kepada Allah SWT di dalam solatnya tanpa mengagungan Allah dan berselawat ke atas Baginda SAW. Lalu Baginda SAW bersabda:

عَجَّلَ هَذَا ثُمَّ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ: إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِتَمْجِيدِ اللَّهِ وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ، ثُمَّ يُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ ﷺ ثُمَّ يَدْعُو بَعْدُ بِمَا شَاءَ

Maksudnya: “‘Lelaki ini tergesa-gesa (dalam berdoa).’ Kemudian Baginda memanggilnya dan berkata kepadanya atau orang lain: ‘Apabila seseorang daripada kamu solat, maka mulakanlah dengan mengagungkan Allah dan selawat ke atas Nabi SAW, kemudian barulah dia berdoa dengan apa yang dihajatinya’.”

Riwayat Abu Dawud (1481), al-Tirmizi (3477), Ahmad (23937) dan al-Nasa’ie (1284)

Kami katakan, tetaplah berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kesembuhan kepada anak yang masih dalam kandungan tersebut. Tingkatkanah kepercayaan terhadap kekuasaan Allah SWT yang sudah pastinya mampu untuk memberikan kesembuhan kepada hamba-Nya dengan kehendak-Nya.

Dalam masa yang sama, iringilah doa kita tersebut dengan ikhtiar dan usaha mendapatkan rawatan yang bersesuaian. Semoga Allah SWT memberikan kesembuhan kepada kita dan menjauhkan kita semua daripada sebarang penyakit.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا

Maksudnya: “Ya Allah! Sembuhlah orang sakit di kalangan kami, berilah kesejahteraan kepada orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply