Soalan:

Assalamualaikum Dr  saya ingin bertanya tentang waktu melontar jamrah 11, 12, 13 Zulhijjah. Adakah sah dilakukan sebelum zohor. Apa yang saya belajar tidak sah. Apa yang saya maklum, Tabung haji melaksanakannya selepas subuh. Adakah  ada kelonggaran dalam isu ini ?  Terima kasih di atas perhatian Dr.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith yang diriwayat oleh  Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَبِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ وَرَمْيُ الْجِمَارِ لِإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya tawaf yang dilaksanakan di Baitullah, sa’ie di antara bukit Safa dan Marwah, dan melontar jamrah disyariatkan hanyalah untuk mengingati Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (1888) dan al-Tirmizi  (902). Hadith ini dikatakan sahih oleh al-Tirmizi dan juga telah ditashihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. 

Melontar pada hari Tasyriq

Seorang yang mengerjakan haji hendaklah melontar Jamrah pada hari tasyriq iatu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah. Dia perlu melontar pada Jamrah Sughra, Jamrah al-Wusta, dan Jamrah al-Kubra. Setiap jamrah hendaklah dilontar dengan  7 biji batu.

Diriwayatkan daripada Jabir R.anhuma beliau berkata :

رَمى رَسولُ اللهِ ﷺ الجَمْرَةَ يَومَ النَّحْرِ ضُحًى، وأَمّا بَعْدُ فَإذا زالَتِ الشَّمْسُ

Maksudnya : Rasulullah SAW melontar Jamrah pada hari Korban pada waktu Dhuha dan sesudah itu (11,12,dan 13 Zulhijjah) sesudah matahari tergelincir.

Riwayat Muslim (1299)

Hikmah dari melontar jamrah adalah untuk mengingati Allah SWT. Oleh kerana itu, disyariatkan untuk takbir setiap kali melontar setiap batu. Hal ini dilakukan agar Allah SWT yang dimuliakan dengan lisan sebagaimana kita memuliakanNya  di dalam hati. Melempar jamrah di tempat ini secara nyata menunjukkan makna yang masuk akal, iaitu pengabdian kepada Allah SWT. Manusia tidak mengerti makna yang masuk akal dan jelas dalam melempar batu  di tempat ini selain bahawa dia beribadah kepada Allah SWT dengan perintah, meskipun dia tidak memahami sepenuhnya maknanya. Ini adalah pengabdian dan tunduk kepada Allah Ta’ala, dan inilah kesempurnaan ketaatan kepada-Nya. Oleh kerana itu, dalam melempar jamrah terdapat pengagungan kepada Allah dengan lisan dan hati. (Lihat Majmu’ al-Fatawa Wa Rasail al-Uthaimin,24/499-500)

Menjawab bagi persoalan di atas dalam isu ini ulama ada berbeza pandangan :

Pendapat pertama: Tidak dibolehkan melontar jamrah pada sebelum tergelincirnya matahari. Ini merupakan pandangan jumhur  fuqaha mazhab Hanafi, Maliki, Syafii’e, Hanbali dan sebahagian dari pandangan salaf.

Al-Nawawi menyatakan :  tidak dibolehkan melontar jamrah pada hari tasyriq kecuali selepas tergelincirnya matahari. Ini berdasarkan apa yang telah diriwayatkan daripada A’isyah R.Anha bahawa :

 أَفَاضَ رَسُولُ اللهِ ﷺ حينَ صَلَّى الظُّهرَ ثمَّ رَجَعَ إِلَى مِنًى فَأَقَامَ بِهَا أيّامَ التَّشْرِيقِ الثَّلاثَ يَرْمِي الجِمارَ حَتَّى تَزُولَ الشَّمسُ 

Maksudnya : Rasulullah SAW melakukan tawaf  ifadhah pada pada hari terakhirnya ketika telah menunaikan solat zohor, kemudian beliau kembali ke Mina dan tinggal di situ beberapa malam pada hari-hari tasyriq. Beliau melontarkan jamrah apabila matahari telah gelincir.

Riwayat Ibn Hibban(3868)  

Ibn Qudamah menyatakan: Tidak dibolehkan melontar jamrah pada hari tasyriq kecuali selepas tergelincir maatahari. Sesiapa yang melontar sebelum tergelincir matahari maka hendaklah dia mengulanginya. (Lihat al-Mughni, 5/328)

Pendapat kedua :  diharuskan melontar jamrah sebelum tergelincir matahari   pada hari-hari tasyriq. Yang demikian merupakan pendapat dari kalangan khalaf dan salaf seperti Abdullah Bin Amru, Abdullah Bin Zubair, Ata’ Bin Abi Rabah dan al-Taqiuddin al-Subki.[1]

Ibn al-Muflih dari mazhab Hanbali menukilkan bahawa Ibn Jauzi mengatakan bahawa diharuskan melontar Jamrah sebelum tergelincirnya matahari. (Lihat al-Furu’ 6/59)

Di dalam kitab I’anah al-Tholibin juga dikemukakan bahawa menurut pendapat yang kuat, boleh melempar jamrah pada hari tasyriq itu sebelum zawal (gelincir matahari). Bahkan, al-Rafi’i juga berpendapat sama yang diikuti oleh al-Isnawi. Al-Isnawi mengemukakan : cara itulah yang dikenal, iaitu boleh melempar jumrah setiap hari sebelum zawal. (Lihat Ianah al-Talibin, 2/348)

Justeru, kami berpandangan  lebih afdhal  melontar jamrah setelah gelincir matahari. Namun sekiranya keadaan terlalu sesak maka diharuskan untuk melontar sebelum gelincirnya matahari. kebenaranan melontar selepas subuh adalah bagi menjaga kemaslahatan jemaah haji. Kesesakan berlaku juga dapat dielakkan serta dapat memberi kemudahan disamping mengangkat masyaqqah yang berlaku pada jemaah. Ini bersesuaian dengan kaedah :

المشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِير

Maksudnya : Kesusahan menyebabkan wujudnya kemudahan

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam beribadat kepadanya dan kami akhiri dengan doa:  

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

[1] https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/13488/%D8%B1%D9%85%D9%8A-%D8%A7%D9%84%D8%AC%D9%85%D8%A7%D8%B1-%D9%82%D8%A8%D9%84-%D8%A7%D9%84%D8%B2%D9%88%D8%A7%D9%84-%D8%A7%D9%8A%D8%A7%D9%85-%D8%A7%D9%84%D8%AA%D8%B4%D8%B1%D9%8A%D9%82#%D8%A7%D9%84%D8%AA%D9%8A%D8%B3%D9%8A%D8%B1_%D9%88%D8%B1%D9%81%D8%B9_%D8%A7%D9%84%D8%AD%D8%B1%D8%AC_%D9%81%D9%8A_%D9%81%D8%B1%D9%8A%D8%B6%D8%A9_%D8%A7%D9%84%D8%AD%D8%AC

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply