Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato’ Seri ceritakan antara cabaran atau ujian yang dihadapi Imam Abu Hanifah dalam berhadapan dengan Khalifah Abu Jaafar al-Mansur yang zalim?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan biografi Imam Abu Hanifah:

Imam Abu Hanifah dilahirkan pada tahun 80 Hijrah, bersamaan 660 Masihi. Sesetengah pendapat ahli sejarah mengatakan bahawa beliau dilahirkan pada 61 Hijrah. Namun, pendapat ini tidak kuat kerana yang sebenarnya ialah pada tahun 80 Hijrah, sebagaimana pendapat yang pertama.

Nama sebenar Imam Abu Hanifah ialah al-Nu’man dan keturunan beliau yang selanjutnya adalah sebagaimana di bawah ini:

Thabit, Zuta, Ma’ah, Muli-Taimullah dan akhirnya Tha’labah. Ahli sejarah ada pula yang berpendapat bahawa Imam Abu Hanifah berasal dari bangsa Arab, dari suku (Bani) Yahya bin Asad dan ada yang mengatakan beliau berasal dari keturunan Ibn Rusyd al-Ansari.

Pendapat di atas adalah tidak benar dan pendapat yang sebenar ialah beliau keturunan berbangsa Parsi. Sebagai buktinya, keturunan beliau adalah seperti berikut:

Al-Nu’man, Thabit, al-Marzuban. Al-Marzuban ialah perkataan Parsi yang bererti Ketua Kaum Parsi (merdeka). Bukti yang kedua pula ialah disebabkan perkataan Zuta, ada di antara susunan keturunan beliau. Perkataan Zuta ialah perkataan bangsa asing (Ajam).

Justeru, para tokoh sejarah Islam menyatakan bahawa beliau bukan berasal daripada keturunan Arab dan beliau dikenali sebagai golongan mawla (gelaran kepada mereka yang tidak berbangsa Arab atau tidak berasal daripada keturunan Arab), iaitu mawla kepada Bani Taym Allah bin Tha‘labah daripada keturunan Bakr bin Wa’il. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 6/368; al-Kamil fi al- Du’afa’ al-Rijal oleh Ibn ‘Uday al-Jurjani, 8/235; Wafayat al-A’yan, 5/405; Tahzib al-Kamal, 29/418; Siyar A’lam al-Nubala’, 6/390; Tahzib al-Tahzib, 4/229 dll.)

Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa beliau adalah termasuk daripada golongan orang-orang yang diceritakan oleh hadis Rasulullah SAW, yang bermaksud: “Jika ilmu pengetahuan tertentu kepada hartawan sahaja, maka semua orang Parsi akan berilmu pengetahuan.”

Tribulasi Imam Abu Hanifah Di Zaman Abu Jaafar al-Mansur

Demikianlah mehnah menghampiri Abu Hanifah sedikit demi sedikit. Abu Hanifah sabar dan bertahan di dalam kesabaran dan mengharap redha Allah SWT. Mehnah itu datang cepat dan berturut-turut sebagai amaran akan terjadinya apabila Al-Mansur melalui cara lain pula. laitu dia menghantarkan hadiah yang mahal kepada Imam Abu Hanifah sedangkan dia mengetahui al-Imam akan menolaknya. Akan tetapi Al-Mansur berbuat demikian sebagai sebab dan hujjah yang baharu untuk melakukan gangguan dan mehnah terhadap Abu Hanifah.

Lebih baiklah kalau disebutkan di sini peristiwa ini kerana ia merupakan satu mata rantai dari rangkaian dalam tajuk ini.

Al-Mansur telah menghantar anugerah sebanyak sepuluh ribu dirham dan seorang jariah (wanita hamba) kepada Imam Abu Hanifah. Semasa Abu Hanifah menolaknya, seorang menteri Abu Jaafar yang bernama Abdul Malik bin Hamid berkata kepada Abu Hanifah: “Dengan nama Allah SWT, aku harap engkau menerimanya kerana sesungguhnya Amirul Mukminin mencari alasan untuk mengganggumu. Sekiranya kamu tidak menerimanya, jadi benarlah sangkaannya terhadapmu,”

Tetapi Abu Hanifah terus menolak pemberian itu. 

Semasa Abu Jaafar Al-Mansur hendak mengganggu Abu Hanifah, dia menjadikan penolakan Abu Hanifah terhadap pemberiannya sebagai alasan untuk membenarkan tindakannya terhadap Abu Hanifah, dia memanggil Ab Hanifah dan berkata kepadanya:

Al-Mansur: “Kenapakah kamu tidak mahu menerima pemberianku?”

Abu Hanifah: “Amirul Mukminin tidak memberi aku dari hartanya sendiri, sebab itulah aku menolaknya. Sekiranya dia memberi aku dari hartanya sendiri aku tidak menolaknya. Dia hanyalah memberi aku dari Baitulmal, harta kaum muslimin, sedangkan aku tidak berhak di dalam Baitulmal mereka. Aku bukanlah tentera membela mereka di dalam peperangan yang boleh mengambil menurut apa yang diambil oleh tentera yang berperang. Aku bukan juga anak-anak tentera itu lalu boleh mengambil seperti apa yang diambil oleh anak-anak mereka. Aku bukan juga dari fakir miskin, lalu aku mengambil seperti apa yang diambil oleh orang fakir dan miskin,” (Lihat Al-Manaqib, 1/215)

Kemudian diikuti pula oleh sebab lain. Telah kita ketahui bahawa Imam Abu Hanifah yang dikenakan mehnah, lantaran pandangan dan sikapnya terhadap peperangan yang dilancarkan oleh Abu Jaafar terhadap ahlil Mausul. Jawapan Imam Abu Hanifah di dalam masalah ini membangkitkan kemurkaan khalifah Al-Mansur Tetapi kemurkaan itu dirahsiakan di dalam jiwa dan dirinya.

Di sinilah munculnya satu sebab lain dan tuntutan baharu yang mungkin berfaedah kepadanya dan cara baharu yang disangkanya boleh menekan dan menindas Imam Abu Hanifah, Imam kita yang agung itu. Al-Mansur cukup mengetahui bahawa tawaran yang ditawarkan kepada Abu Hanifah, mesti ditolak mentah-mentah.

Lantas dia menawarkan jawatan kadhi-kadhi Mahkamah Daulah Islamiah (Menteri Kehakiman Negara) kepadanya. Sekiranya dia menolak tawaran yang sangat besar itu, dia akan menerima akibatnya. Tawaran ini dilakukan terang terangan di hadapan khalayak manusia, supaya Al-Mansur dipandang sebagai orang yang benar-benar menghormati Abu Hanifah dan menjadi alasan baginya untuk mendapat sokongan orang awam dan rakyat biasa, secara tak langsung nanti mereka pula akan mencontohi tekanannya yang akan dilakukan terhadap Abu Hanifah. Padahal orang- orang awam itu tidak mengetahui segala rahsia yang tersembunyi dan motif-motif tertentu di dalam lipatan fikiran pemerintah.

Abu Hanifah merupakan seorang Imam Fiqh di negeri Iraq, dia merupakan lautan ilmu yang tidak terjejas dengan adanya orang-orang yang menimba daripadanya. Memang logiklah kiranya dia dilantik secara paksa untuk menjadi Menteri Kehakiman kerana menurut pandangan orang awam di dalam paksaan itu tidak ada kezaliman. Sekiranya Imam kita ini menerima perlantikan itu, keduanya akan berdamai, tamatlah persengketaan dan amanlah Al-Mansur dan sangkalan dan kritikan Abu Hanifah dan seterusnya tamatlah penentangan Abu Hanifah terhadap Al-Mansur. Apabila Imam Abu Hanifah telah menjadi pembesar negara, bagaimana mungkin dia menyangkal, menentang dan mengkritik Al-Mansur padahal sudah tentu dia menjadi orang yang bertanggungjawab di dalam urusan kehakiman dan bekerjasama pula dengan Al-Mansur di dalam pemerintahannya.

Lantaran itu Al-Mansur telah menjadi semakin bernafsu lalu maju melaksanakan cadangan itu dengan tegas dan tegas.

Dia memanggil Abu Hanifah dan menawarkan jawatan yang tinggi dan penting itu kepadanya. Sebaliknya Abu Hanifah menolak dengan tegas. Marilah kita perhatikan peristiwa itu dari mulut Imam ini sendiri:

“Sesungguhnya Abu Jaafar Al-Mansur ini telah memanggil aku untuk menerima tauliah menjadi Menteri Kehakiman. Lantas aku memberitahu kepadanya Sesungguhnya aku tidak layak. Aku tidak tahu bahawa yang mendakwa wajib memberi keterangan dan yang terdakwa wajib bersumpah. Hanya orang yang mempunyai jiwa yang mampu dan berkuasa menjatuhkan hukuman ke atas kamu, anak kamu dan panglima-panglima kamu sahaja yang layak memegang jawatan kehakiman ini. Padahal jiwa yang demikian tidak ada padaku. Sesungguhnya kamu telah memanggil aku, jiwaku hanya akan kembali apabila aku meninggalkan kamu.” (Lihat Al-Manaqib, 1/215)

Al-Rabi’ bin Yunus berkata: “Aku telah melihat bagaimana Amirul Mukminin bertikam lidah dengan Abu Hanifah di dalam masalah kehakiman.

Abu Hanifah berkata kepadanya: “Bertaqwalah kepada Allah SWT. Jangan meletakkan amanah kamu kepada orang yang tidak takut kepada Allah SWT. Demi Allah SWT, bukanlah aku orangnya yang dipercayai tatkala suka, bagaimanakah aku akan dipercayai tatkala murka. Sekiranya sesuatu hukuman itu telah dijatuhkan ke atasmu lalu kamu memberi aku dua pilihan samada aku mahu kau menenggelamkan aku di Sungai Furat ataupun aku merubah hukuman yang telah dijatuhkan itu, nescaya aku akan memilih untuk adibenamkan di sungai itu. Penolong bagimu adalah orang-orang yang memerlukan pengurniaan dan kemuliaan darimu. Jadi aku tidak layak menjadi sedemikian.

Abu Jaafar berkata: “Engkau berdusta kalau engkau mengatakan bahawa engkau tidak layak.”

Abu Hanifah menjawab: “Nah! Kini kamu telah menjatuhkan hukuman kepada dirimu. Bagaimanakah kamu akan melantik seorang hakim yang dusta untuk memikul amanahmu?” (Lihat Tarikh Baghdad, 3/328)

Di sinilah Khalifah Al-Mansur berjaya mencapai apa yang dikehendakinya dan mendapati apa yang telah dirancangkan lalu dia menimpakan mehnah kepada Abu Hanifah rahimahumullah.

Telah diriwayatkan dari Daud bin Rasyid Al-Wasity: Bahawasanya dia berkata: Aku telah menyaksikan bagaimana Al-Imam Abu Hanifah diseksa supaya menerima tauliah kehakiman. Setiap kali dia dikeluarkan untuk mengadap amir, dia dipukul sepuluh kali sebatan cemeti, sehinggakan sebatan ke seratus sepuluh kali, tawaran itu dikatakan lagi kepadanya: “Terimalah jawatan kehakiman itu”. Tetapi beliau hanya menjawab: “Aku tidak layak”. Apabila beliau dipukul berturut- turut, beliau berbisik: “Allahumma, wahai Tuhanku jauhkanlah kejahatan mereka daripadaku dengan kudratMu. Setelah begitu lama menyeksanya dan beliau tetap tidak mahu menerimanya, mereka seludupkan racun kepadanya dan mereka membunuhnya,” (Lihat Tarikh Baghdad, 3/328)

Diriwayatkan juga bahawa Abu Jaafar Al-Mansur telah memenjarakan Abu Hanifah dalam usaha memaksanya menerima jawatan kehakiman dan menjadi Menteri Kehakiman, tetapi beliau menolaknya. Akibatnya beliau disebat seratus kali sebatan cemeti. Apabila beliau dikeluarkan dari penjara pun dia masih ditahan dalam rumah. (Lihat al-Manaqib, 2/18)

Menurut riwayat lain pula, Al-Mansur telah memenjarakan dan menindasnya dalam satu waktu yang tertentu. Salah seorang dari orang kepercayaannya memohon supaya Abu Hanifah dikeluarkan dari penjara, tetapi dilarang mengeluarkan fatwa, dilarang duduk di dalam majlis manusia, dilarang keluar dari rumahnya, demikianlah keadaannya hinggalah beliau wafat. Beliau wafat pada tahun 150 hijrah semasa berumur 70 tahun. (Lihat al-Manaqib, 2/15)

Demikianlah mehnah dan tribulasi yang telah ditimpakan oleh Al-Mansur kepada Abu Hanifah. Beliau dilarang mengajar dan mengeluarkan fatwa, disebat, dipenjarakan, kemudian ditahan di rumahnya, diracuninya dan akhirnya beliau wafat lantaran racun itu. Musibah itu semua adalah disebabkan sikap beliau tidak mahu mengikut telunjuk pemerintah, tidak menyetujui kegiatan hidup mereka dan tidak mahu menerima tuntutan mereka. Demikianlah sikap ulama’ warisatul anbiya’ yang patut dicontohi oleh ulama’ setiap masa sekiranya mereka ulama’ yang hakiki dan cendekiawan yang sejati.

Beliau telah wafat seperti wafatnya para al-Sidiqin, al- Syuhada’ dan al-Salihin iaitu pada tahun 150 hijrah. Kematiannya merupakan kerehatan dan kesenangan bagi hatinya yang bersinar, perasaannya yang peka, hatinya yang Beliau cekal, akalnya yang genius dan jiwanya yang sabar yang telah menerima azab seksa di jalan Allah SWT. menanggungnya dengan mengharap keredhaan Allah SWT Para penentangnya melakukan berbagai gangguan dan tindasan yang kejam kepadanya, ditambah lagi dengan berbagai tuduhan, tetapi beliau menanggung semuanya itu dengan jiwa yang tenang, tenteram, redha dan diredhai Beliau menerima berbagai-bagai gangguan dari orang-orang bodoh kemudian menerima ujian dan tribulasi kejam dari pemerintah dan penguasa.

Namun demikian, beliau tidak merasa lemah hati, tidak mengeluh dan tidak mahu menyerah kalah. Sekiranya jiwa itu juga mempunyai medan jihad, Abu Hanifahlah yang menjadi general dan beliau menang di dalam pelbagai medan jihad.

Di dalam jihadnya, beliau seorang yang perkasa, kuat di dalam pertarungan sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau telah sempat berwasiat supaya tidak dikebumikan di tanah yang pernah dirampas ataupun di tanah di mana penguasa dituduh merampasnya. Menurut riwayatnya apabila Abu Jaafar Al-Mansur mengetahui tentang perkara demikian itu, dia berkata: “Siapakah yang dapat membela aku dari Abu Hanifah di waktu hidup dan di waktu matinya?” (Lihat Abu Hanifah, 51)

Dengan wafatnya Al-Imam Abu Hanifah, selesailah mehnah yang telah ditimpakan kepadanya. Mehnah yang demikian itu menimpa pula ulama’-ulama’ dan imam-imam muslimin yang bersikap sepertinya pada zamannya dan sesudahnya hinggalah pada zaman ini. (Lihat Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 368-376)

Sesungguhnya, para ulama sentiasa menghadapi ujian dan tribulasi tetapi mereka tetap sabar tanpa menggadaikan prinsip. Maka, tidak hairanlah mereka sering kali diganggu gugat dan diuji. Benarlah firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا 

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Surah al-Ahzab (23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ اهُمْ وَالْخَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada- Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada- Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada- Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply