Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana keadaan seorang yang datang lewat untuk solat hari raya, dan imam sedang berkhutbah? Adakah dia perlu solat ataupun menunggu sehingga khutbah berakhir?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat Aidilfitri dan Aidiladha telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah. Solat hari raya pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah solat Aidilfitri pada tahun yang kedua Hijrah tersebut. Sementara dalil pensyariatannya pula ialah firman Allah SWT yang ditujukan kepada Nabi SAW:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: “Oleh itu, solatlah kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”
(Surah al-Kauthar: 2)
Ulama tafsir menyatakan maksud solat dalam ayat tersebut ialah solat Aidiladha. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَىْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ، فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَىْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke musalla (tempat sembahyang) pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian, Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk di dalam saf mereka, lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu, Baginda pun bersurai.”
Riwayat al-Bukhari (956) dan Muslim (889)
Solat hari raya hukumnya ialah sunat muakkad. Hal ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat.
Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu. Solat hari raya disyariatkan secara berjemaah. Namun, sah dilakukan secara bersendirian. Begitu juga, ia disyariatkan berjemaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang merdeka atau hamba kecuali perempuan yang menghiasi diri atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja.
Cara Solat Hari Raya
Para ulama juga telah bersepakat berkenaan cara-cara solat hari raya berdasarkan hadith Amru bin Auf al-Muzani RA, katanya:
أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَبَّرَ فِي الْعِيْدَيْنِ فِي الأُولَى سَبْعًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ وَفِي الآخِرَةِ خَمْسًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ
Maksudnya: “Nabi SAW bertakbir ketika solat dua hari raya, pada rakaat yang pertama sebanyak 7 kali sebelum membaca fatihah dan pada rakaat yang akhir sebanyak 5 kali sebelum membaca fatihah.”
Riwayat al-Tirmizi (536)
Solat hari raya dua rakaat dimulakan dengan takbiratul ihram, diikuti dengan doa Iftitah. Kemudian, bertakbir sebanyak 7 kali sambil mengangkat tangan sebagaimana takbiratul ihram. Hendaklah diselangi di antara sekadar masa satu ayat sederhana dan sunat mambaca tasbih.
Seterusnya, membaca surah Al-Fatihah dan satu surah atau beberapa ayat daripada al-Quran. Selepas takbir ketika bangun pada rakaat kedua, hendaklah bertakbir sebanyak lima kali sebelum memulakan bacaan dan setiap takbir diselangi dengan tasbih.
Solat Hari Raya Ketika Imam Sedang Bekhutbah Hari Raya
Apabila seseorang memasuki masjid dan imam sedang memberikan khutbah Hari Raya, jika dia berada di dalam masjid, maka menurut Mazhab al-Syafi’i, yang terbaik baginya adalah untuk menunaikan solat Hari Raya dan ia juga merangkumi solat Sunat Tahiyyatul Masjid.
Namun, dia juga dibenarkan untuk memulakan solat dengan solat Tahiyyatul Masjid. Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Jika seseorang memasuki masjid ketika imam sedang memberikan khutbah, jika dia berada di dalam masjid, dia harus memulakan dengan solat Tahiyyatul Masjid, dan apabila khutbah hari raya selesai, maka dia boleh menunaikan solat Hari Raya. Namun begitu, jika dia terus menunaikan solat Hari Raya sebagai pengganti tahiyyatul Masjid, maka itu adalah lebih baik baginya.” (Lihat Tuhfah al-Muthaj, 3/50)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sekiranya seseorang itu terlepas solat hari raya, dan imam sedang menyampaikan khutbah di dalam masjid, maka terdapat dua cara dalam hal ini:
- Dia boleh terus solat sunat hari raya dan ia sekaligus merangkumi solat sunat Tahiyyatul Masjid
- Dia boleh terus solat sunat Tahiyyatul Masjid, kemudian apabila imam sudah menyelesaikan khutbah, dia boleh bangun untuk selesaikan solat sunat Hari Raya.
Imam al-Nawawi berkata: “Sesiapa yang terlepas solat hari raya secara berjemaah bersama imam pada waktunya atau setelahnya, hendaklah dia menyempurnakannya dengan solat dua rakaat seperti solat imam dan ini merupakan pendapat Abu Thawr dan riwayat daripada Ahmad.
Terdapat juga riwayat daripada Ahmad yang menyatakan supaya solat hari raya sebanyak empat rakaat dengan satu salam, jika dia mahu, dia solat empat rakaat dengan dua salam dan pendapat ini ditegaskan oleh al-Khiraqi. Pendapat yang ketiga boleh dipilih antara dua rakaat atau empat rakaat, dan ini adalah mazhab al-Thauri. Ibn Mas’ud mengatakan solat itu dilakukan empat rakaat. Al-Auza’i mengatakan dua rakaat tanpa dijaharkan solat itu dan tidak ada takbir-takbir tambahan. Ishak mengatakan jika solat di masolla, maka perlu solat seperti solat hari raya imam, dan jika bukan, solat hari raya dilakukan dengan empat rakaat.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/29)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H